BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, September 27, 2010

PROSA KLASIK:MERAH SILU (SOALAN 18)

SOALAN 18
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah putus bicara dua bersaudara itu, pada ketika yang baik, mereka pun keluar meninggalkan negeri Semerlanga. Mereka mengikut jalan arah matahari mati. Mereka berhenti di sebuah tempat, dan kemudian meneruskan perjalanan. Dengan takdir Allah SWT, mereka sampai di sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan dan diam di sana, di sebelah-menyebelah sungai itu.

Pada suatu hari, Merah Silu pergi bermain di sungai dan melihat terlalu banyak ikan di dalam sungai itu. Apabila Merah Silu pulang ke rumah, dia menyuruh orangnya membuat bubu. Setelah bubu siap, Merah Silu pergi ke hulu sungai untuk menahan bubunya.

Pada keesokan harinya, Merah Silu pergi melihat bubunya. Didapatinya bubu itu penuh dengan cacing gelang-gelang. Merah Silu membuang cacing gelang-gelang dari dalam bubunya dan memasang semula bubunya. Pada keesokan harinya, dia pergi pula melihat bubunya; demikian juga, bubu itu penuh dengan cacing gelang-gelang. Dibuangnya juga cacing gelang-gelang itu. Dipasangnya lagi bubu itu. Esok harinya, dia pergi semula melihat bubunya, dan bubunya dipenuhi juga dengan cacing gelang-gelang.

Merah Silu pun berfikir dalam hatinya, “Gelang-gelang ini Allah Taala kepada aku rupanya.”

Cacing gelang-gelang itu pun dibawanya pulang ke rumah lalu dimasukkan ke dalam kawah. Merah Silu menyuruh rebus semua cacing gelang-gelang itu. Dengan takdir Allah Taala, cacing gelang-gelang itu pun menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Merah Silu pun menjadi kaya kerana mendapat emas dan perak.

Orang pun bercerita kepada Merah Hasum tentang hal Merah Silu dikurniai Allah Taala dengan emas dan perak itu. Kata mereka, “Kakanda Merah Silu kami lihat membawa pulang gelang-gelang itu.” Setelah mendengar khabar saudaranya itu, Merah Hasum diam tidak berkata-kata.

(Dipetik daripada prosa tradisional Merah Silu, diselenggarakan oleh Ismail Ahmad dalam antologi Harga Remaja, hal. 52-53,Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009)




i. Apakah maksud rangkai kata Setelah putus bicara dua bersaudara itu? 2m
ii. Apakah tindakan Merah Silu setelah mendapati bubunya dimasuki cacing gelang? 3 m
iii. Pada pendapat anda, mengapakah Merah Hasum tidak berkata apa-apa apabila diberitahu tentang kurniaan Allah kepada Merah Silu? 3m


SKEMA
i. …selepas Merah Silu dan Merah Hasum sama-sama bersetuju/ mencapai kata sepakat/ mencapai persetujuan
ii. …Dia tetap menahan bubunya…Dia tidak berputus asa…Dia telah merebus cacing-cacing itu
iii. …Beliau turut gembira apabila mendengar berita itu…Merah Hasum juga mungkin tidak berminat untuk mengambil tahu tentang hal itu… Merah Hasum mempunyai banyak urusan lain yang perlu difikirkan.

0 comments: