SOALAN 16
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Pada suatu hari, Merah Silu pergi bermain di sungai dan melihat terlalu banyak ikan di dalam sungai itu. Apabila Merah Silu pulang ke rumah, dia menyuruh orangnya membuat bubu. Setelah bubu siap, Merah Silu pergi ke hulu sungai untuk menahan bubunya.
Pada keesokan harinya, Merah Silu pergi melihat bubunya. Didapatinya bubu itu penuh dengan cacing gelang-gelang. Merah Silu membuang cacing gelang-gelang dari dalam bubunya dan memasang semula bubunya. Pada keesokan harinya, dia pergi pula melihat bubunya; demikian juga, bubu itu penuh dengan cacing gelang-gelang. Dibuangnya juga cacing gelang-gelang itu. Dipasangnya lagi bubu itu. Esok harinya, dia pergi semula melihat bubunya, dan bubunya dipenuhi juga dengan cacing gelang-gelang.
Merah Silu pun berfikir dalam hatinya, “Gelang-gelang ini Allah Taala kepada aku rupanya.”
Cacing gelang-gelang itu pun dibawanya pulang ke rumah lalu dimasukkan ke dalam kawah. Merah Silu menyuruh rebus semua cacing gelang-gelang itu. Dengan takdir Allah Taala, cacing gelang-gelang itu pun menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Merah Silu pun menjadi kaya kerana mendapat emas dan perak.
Orang pun bercerita kepada Merah Hasum tentang hal Merah Silu dikurniai Allah Taala dengan emas dan perak itu. Kata mereka, “Kakanda Merah Silu kami lihat membawa pulang gelang-gelang itu.” Setelah mendengar khabar saudaranya itu, Merah Hasum diam tidak berkata-kata.
Pada suatu hari, Merah Silu berkata kepada segala askarnya, “Marilah kita muslihatkan kerbau jalang yang tiada berguna kepada tuan-tuan sekalian itu. Hamba hendak perkenakan kerbau itu.”
Merah Silu mengupah orang dengan emas dan perak untuk membuat anderak besar. Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus. Setelah siap, disuruh askar gemparkan kerbau liar itu ke arah muka anderak itu. Kerbau itu pun terkejut lalu lari masuk ke dalam mulut anderak itu dan tersangkut tanduknya lalu tersekat, tidak dapat masuk dan keluar.
(Dipetik daripada prosa tradisonal Merah Silu, diselenggarakan oleh ismail Ahmad dalam antologi Harga Remaja, hal. 53 – 54, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009)
i. Apakah maksud rangkai kata muslihatkan kerbau jalang? 2m
ii. Berdasarkan petikan, nyatakan tiga perwatakan Merah Silu beserta contohnya. 3m
iii. Pada pendapat anda, mengapakah Merah Hasum mendiamkan diri setelah mendengar khabar tentang saudaranya? 3m
SKEMA
i. maksudnya berikhtiar untuk menangkap kerbau liar.
ii. …bernasib baik. cth: memperoleh emas dan perak setelah merebus cacing gegelang…pandai bekerja. cth: menyuruh orang membuat bubu untuk menangkap ikan dan anderak untuk menangkap kerbau…gigih berusaha. cth: menangkap ikan dan menjinakkan kerbau jalang walaupun baginda seorang raja.
iii. …kerana hairan tentang cacing yang boleh bertukar menjadi emas dan perak…berasa dengki kerana Merah Silu menjadi kaya-raya dengan sekelip mata…bimbang pada suatu hari nanti Merah Silu lebih kaya daripada dirinya.
Monday, September 27, 2010
PROSA KLASIK:MERAH SILU (SOALAN 16)
Posted by eranis at 9:25 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment