BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 27, 2010

Rumusan Hobi - Aktiviti riadah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan minat masyarakat dalam aktiviti riadah dan punca-punca masyarakat kurang berminat untuk beriadah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Aktiviti riadah lazimnya dilakukan oleh masyarakat tidak kira muda mahupun tua pada masa-masa yang terluang. Selepas penat belajar atau bekerja, apa-apa sahaja kegiatan riadah seperti berjoging, bersukan, berkelah atau sekadar berbasikal dengan rakan-rakan sudah cukup memadai. Sesetengah masyarakat gemar pergi ke taman-taman bunga atau sekadar berjalan-jalan di kawasan sekeliling rumah untuk melakukan aktiviti ini. Bagi golongan yang berkemampuan, pusat-pusat kesihatan dan gim-gim sering menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan. Asalkan yuran yang dikenakan berpatutan, mereka sanggup mengeluarkan belanja. Namun begitu, pengusaha-pengusaha pusat jagaan kesihatan tidak wajar menahan lukah di penggentingan dengan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi semata-mata untuk kepentingan diri.

Namun begitu, penglibatan masyarakat dalam aktiviti riadah ternyata masih kurang memberangsangkan. Kesannya, pelbagai isu seperti masalah obesiti, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang kini kian kerap terpapar di dada-dada akhbar. Hal ini amat membimbangkan pihak ibu bapa kerana keadaan ini mampu menjejaskan kesihatan anak-anak mereka. Justeru, beberapa langkah boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Ceramah-ceramah dan kempen bertemakan kesihatan dan kebaikan beriadah patut diadakan oleh pegawai kesihatan. Melalui cara ini, masyarakat akan sedar betapa pentingnya penglibatan mereka dalam aktiviti riadah. Pihak Kementerian Kesihatan harus mengadakan ceramah-ceramah dan kempen kesihatan di setiap negeri di Malaysia bagi menunjukkan betapa seriusnya masalah ini. Aktiviti-aktiviti riadah yang bersesuaian untuk mengekalkan kesihatan juga wajar diketahui oleh orang ramai supaya mereka tidak menganggap bahawa aktiviti riadah merupakan satu kegiatan yang meletihkan. Dengan cara ini, tindakan proaktif akan diambil oleh masyarakat yang mengambil berat tentang kesihatan mereka.

Selain itu, tempat-tempat beriadah seperti gymnasium dan taman rekreasi harus diperbanyak khususnya di kawasan luar bandar. Memang tidak adil jika penduduk di bandar sahaja yang mendapat peluang untuk menikmati kemudahan yang sempurna sedangkan penduduk di kawasan pedalaman hanya sekadar berlari di atas batas-batas sawah atau di kawasan lapang yang turut menjadi tempat lembu dan kerbau berkubang. Ibu bapa juga perlu memberi teladan kepada anak-anak dengan sering membawa mereka beriadah daripada hanya terperuk di rumah dan menonton televisyen. Anak-anak pasti akan berasa seronok apabila dapat beriadah bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan.

Pihak media massa turut perlu memainkan peranan untuk memupuk minat beriadah dalam diri masyarakat dengan melancarkan kempen-kempen kesihatan secara berterusan. Kempen serta iklan-iklan melalui televisyen perlu menggunakan cogan-cogan kata serta memberi gambaran yang lengkap dan berkesan hasil setiap aktiviti riadah yang dilakukan. Pihak Kementerian Pelajaran pula patut menegaskan kepentingan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang sering diabaikan oleh pelajar-pelajar sekolah. Kebanyakan sekolah memberi tugas mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani kepada guru-guru yang tidak berpengalaman dalam aktiviti senaman. Oleh sebab mata pelajaran dipandang ringan, para pelajar akan kurang berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman dengan berkesan.

Natijahnya, usaha yang berterusan daripada semua pihak baik kerajaan mahupun badan bukan kerajaan(NGO) harus diambil supaya masyarakat berminat untuk menjalankan aktiviti riadah. Apalah gunanya kita bekerja keras pada waktu siang dan pada waktu malam untuk mengumpul harta sedangkan kesihatan diri diabaikan. Harta dapat dicari, namun nyawa dan kesihatan tubuh badan merupakan aset yang paling bernilai dan perlu dihargai.

1. Berikan maksud rangkai kata menahan lukah di penggentingan . 2m
2. Apakah punca kelemahan pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah dan kesannya kepada warga sekolah? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah tubuh badan yang sihat amat penting kepada setiap orang? 4m


SKEMA JAWAPAN:
P: petikan membincangkan galakan untuk menarik minat orang ramai bagi melibatkan diri dalam kegiatan riadah demi kebaikan diri.
Isi tersurat ( usaha-usaha meningkatkan minat beriadah)
S1: ceramah-ceramah dan kempen-kempen berkaitan kesihatan serta kebaikan beriadah wajar dijalankan secara efektif dan meluas.
S2: Memberi tunjuk ajar tentang aktiviti riadah yang bersesuaian untuk menjaga kesihatan kepada orang ramai untuk mengelakkan anggapan yang negatif terhadap aktiviti ini.
S3: kawasan-kawasan riadah diperbanyak dengan memberi tumpuan di kawasan luar bandar
S4: Ibu bapa perlu memberi contoh dengan menjadikan aktiviti riadah sebagai aktiviti sampingan yang penting untuk seisi keluarga
S5: Media massa memainkan peranan dengan melancarkan kempen-kempen kesihatan bagi menarik minat masyarakat untuk beriadah
S6:Pihak Kementerian Pelajaran juga perlu menegaskan kepentingan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan kepada semua warga sekolah.
Isi tersirat (Punca-punca riadah kurang diminati)
T1: Masyarakat terlalu sibuk dengan pelbagai urusan dan kerja-kerja harian hingga tiada masa untuk beriadah
T2: Terdapat pelbagai aktiviti lain yang lebih menarik dan menghiburkan untuk mengisi masa lapang daripada melakukan aktiviti riadah.
Kesimpulan: Orang ramai harus menanam minat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah demi melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental
Soalan pemahaman:
1. …mencari keuntungan yang lebih atas kesukaran orang lain.
2. …Tugas sebagai guru Pendidikan Jasmani diberikan kepada guru yang tidak berpengalaman…Mata pelajaran terbabit juga diambil ringan oleh pihak sekolah…Kepentingan aktiviti senaman gagal diterap dalam diri pelajar sehingga mereka kurang berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.
3. …Tubuh badan yang sihat dapat melahirkan minda yang cerdas…Untuk menjamin kesejahteraan hidup dan menjauhi sebarang jangkitan penyakit…Supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik, sempurna, dan bertenaga…Membolehkan kita melakukan pelbagai aktiviti yang digemari

0 comments: