BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 29, 2010

Rumusan Penyakit kronik - Darah Tinggi

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca penyakit darah tinggi dan usaha-usaha menghindari penyakit itu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Di seluruh dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun lima juta kematian pramatang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi. Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Menurutnya lagi, walaupun punca sebenar tekanan darah tinggi tidak diketahui, ada beberapa faktor yang dikaitkan sebagai risiko tekanan darah tinggi. Penyakit ini boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, minum arak dan merokok. Bahagian kedua pula membabitkan tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah, iaitu umur semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi, selain faktor bangsa,sejarah keluarga dan jantina,” katanya lagi. Dalam mengawal tekanan darah tinggi, katanya kebanyakan pesakit memerlukan ubat.

Salah satu sebab penyakit darah tinggi ‘diabaikan’ kerana tidak ada langsung seseorang itu menunjukkan sebarang gejala penyakit darah tinggi. Pada masa yang sama, penyakit ini juga mengambil masa bertahun-tahun untuk meninggalkan kesan kepada penghidapnya. Justeru, tidak hairanlah jika kita kurang berminat untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor. Malahan,rata-rata juga beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya, hipertensi ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan. Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 2007,lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidap terdiri daripada kaum Melayu, tidak kira di bandar atau di desa. Di samping itu, faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar. Penyakit ini melibatkan lebih kurang lima hingga enam juta rakyat Malaysia dan bilangan kes makin meningkat disebabkan gaya hidup moden zaman kini.

Selain itu, punca utama kepada masalah darah tinggi ialah obstruksi lemak pada salur darah. Lazimnya, penyakit darah tinggi berasosiasi dengan penyempitan arteri (salur darah). Keadaan ini menyebabkan kesukaran darah untuk mengalir melaluinya kerana rintangan yang wujud dan keadaan ini memerlukan tekanan yang lebih kuat dan memaksa jantung untuk mengepam darah dengan lebih kuat.Faktor lain termasuklah paras kolesterol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan tabiat merokok. Kolestrol, iaitu sebatian berlemak, juga dikenali sebagai lipid, yang beredar melalui darah. Kolestrol juga diperlukan untuk pelbagai fungsi badan yang penting seperti pembinaan membran sel, penghasilan sesetengah jenis hormon, sintesis vitamin D, dan penghadaman lemak dalam badan.

Tambahan pula, masyarakat sekarang kurang mengamalkan gaya hidup sihat dan gagal untuk mengekalkan pengambilan makanan seimbang. Jika kita lihat, masyarakat sekarang gemar makan makanan segera dan makan lewat malam selepas selesai pekerjaan mereka. Kesannya, makanan yang dimakan pada ketika itu gagal dihadamkan kerana tidak banyak berlaku gerakan yang dapat membakar lemak.

1. Berikan maksud frasa meninggalkan kesan kepada penghidapnya seperti terdapat dalam petikan. 2m
2. Nyatakan gaya hidup moden zaman kini yang menjadi amalan masyarakat? 3m
3. Sekiranya anda mempunyai keluarga yang menghidap penyakit darah tinggi, nyatakan nasihat yang patut anda berikan.
















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan faktor-faktor penyakit darah tinggi.
Isi tersurat (Faktor-faktor)
S1: Faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil gas
S2: tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah, iaitu umur semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi.
S3: Faktor bangsa, sejarah keluarga dan jantina.
S4: Kita kurang berminat untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor.
S5: beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya, hipertensi ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan.
S6: Faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan besar.
S7: Obstruksi lemak pada salur darah.
S8: Paras kolestrol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi,diabetes,obesiti, gaya hidup yang tidak aktif, dan tabiat merokok
S9: Masyarakat sekarang kurang mengamalkan gaya hidup sihat dan gagal untuk mengekalkan pengambilan makanan seimbang.
Isi tersirat (Langkah menangani)
T1: Kurangkan pengambilan makanan berlemak dan berminyak
T2; Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya 2 kali seminggu
T3: Hindarkan diri daripada minum arak dan merokok
Kesimpulan: Masyarakat Malaysia yang sihat perlulah menjaga kesihatan diri daripada dihidapi darah tinggi agar tidak banyak wang dihabiskan untuk membelikan ubat-ubatan.



Soalan pemahaman:
1. … Memberikan impikasi kepada pesakit
2. …Kurang bersenam…gemar makan makanan segera…makan lewat malam
3. …banyakkan bersenam…lakukan rawatan doktor secara berkala…jangan merokok dan mengambil alkohol…kurangkan makanan berlemak dan berminyak

Saturday, March 27, 2010

Rumusan- penyakit kronik: Gula berlebihan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan pengambilan gula secara berlebihan dan langkah-langkah pencegahan yang harus diambil. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dalam kehidupan harian, amalan pemakanan gula secara berlebihan semakin menjadi-jadi. Namun, kesedaran tentang perkara ini kurang mendapat perhatian walaupun penggunaan gula secara berlebihan dapat menimbulkan kesan buruk yang bakal memudaratkan kesihatan. Gula jika diambil berlebihan sememangnya melazatkan makanan kerana makanan tersebut akan menjadi manis. Oleh sebab itulah banyak orang yang tidak mengendahkan akibat buruk pengambilan gula terhadap kesihatan mereka.

Gula mengandungi 99.9 peratus karbohidrat dan setiap gram gula pula membekalkan empat kalori tenaga. Ada beberapa jenis gula yang biasa kita gunakan. Misalnya, gula pasir digunakan dalam minuman ringan atau cordial, jus buah-buahan, biskut, kek, dan beberapa bijirin sarapan. Selain gula pasir, ada juga gula yang terdapat dalam susu dan buah-buahan yang dikenali sebagai laktosa dan fruktosa, sementara madu merupakan hasilan gula yang pekat.

Tubuh kita menggunakan gula tanpa membezakan sumber gula, sama ada sukrosa, fruktosa, atau laktosa. Gula tersembunyi dalam makanan yang sudah diproses ialah gula berlebihan yang dimakan tanpa disedari. Tindak balas bakteria dalam plak gigi dan gula daripada makanan menghasilkan asid yang meretakkan lapisan enamel gigi. Kekerapan pengambilan gula dalam kuantiti yang tidak terkawal dapat menyebabkan karies gigi berlaku pada tahap yang membimbangkan dan mengakibatkan kehilangan gigi akhirnya. Gula berlebihan yang gagal diproses selengkapnya akan menghasilkan lemak kepada sistem badan.

Pengambilan gula yang berlebihan juga dapat menyebabkan obesiti atau kegemukan yang dapat meningkatkan risiko penyakit jantung atau darah tinggi. Selain itu, paras gula yang tinggi dalam darah dapat menyebabkan penyakit diabetes. Diabetes disebabkan oleh kegagalan tubuh mengendalikan paras gula dalam darah. Keadaan ini disebabkan kekurangan insulin yang dihasilkan oleh tubuh. Insulin membantu glukosa darah memasuki sel badan dan menukarkannya menjadi tenaga. Akibatnya, badan kekurangan tenaga walaupun paras glukosa dalam darah tinggi. Oleh itu, pesakit diabetes perlu mengawal pengambilan gula dan makanan berlemak supaya komplikasi diabetes seperti kerosakan pembuluh darah, mata, buah pinggang, dan saraf dapat dielakkan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Gula punca Penyakit”, Harian Metro)

1. Berikan maksud frasa kesan buruk yang bakal memudaratkan kesihatan. 2m
2. Bagaimanakah pengambilan gula secara berlebihan dapat menyebabkan penyakit diabetes? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan tubuh agar sentiasa sihat? 4m





















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan impak-impak pengambilan gula secara berlebihan dalam pemakanan.
Isi tersurat ( Kesan-kesannya)
S1: Menyebabkan karies gigi
S2: Menghasilkan asid yang meretakkan lapisan enamel gigi
S3: Mengakibatkan kehilangan gigi
S4: Menghasilkan lemak kepada sistem badan
S5: Menyebabkan obesiti atau kegemukan
S6: Meningkatkan risiko penyakit jantung atau darah tinggi
S7: menyebabkan penyakit diabetes
Isi tersirat ( Langkah pencegahan)
T1: Membersihkan gigi selepas mengambil makanan atau sebelum tidur
T2: Mendapatkan pemeriksaan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun atau setiap enam bulan.
T3: Mengambil makanan yang seimbang
T4: Bersenam atau melakukan riadah tiga kali seminggu dan 30 minit setiap satu sesi
T5: Mengurangkan pengambilan gula
Kesimpulan: Gula penting kepada tubuh, namun pengambilannya perlu dikawal agar tidak memudaratkan kesihatan
Soalan Pemahaman:
1. …efek/implikasi negatif yang akan membahayakan keadaan badan
2. …Paras gula yang tinggi dalam darah…kegagalan tubuh mengendalikan paras gula dalam darah…Kekurangan insulin yang dihasilkan oleh tubuh…badan kekurangan tenaga.
3, …Mengawal pengambilan gula…Berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan… Sentiasa memilih makanan yang seimbang dan berkualiti…Sentiasa bersenam.

Rumusan Hobi - kepentingan sukan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan sukan dan masalah yang wujud daripada sukan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak kebelakangan ini peranan sukan semakin penting kepada negara. Sukan memberi manfaat kepada kelompok masyarakat yang bernaung di bawahnya. Kini aktiviti sukan telah mengalami zaman peralihan fungsi asalnya iaitu memberi kesihatan kepada tubuh badan, bertukar menjadi kegiatan fizikal yang dipertandingkan untuk mencapai kemenangan. Memang pada asalnya sukan dikatakan boleh memberi tubuh badan yang sihat, tetapi kini telah menjadi aset sesebuah negara dalam mempelopori kemasyhuran. Hal ini terbukti dengan tanggapan spontan jika seseorang itu apabila diajukan soalan seperti siapakah kuasa bola sepak dunia? Negara manakah mengungguli sukan bola keranjang, enis, skuasy, hoki, dan badminton? Ternyata sukan dapat membantu negara mengharumkan namanya di persada dunia. Malaysia kini lebih dikenali oleh masyarakat dunia kerana pencapaian yang cemerlang dalam sukan badminton, hoki dan skuasy.

Dari segi ekonomi pula, sukan telah membuka satu lagi hubungan erat antara sukan, media, dan syarikat pengiklanan. Syarikat-syarikat televisyen berlumba-lumba untuk membuat liputan secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang tidak putus-putus mahu menjadi penaja utama. Hal ini menunjukkan sukan dapat menjana ekonomi menerusi pengiklanan sesuatu barangan. Bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi dalam usaha menyatupadukan segenap lapisan masyarakat. Hal ini tidak menghairankan kerana kegiatan sukan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik telah menyediakan peluang untuk mereka sentiasa bekerjasama, saling memahami, dan menyemai konsep memerlukan antara satu sama lain. Apabila saling bertemu di gelanggang permainan, akan mengurangkan perasaan prasangka yang selama ini mencacatkan perpaduan kaum.

Selain itu, jalinan politik antara negara juga dapat diperkukuh dengan pelbagai temasya sukan yang dianjurkan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan SEA, dan tidak kurang temasya skan di peringkat kebangsaan seperti SUKMA. Bagaimanapun kita tidak dapat lari dari pendapat yang mengatakan bahawa biarlah kalah dalam pertandingan asalkan kita menang dalam pembangunan politik,ekonomi, dan sosial. Tetapi itu cakap-cakap sedap mulut, namun pada realitinya apabila menyertai sesuatu acara sukan pasti mahukan kemenangan. Oleh itu, sukan membentuk keyakinan kepada diri sendiri untuk memperoleh kejuaraan.

Perkara yang diperkatakan ialah penglibatan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bagi sukan di peringkat sekolah, sukan berjaya memanfaatkan masa yang terluang daripada mengisi masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak atau bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Malah, sukan sebagai alat melepaskan tekanan selepas penat mengulang kaji pelajaran. Tetapi yang kita kesal ialah ramai pelajar yang berbakat dalam sukan tidak memperoleh galakan daripada ibu bapa disebabkan ibu bapa lebih mengutamakan pelajaran. Akhirnya bakat yang besar hilang begitu sahaja. Ada yang ibu bapa memberi dorongan dan sokongan penuh, tetapi anak yang sering dimanjakan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi diri. Pendek kata, sikap tidak berani menghadapi cabaran menyebabkan remaja berpotensi tidak mampu berani bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Perubahan Fungsi Sukan, oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim, Utusan Malaysia, 7 Jun 2006)


1. Berikan maksud rangkai kata mencacatkan perpaduan kaum. 2m
2. Nyatakan sikap negatif yang menghalang remaja daripada melibatkan diri dalam sukan. 3m
3. Jika anda orang yang berbakat dalam bidang sukan, selepas berakhirnya alam persekolahan, apakah yang akan anda lakukan untuk mengembangkan bakat anda? 4m























SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kelebihan apabila kita melibatkan diri dalam bidang sukan
Isi tersurat (Kepentingan sukan)
S1: Memberi kesihatan kepada tubuh badan
S2: Sukan dapat mengharumkan nama negara di persada dunia
S3: Sukan menjalinkan hubungan erat antara sukan, media, dan syarikat pengiklanan
S4: Sukan dapat menjana ekonomi menerusi pengiklanan sesuatu barangan
S5: Sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi dalam usaha menyatupadukan segenap lapisan masyarakat.
S6: Sukan dapat mengurangkan perasaan prasangka yang selama ini mencacatkan perpaduan kaum
S7: Jalinan politik antara negara juga dapat diperkukuh
S8: Sukan membentuk keyakinan kepada diri sendiri untuk memperoleh kejuaraan.
S9: Sukan berjaya memanfaatkan masa yang terluang
S10: Sukan sebagai alat melepaskan tekanan selepas penat mengulang kaji pelajaran.
Isi tersirat (Masalah yang wujud)
T1: Berlaku pergaduhan apabila penyokong yang kalah tidak dapat menerima hakikat kekalahan
T2: Bagi pelajar, banyak masa dihabiskan di padang sehinggakan melupakan pelajaran
T3: Sukan mendedahkan atlet kepada kecederaan apabila terlalu ghairah memburu kejayaan sehinggakan mengabaikan kesihatan diri.
T4: Atlet dipergunakan oleh pengiklan yang mengutamakan keuntungan dengan memberi bayaran yang tidak setimpal
kesimpulan: Rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang terhadap industri sukan agar bukan sahaja sukan dapat diperkembang, malahan dapat menjana ekonomi negara.
Soalan pemahaman:
1. …Menghalang hubungan yang kukuh antara kaum yang berbeza
2. …Ramai pelajar yang berbakat dalam sukan tidak memperoleh galakan daripada ibu bapa disebabkan ibu bapa lebih mengutamakan pelajaran…Terdapat ibu bapa memberi dorongan dan sokongan penuh, tetapi anak yang sering dimanjakan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi diri… Tidak berani menghadapi cabaran untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
3. …Saya akan menyertai kejohanan sukan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan…Menghubungi Majlis Sukan Negara untuk mencari peluang dan mengembangkan bakat…Saya akan berterusan berlatih sama ada bersendirian ataupun berkumpulan….Saya akan mencari pekerjaan yang memberi keutamaan kepada mereka yang berbakat dalam bidang sukan agar bakat yang ada dapat ditingkatkan.

Rumusan Hobi - seni lukis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat bidang seni lukis dan halangannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bidang seni lukis menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat sejak dahulu lagi. Jika seseorang itu serius mempelajari dan menghasilkan karya seni, bidang ini akan menjadi punca pendapatan yang lumayan. Oleh hal yang demikian, kegiatan dalam bidang seni lukis tidak wajar diabaikan oleh generasi muda Malaysia. Mereka hendaklah memanfaatkan peluang yang luas terbentang itu untuk meniti dan mengecap kejayaan yang terhasil daripadanya.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan guru-guru wajar menggalakkan generasi muda agar berusaha mengembangkan bakat, minat, serta potensi mereka dalam bidang ini. Kursus-kursus dalam bidang seni lukis hendaklah dianjurkan oleh institusi atau kesatuan berkenaan untuk mengukuhkan dan menyuburkan minat seni dalam kalangan pelajar dan anggota masyarakat. Hal ini berikutan dengan perkembangan dunia tanpa sempadan yang memerlukan pelukis-pelukis berkebolehan mengisi ruang kerjaya seni lukis dan grafik dalam bidang komunikasi dan maklumat serta alam siber yang lain.

Untuk menggalakkan minat pelajar dalam lapangan seni lukis, maka pelbagai kegiatan dapat dilakukan, termasuklah pertandingan dan pameran lukisan. Aktiviti-aktiviti ini secara langsung akan memberikan dorongan kepada para pelajar dan para peminat seni lukis supaya lebih mendalami bidang lukisan yang menjadi kegemaran mereka. Kegiatan seumpama ini setidak-tidaknya dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang manfaatnya karya seni dan pada masa yang sama membantu mengeratkan persahabatan antara pelajar dari pelbagai ceruk rantau yang menyertai aktiviti itu. Jika sesuatu kegiatan itu melibatkan penyertaan peringkat antarabangsa, maka perbezaan antara budaya dapat difahami dengan lebih dekat menerusi lukisan.

Peranan guru tidak kurang pentingnya untuk mendorong pelajar mendalami bidang seni lukis supaya mereka dapat menghasilkan lukisan yang tinggi mutunya. Selain itu, penglibtan pelajar dalam bidang ini akan memudahkan kita melahirkan illustrator yang berkebolehan untuk mengilustrasi buku-buku cerita yang berunsur moral dan keagamaan sebagai tatapan para pembaca. Hal sampingan daripada perkembangan ini ialah kita dapat melahirkan generasi yang berwawasan kerana dapat membaca sambil berhibur bagi mengisi masa lapang. Perkara ini harus diprihatinkan kerana pada masa ini generasi muda mudah terpengaruh oleh pelbagai gejala sosial. Daripada disia-siakan masa lapang di kafe siber, di pusat-pusat hiburan, atau di depan televisyen, alangkah baiknya jika pembaziran masa itu dapat dialihkan kepada lapangan seni lukis yang tidak memerlukan belanja yang besar.

Bagi peminat lukisan mereka mendakwa bahawa lukisan dapat mengurangkan tekanan emosi. Apabila gambaran perasaan dapat dicurahkan ke atas kanvas,maka segala kesedihan,kekecewaan, dan kegembiraan dilakarkan sepuas-puasnya kerana ada pendapat yang menyatakan bahawa sesebuah lukisan dapat menggambarkan seribu makna.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Nilai Sebuah Lukisan oleh Mohd. Anuar Patha Rahman, Berita Harian, 23 Jun 2003)

1. Nyatakan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan minat anggota masyarakat dalam bidang seni lukis. 2m
2. Jelaskan manfaat yang diharapkan daripada sesuatu pertandingan atau pameran lukisan. 3m
3. Pada pandangan anda, mengapakah seni lukis tidak dipentingkan oleh pelajar-pelajar kita? 4m






















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kepentingan /kebaikan/faedah seni lukis dalam kehidupan masyarakat
Isi tersurat ( Kebaikannya)
S1: Bidang seni lukis dapat menjadi punca pendapatan yang lumayan
S2: Pelukis-pelukis yang berkebolehan dapat mengisi masa lapang kerjaya seni lukis dan grafik dalam bidang komunikasi dan maklumat serta alam siber yang lain.
S3: Pameran seni lukis dapat mengeratkan persahabatan antara pelajar dari pelbagai ceruk rantau yang menyertainya.
S4: Menerusi lukisan, perbezaan antara budaya dapat difahami dengan lebih dekat
S5: Bidang seni lukis akan memudahkan kita melahirkan illustrator yang berkebolehan
S6: Pembaziran masa di tempat hiburan dapat dialihkan kepada lapangan seni lukis yang tidak memerlukan belanja yang besar
S7: Lukisan dapat mengurangkan tekanan emosi
Isi tersirat ( halangannya)
T1: Majoriti anggota masyarakat tetap menganggap bidang seni lukis tidak menjamin masa depan seseorang.
T2: Mata pelajaran seni lukis tidak dijadikan subjek wajib dalam kurikulum sekolah di Malaysia
T3: Masyarakat tidak ditampilkan contoh kejayaan individu yang bergiat dalam bidang seni lukis
T4: Bidang seni lukis dianggap tidak standing dengan kerjaya yang lain.
T5: Penggiat seni lukis suka bergerak dalam kelompok sendiri/kurang bergaul dengan orang yang tidak sealiran dengan mereka.
Kesimpulan: Penggiat seni wajar mendekati masyarakat agar seni lukis tidak terus terpinggir.
Soalan pemahaman:
1. …galakan oleh ibu bapa kepada anak-anak/generasi muda…galakan oleh guru kepada murid…Menganjurkan kursus dalam bidang seni lukis dari semasa ke semasa
2. …Memberikan dorongan kepada pelajar/peserta terhadap karya seni…Mewujudkan kesedaran pelajar/peserta terhadap karya seni…Mengeratkan hubungan persahabatan sesama peserta… Peserta dapat memahami perbezaan antara budaya
3. …Seni lukis tidak menjadi syarat pensijilan…Statusnya hanya sebagai mata pelajaran pilihan…Tidak layak menjadi syarat kemasukan ke IPT…Tidak menjamin peluang pekerjaan

Rumusan Hobi - Aktiviti riadah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan minat masyarakat dalam aktiviti riadah dan punca-punca masyarakat kurang berminat untuk beriadah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Aktiviti riadah lazimnya dilakukan oleh masyarakat tidak kira muda mahupun tua pada masa-masa yang terluang. Selepas penat belajar atau bekerja, apa-apa sahaja kegiatan riadah seperti berjoging, bersukan, berkelah atau sekadar berbasikal dengan rakan-rakan sudah cukup memadai. Sesetengah masyarakat gemar pergi ke taman-taman bunga atau sekadar berjalan-jalan di kawasan sekeliling rumah untuk melakukan aktiviti ini. Bagi golongan yang berkemampuan, pusat-pusat kesihatan dan gim-gim sering menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan. Asalkan yuran yang dikenakan berpatutan, mereka sanggup mengeluarkan belanja. Namun begitu, pengusaha-pengusaha pusat jagaan kesihatan tidak wajar menahan lukah di penggentingan dengan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi semata-mata untuk kepentingan diri.

Namun begitu, penglibatan masyarakat dalam aktiviti riadah ternyata masih kurang memberangsangkan. Kesannya, pelbagai isu seperti masalah obesiti, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang kini kian kerap terpapar di dada-dada akhbar. Hal ini amat membimbangkan pihak ibu bapa kerana keadaan ini mampu menjejaskan kesihatan anak-anak mereka. Justeru, beberapa langkah boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Ceramah-ceramah dan kempen bertemakan kesihatan dan kebaikan beriadah patut diadakan oleh pegawai kesihatan. Melalui cara ini, masyarakat akan sedar betapa pentingnya penglibatan mereka dalam aktiviti riadah. Pihak Kementerian Kesihatan harus mengadakan ceramah-ceramah dan kempen kesihatan di setiap negeri di Malaysia bagi menunjukkan betapa seriusnya masalah ini. Aktiviti-aktiviti riadah yang bersesuaian untuk mengekalkan kesihatan juga wajar diketahui oleh orang ramai supaya mereka tidak menganggap bahawa aktiviti riadah merupakan satu kegiatan yang meletihkan. Dengan cara ini, tindakan proaktif akan diambil oleh masyarakat yang mengambil berat tentang kesihatan mereka.

Selain itu, tempat-tempat beriadah seperti gymnasium dan taman rekreasi harus diperbanyak khususnya di kawasan luar bandar. Memang tidak adil jika penduduk di bandar sahaja yang mendapat peluang untuk menikmati kemudahan yang sempurna sedangkan penduduk di kawasan pedalaman hanya sekadar berlari di atas batas-batas sawah atau di kawasan lapang yang turut menjadi tempat lembu dan kerbau berkubang. Ibu bapa juga perlu memberi teladan kepada anak-anak dengan sering membawa mereka beriadah daripada hanya terperuk di rumah dan menonton televisyen. Anak-anak pasti akan berasa seronok apabila dapat beriadah bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan.

Pihak media massa turut perlu memainkan peranan untuk memupuk minat beriadah dalam diri masyarakat dengan melancarkan kempen-kempen kesihatan secara berterusan. Kempen serta iklan-iklan melalui televisyen perlu menggunakan cogan-cogan kata serta memberi gambaran yang lengkap dan berkesan hasil setiap aktiviti riadah yang dilakukan. Pihak Kementerian Pelajaran pula patut menegaskan kepentingan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang sering diabaikan oleh pelajar-pelajar sekolah. Kebanyakan sekolah memberi tugas mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani kepada guru-guru yang tidak berpengalaman dalam aktiviti senaman. Oleh sebab mata pelajaran dipandang ringan, para pelajar akan kurang berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman dengan berkesan.

Natijahnya, usaha yang berterusan daripada semua pihak baik kerajaan mahupun badan bukan kerajaan(NGO) harus diambil supaya masyarakat berminat untuk menjalankan aktiviti riadah. Apalah gunanya kita bekerja keras pada waktu siang dan pada waktu malam untuk mengumpul harta sedangkan kesihatan diri diabaikan. Harta dapat dicari, namun nyawa dan kesihatan tubuh badan merupakan aset yang paling bernilai dan perlu dihargai.

1. Berikan maksud rangkai kata menahan lukah di penggentingan . 2m
2. Apakah punca kelemahan pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah dan kesannya kepada warga sekolah? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah tubuh badan yang sihat amat penting kepada setiap orang? 4m


SKEMA JAWAPAN:
P: petikan membincangkan galakan untuk menarik minat orang ramai bagi melibatkan diri dalam kegiatan riadah demi kebaikan diri.
Isi tersurat ( usaha-usaha meningkatkan minat beriadah)
S1: ceramah-ceramah dan kempen-kempen berkaitan kesihatan serta kebaikan beriadah wajar dijalankan secara efektif dan meluas.
S2: Memberi tunjuk ajar tentang aktiviti riadah yang bersesuaian untuk menjaga kesihatan kepada orang ramai untuk mengelakkan anggapan yang negatif terhadap aktiviti ini.
S3: kawasan-kawasan riadah diperbanyak dengan memberi tumpuan di kawasan luar bandar
S4: Ibu bapa perlu memberi contoh dengan menjadikan aktiviti riadah sebagai aktiviti sampingan yang penting untuk seisi keluarga
S5: Media massa memainkan peranan dengan melancarkan kempen-kempen kesihatan bagi menarik minat masyarakat untuk beriadah
S6:Pihak Kementerian Pelajaran juga perlu menegaskan kepentingan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan kepada semua warga sekolah.
Isi tersirat (Punca-punca riadah kurang diminati)
T1: Masyarakat terlalu sibuk dengan pelbagai urusan dan kerja-kerja harian hingga tiada masa untuk beriadah
T2: Terdapat pelbagai aktiviti lain yang lebih menarik dan menghiburkan untuk mengisi masa lapang daripada melakukan aktiviti riadah.
Kesimpulan: Orang ramai harus menanam minat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah demi melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental
Soalan pemahaman:
1. …mencari keuntungan yang lebih atas kesukaran orang lain.
2. …Tugas sebagai guru Pendidikan Jasmani diberikan kepada guru yang tidak berpengalaman…Mata pelajaran terbabit juga diambil ringan oleh pihak sekolah…Kepentingan aktiviti senaman gagal diterap dalam diri pelajar sehingga mereka kurang berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.
3. …Tubuh badan yang sihat dapat melahirkan minda yang cerdas…Untuk menjamin kesejahteraan hidup dan menjauhi sebarang jangkitan penyakit…Supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik, sempurna, dan bertenaga…Membolehkan kita melakukan pelbagai aktiviti yang digemari

Rumusan Hobi - Masa senggang remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara remaja memanfaatkan masa senggang dan tujuannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masa senggang bermaksud masa lapang dan masa terluang bagi remaja yang memerlukan cara bagi menggunakannya. Masa senggang biasanya terdapat pada hujung minggu atau waktu cuti atau masa-masa tertentu yang lain. Masa senggang selalu menyebabkan remaja hilang fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku. Masa senggang kalau digunakan dalam menimba ilmu pengetahuan menerusi ulang kaji dapat meningkatkan prestasi pelajaran. Masa itu sesuatu yang amat bernilai kerana sehari yang telah pergi tidak akan kembali lagi dan sehari yang berlaku mendekatkan manusia ke hujung usia. Dalam bahasa lain masa yang tidak digunakan dan disalahgunakan boleh meninggalkan beban kepada kita. Masa senggang bagi remaja adalah banyak.

Tetapi masa senggang kadang-kadang menyebabkan remaja tidak memiliki jadual atau perancangan yang tertentu. Disebabkan tiada perancangan, remaja akan terdorong mengisi masa senggangnya atas pelawaan rakan sebaya atau menghabiskan masa di warung-warung. Keadaan seperti ini amat merugikan bakat dan usia remaja. Masa senggang yang bererti apabila dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan bakat yang diminati. Melakukan riadah dan kegiatan rekreasi untuk kesihatan badan adalah aktiviti yang baik untuk mengisi masa senggang. Selain itu, remaja wajar mengisi masa senggang dengan mendengar lagu-lagu menimbulkan kesedaran di samping hiburan dengan lirik-lirik yang merangsang kebaikan. Membaca akhbar, majalah, dan buku yang tidak melalaikan adalah juga aktiviti yang perlu dilakukan. Seterusnya kita wajar mengisi masa senggang dengan menolong ibu bapa dan jiran dengan kerja kebajikan.

Sekarang kita memberi fokus kepada remaja yang masih menuntut. Apabila habis sahaja sesi persekolahan, apakah yang patut diisi untuk memenuhi waktu yang terluang? Oleh itu, dicadangkan para pelajar mengikuti kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran. Masa senggang masih banyak dan masih banyak yang boleh diisi. Pada hari minggu, tidak bersalahan mengemaskinikan nota-nota pelajaran. Jika ibu bapa mengajak kita untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan taulan orang tua kita, eloklah kita ikut serta. Sebenarnya hidup kita perlu ada matlamat. Matlamat hidup kita bukanlah bermula setelah keputusan SPM diumumkan.Ketika masih bergelar pelajar lagi sewajarnya kita sudah mempunyai impian yang besar. Sebelum minat kita luntur, kita wajar mengikuti kursus motivasi untuk memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang.

Sesungguhnya setiap hari, masuk ke minggu dan bulan yang beredar, para remaja mencapai kejayaan diri dan peribadi keluarga dan akhirnya kejayaan untuk masyarakat dan negara. Masa senggang yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia. Masa senggang yang dirancang dan dijadual dengan baik boleh dijadikan sebagai sumber mengatur hidup. Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah orang yang mendisiplinkan dirinya dengan masa. Mereka ialah orang-orang yang menepati masa, tidak membazir masa, tahu menggunakan masa dengan bijaksana, cemburu terhadap masa, dan menghubungkan masa sebagai usaha meningkatkan amal dan ibadah. Oleh itu, amat penting bagi remaja membiasakan diri dengan menggunakan masa senggang dengan jadual kegiatan yang baik.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Manfaatkan Masa Senggang oleh Dr. Sidek Baba, Utusan Malaysia, 2 Februari 2006)

1. Berikan maksud rangkai kata memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang. 2m
2. Apakah kesilapan remaja dalam mengisi masa senggang? 3m
3. “Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah orang yang mendisiplinkan dirinya dengan masa”. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mempunyai disiplin? 4m














SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan cadangan-cadangan untuk remaja memanfaatkan waktu senggang mereka.
Isi tersurat (cara-cara remaja memanfaatkan masa senggang)
S1: Digunakan untuk menimba ilmu menerusi ulang kaji
S2: Dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan bakat yang diminati
S3: Melakukan riadah dan kegiatan rekreasi untuk kesihatan badan
S4: Mendengar lagu-lagu menimbulkan kesedaran di samping hiburan dengan lirik-lirik yang merangsangkan kebaikan.
S5: Membaca bahan-bahan yang tidak melalaikan
S6: Menolong ibu bapa dan jiran dengan kerja kebaikan
S7: Pelajar-pelajar mengikut kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.
S8: Mengemaskinikan nota-nota pelajaran
S9: Ikut serta menghadiri majlis perkahwinan rakan taulan orang tua kita.
S10: Mengikuti kursus motivasi untuk memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang.
Isi tersirat (tujuannya)
T1:Kerap mengulang kaji menyebabkan prestasi pelajaran akan sentiasa meningkat
T2: Sering beriadah menyebabkan badan sentiasa sihat dan dapat menjalani hidup dengan lebih tenang
T3: Mengikut ke majlis perkahwinan boleh manambahkan kenalan tanpa mengira peringkat usia.
T4: Mengikut kursus motivasi menyebabkan diri lebih berkeyakinan menjalani kehidupan
Kesimpulan: Remaja harus memanfaatkan setiap masa senggang dengan aktiviti berfaedah agar kehidupan lebih berfokus ke arah kejayaan.
Soalan pemahaman:
1. …menguatkan keteguhan diri untuk melalui hari-hari akan datang.
2. …fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku… Remaja tidak memiliki jadual atau perancangan yang tertentu…Disebabkan tiada perancangan, remaja akan terdorong mengisi masa senggangnya atas pelawaan rakan sebaya atau menghabiskan masa di warung-warung.
3. …Kita perlu mempunyai disiplin kerana hidup kita akan terancang dengan aktiviti yang sihat… Kita tidak akan membazirkan masa dengan aktiviti yang berfaedah…Kita sentiasa berusaha untuk membaiki nasib diri…Kita akan diyakini oleh masyarakat yang berurusan dengan kita

Saturday, March 20, 2010

Rumusan pembantu rumah:Punca ketegangan dgn majikan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya ketegangan hubungan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing dan alternatif untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda tidak lebih 120 patah perkataan.

Kemelut yang membabitkan pembantu rumah warga asing yang bekerja di negara ini semakin rumit dan memerlukan tindakan segera untuk menyelesaikannya. Hal ini bermula dengan isu pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa didera majikan di Malaysia sehingga kepada tindakan kerajaan Indonesia melarang rakyatnya ke negara ini untuk bekerja dalam sektor berkenaan. Senario tersebut memperlihatkan negara semakin terikat dengan permasalahan ini, sedangkan ruang untuk mengatasinya semakin sempit berikutan dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah warga tempatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

Kemelut ini ialah rentetan daripada ketegangan hubungan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing. Ketegangan ini berpunca daripada ketidakpuasan hati pihak majikan terhadap perkhidmatan pembantu rumah warga asing seperti masak-memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak-anak, dan sebagainya. Kos yang perlu dibayar pada setiap bulan agak tinggi, sedangkan perkhidmatan yang diberikan masih belum mencapai tahap terbaik. Hal ini demikian kerana sebahagian besar pembantu rumah mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Selain itu, mereka tidak terlatih dalam bidang pengurusan rumah tangga. Majikan yang mempunyai anak kecil pula risau jika pembantu rumah mendera anak-anak semasa mereka keluar bekerja atau mempengaruhi anak-anak mengamalkan tingkah laku yang menyalahi nilai masyarakat tempatan. Ada juga sesetengah majikan yang bermasalah kerana menganggap pembantu rumah sebagai duri dalam daging yang menjejaskan hubungan kekeluargaan. Perasaan cemburu akan kemesraan dan keakraban yang terjalin antara anak-anak dengan pembantu rumah merumitkan hubungan kedua-dua belah pihak.

Ketegangan ini berpunca juga daripada sikap pembantu rumah yang tidak amanah semasa bekerja terutama ketika majikan tiada di rumah. Antaranya, termasuklah menelefon rakan berjam-jam lamanya, mencuri barang-barang berharga, dan sebagainya. Justeru, majikan tidak dapat menahan sabar apabila timbul situasi harapkan pagar, pagar makan padi. Hubungan yang tidak harmoni itu bertambah serius apabila pembantu rumah bertindak secara agresif dan melawan cakap majikan. Pembantu rumah mendakwa bahawa majikan memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu tanpa rehat yang secukupnya. Sebaliknya, majikan bertegas mengatakan bahawa perkhimatan yang diberikan oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan gaji yang dibayar. Dalam keadaan begitu,majikan mudah naik angin sehingga tergamak mengambil tindakan di luar batas kemanusiaan untuk melepaskan geram. Sebagai jalan penyelesaian, pembantu rumah tekad melarikan diri daripada majikan walaupun kontrak perkhidmatannya belum tamat.

Kini, sudah sampai masanya rakyat Malaysia berusaha supaya tidak mengharapkan pembantu rumah untuk mengurus rumah tangga dan anak-anak. Untuk menangani masalah ini, semua pihak perlu berbincang bagi mencari langkah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pembantu rumah warga asing.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada”Elak Bergantung pada Amah Warga Asing”, Berita Harian, 2 Julai 2009)


1. Berikan maksud rangkai kata duri dalam daging. 2m

2. Nyatakan bidang tugas yang kerap diserahkan oleh majikan kepada pembantu rumah. 3m

3. Pada pandangan anda, mengapakah rakyat asing tertarik untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini?

skema jawapan:

P : Petikan membincangkan sebab-sebab tercetusnya ketegangan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing.

Isi tersurat (Punca)

S1: Timbul ketidakpuasan hati pihak majikan terhadap perkhidmatan pembantu rumah warga asing.
S2: mereka tidak terlatih dalam bidang pengurusan rumah tangga.
S3: Majikan risau jika pembantu rumah warga asing akan mendera anak-anak semasa mereka keluar bekerja.
S4: pembantu rumah tersebut dikhuatiri akan mempengaruhi anak-anak mengamalkan tingkah laku yang menyalahi nilai masyarakat tempatan.
S5: Majikan menganggap pembantu rumah sebagai orang yang menjejaskan hubungan kekeluargaan.
S6: Majikan cemburu akan kemesraan dan keakraban yang terjalin antara anak-anak dengan pembantu rumah.
S7: Sikap pembantu rumah warga asing yang tidak amanah semasa bekerja, terutama ketika majikan tiada di rumah.
S8: Pembantu rumah itu bertindak secara agresif dan melawan cakap majikan.
S9: pembantu rumah warga asing mendakwa bahawa majikan memaksa mereka bekerja 7 hari seminggu tanpa rehat secukupnya.
S10: Majikan pula mengatakan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh pembantu rumah warga asing tidak setimpal dengan gaji yang dibayar.

Isi tersirat ( Alternatif)

T1: Majikan menggunakan khidmat ahli keluarga untuk menggantikan tempat pembantu rumah warga asing.
T2: Kerajaan menubuhkan institusi latihan kemahiran dam bidang pembantu rumah.
T3: Golongan remaja yang menganggur hendaklah dilatih sebagai pembantu rumah.
T4: Rakyat tempatan mengurus rumah tangga mereka sendiri.
T5: Kerajaan mengambil pembantu rumah warga asing dari pelbagai negara.
T6: Syarat kemasukan perkhidmatan pembantu rumah yang diurus oleh pihak ketiga dimansuhkan.

Kesimpulan: Amalan pengambilan pembantu rumah dari luar negara patut dikurangkan agar tidak timbul pelbagai masalah pengurusan rumah tangga.

Pemahaman:

1 … hal yang selalu menyusahkan orang.
2 …tugas-tugas memasak – membasuh pakaian – mengemas rumah – menjaga anak-anak
3 …tiada pekerjaan tetap di negara mereka – terpengaruh oleh pujukan dan ajakan kawan-kawan – gaji yang ditawarkan lumayan berbanding dengan gaji di tempat asal – ada pihak yang mengurus kemasukan mereka ke negara ini.

Rumusan pembantu rumah: Kesulitan yg dihadapi dgn majikan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kesulitan yang dihadapi oleh pembantu rumah dan impak terhadap pembantu rumah.Panjang rumusan anda tidak lebih 120 patah perkataan.

Majikan mengeluarkan belanja yang besar sehingga mencecah RM5,000 untyk proses mendapatkan pembantu. Mereka juga dibayar gaji setiap bulan. Keadaan ini menyebabkan harapan majikan terhadap mutu perkhidmatan pembantu sangat tinggi. Apabila pembantu gagal memberikan perkhidmatan yang diharapkan maka terjadilah kekecewaan. Tidak semua majikan boleh menerima kekecewaan ini dengan sabar dan lapang dada. Terdapat majikan yang kurang sabar dan kadang kala tidak berfikir dengan waras maka terjadilah penderaan. Kerajaan Indonesia telah membuat kesimpulan umum bahawa kebanyakan pembantu rumah dari negaranya yang bekerja di sini terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan berhadapan dengan majikan mereka. Mereka dikatakan diberikan layanan buruk oleh majikan seperti didera, dicabul kehormatan, dan dirogol. Malah dilaporkan sesetengah majikan tidak membayar gaji selain meminta pembantu rumah melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehubungan dengan hal itu, kerajaan Indonesia telah membekukan penghantaran rakyatnya sebagai pembantu rumah ke negara luar termasuk Malaysia. Bagaimanapun, beberapa hari selepas keputusan pembekuan tersebut, dutanya ke Malaysia menjelaskan tindakan itu bukan disebabkan majikan di Malaysia ini kejam, sebaliknya bertujuan mengemas kini prosedur pendaftaran pekerja Indonesia ke luar negara dan menghapuskan kegiatan agensi pekerjaan haram. Kita didedahkan dengan penderitaan yang dialami oleh pembantu rumah Indonesia di Malaysia, sehingga lupa onar yang dilakukan oleh golongan tersebut terhadap majikan mereka yang bukan sedikit. Sudah banyak dilaporkan pembantu rumah dari negara tersebut didakwa mencuri, memukul, mencabul, dan melarikan anak majikan malah lari daripada majikan. Memang ada dakwaan majikan yang tidak memberikan rehat secukupnya kepada pembantu rumah.

Dalam kes lain, dikatakan majikan meminta melayan seks. Akan tetapi sikap negatif sesetengah daripada mereka telah memberikan gambaran buruk terhadap pembantu rumah dari Indonesia. Walaupun pembantu rumah dari Indonesia dikatakan lebih disenangi kerana budaya yang hampir sama, namun tiada langkah yang diambil bagi mengatasi masalah mereka yang tidak serasi terhadap cara hidup majikan masing-masing. Memang ada peraturan yang telah dibuat antara ejen dan majikan bagi menentukan mereka yang beragama Islam tidak bekerja dengan majikan yang bukan Islam. Akan tetapi malangnya insiden pembantu rumah tersebut dipaksa makan makanan yang diharamkan seperti babi dan memandikan anjing. Mereka juga dikatakan tidak dibenarkan bersolat. Ada yang bercadang untuk pulang ke kampung halaman tetapi tidak dibenarkan.

Bagi mereka yang beragama Islam dan bekerja dengan keluarga bukan Islam, masih timbul masalah pertembungan budaya yang serius. Hal ini tidak termasuk masalah pembantu rumah Indonesia tidak berdisiplin , liar, dan kurang memberikan kerjasama kepada majikan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memikir dan melaksanakan langkah-langkah dalam bentuk peraturan yang wajib dipatuhi bagi menangani kesemua persoalan di atas, baik untuk jangka pendek mahupun untuk faedah jangka panjang. Satu lagi persoalan yang menarik untuk diperbincangkan dan sangat berpotensi untuk dilaksanakan untuk mengangkat khidmat pembantu rumah sebagai satu kerjaya. Kursus boleh dijalankan secara jangka pendek agar lebih ramai pekerja boleh dikeluarkan dalam tempoh yang singkat. Pihak swasta juga boleh mengendalikan kursus yang sama dengan menjalani latihan., asal sahaja dengan syarat mendapat pengiktirafan daripada kerajaan. Kita mahu khidmat sebagai pembantu rumah diangkat sebagai satu kerjaya yang mulia, bukan dipandang rendah seperti sekarang.

(Diubahsuaikan daripada rencana “Masalah Pembantu Rumah”’ oleh Hayati Hussin, Utusan Malaysia,20 Mei 2009)

1. Berikan maksud rangkai kata lupa onar yang dilakukan. 2m
2. Berikan contoh sikap negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah? 3m
3. Pada pandangan anda, apakah yang patut dilakukan oleh majikan terhadap pembantu rumah bagi mewujudkan suasana yang harmoni? 4m


































SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan kesukaran/masalah yang dihadapi oleh pembantu rumah.

Isi tersurat (Kesulitan pembantu rumah)

S1: Menghadapi pelbagai kesulitan berhadapan majikan mereka.
S2: Diberikan layanan buruk oleh majikan.
S3: Diminta melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan agama
S4: Majikan tidak memberikan rehat secukupnya.
S5: Majikan meminta melayan seks.
S6: Tidak serasi terhadap cara hidup majikan masing-masing
S7: Dipaksa makan makanan yang diharamkan.
S8: Tidak dibenarkan bersolat
S9: Bercadang pulang ke kampung halaman tetapi tidak dibenarkan
S10: Bekerja dengan keluarga bukan Islam, timbul masalah pertembungan budaya.

Isi tersirat ( Kesan-kesannya)

T1: Pembantu rumah berasa tertekan sehinggakan tidak dapat menjalankan kerja dengan baik.
T2: Memberikan tanggapan buruk pemerintah Indonesia yang menganggap rakyat Malaysia tidak berperikemanusiaan.
T3: Pembantu rumah mengambil tindakan nekad seperti mendera anak majikan sebagai cara untuk membalas dendam
T4: Berita negatif yang disiarkan menyebabkan rakyat Indonesia yang lain kurang berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
T5: Hubungan dua hala antara kerajaan Indonesia dan Malaysia boleh terjejas.

Kesimpulan: Masyarakat perlu bersikap prihatin terhadap pembantu rumah agar mereka memperoleh motivasi untuk bekerja dengan lebih baik.

Pemahaman:

1. …tidak mengingati perkara yang telah dibuat sebelum ini.
2. …mencuri, memukul, mencabul, dan melarikan anak majikan…Lari daripada majikan…Tidak berdisiplin, liar, dan kurang memberikan kerjasama kepada majikan.
3. …Majikanperlu menganggap pembantu rumah sebagai salah seorang anggota keluarga…Majikan perlulah menerangkan dengan jelas kerja-kerja rumah yang perlu dilakukan dan aktiviti yang tidak patut dilakukan. …Majikan perlu memberikan cuti yang wajar untuk memastikan pembantu rumah mendapat rehat yang mencukupi… Jika timbul masalah, hendaklah diselesaikan secara harmoni tanpa menyakitkan hati mana-mana pihak.

Rumusan pembantu rumah - Implikasi pengambilan pembantu rumah warga asing

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang implikasi pengambilan pembantu rumah warga asing di negara ini dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan anda tidak lebih 120 patah perkataan.

Rakyat asing datang ke negara ini bukan sahaja untuk bekerja dalam sector perkilangan, pembinaan dan perladangan, malah dalam bidang perkhidmatan. Namun, kemasukan secara besar-besaran itu akhirnya menyebabkan kebanjiran tenaga kerja dalam semua sektor pekerjaan termasuk pembantu rumah. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai masalah.

Terdapat bakal majikan ditipu dengan maklumat palsu yang diberikan oleh agensi pekerja asing.Pemalsuan tentang maklumat bakal pekerja kerap berlaku dan menimbulkan banyak masalah kepada majikan. Raut wajahnya bagaikan melangkah usia 50-an tetapi biodata yang diberikan baru mencecah 35 tahun. Memang maklumat yang diberikan dengan keadaan sebenar tidak sama. Terdapat juga maklumat palsu tentang status perkahwinan yang menyatakan mereka telah bercerai dengan suami tetapi sebenarnya kedatangan mereka ke negara ini bertujuan untuk mencari suami mereka.

Agensi pekerja asing sama ada di Malaysia atau Indonesia bukan sahaja memalsukan maklumat, malah cuba menipu majikan dengan memberikan imej baik seperti gambar bertudung. Terdapat dalam kalangan mereka juga menghidap pelbagai jenis penyakit seperti lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi sedangkan pekerja yang sihat sahaja dibenarkan masuk ke negara ini sebagaimana telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen. Dengan itu, majikan terpaksa menanggung kos perubatan mereka.

Ada antara pekerja yang sanggup menelefon ke pejabat majikan mereka untuk bertanyakan perkara yang perlu dilakukannya lagi setelah sesuatu kerja selesai. Sebenarnya mereka menunjukkan sikap menentang kerana tidak suka diarahkan untuk bekerja. Apabila ditanya sama ada mereka tahu mencuci atau memasak, mereka katakan bahawa mereka tidak tahu dan berlagak bodoh. Malah, apabila disuruh, mereka cuba melawan . Lebih daripada itu, ada antara pembantu rumah lari meninggalkan rumah dan anak majikan semata-mata untuk bersama dengan teman lelaki.

Sebelum ini, banyak pihak yang beranggapan bahawa pembantu rumah diperlakukan dan dilayan secara tidak baik oleh majikan. Namun, daripada kes-kes tersebut jelas bahawa majikan juga turut menerima nasib malang akibat daripada penipuan pembantu rumah asing.
(Diubahsuaikan daripada Agensi Tipu Maklumat Pembantu Rumah Asing,Berita Harian,31 Jan 2002)


SOALAN:

1. Berikan maksud rangkai kata memberikan imej yang baik? 2m
2.Apakah corak-corak penipuan yang telah dilakukan oleh pekerja asing yang datang
ke Malaysia? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah pekerja asing suka datang dan bekerja di negara ini? 4m




SKEMA JAWAPAN:

P: Petikan membincangkan kesan-kesan/akibat-akibat pengambilan pembantu rumah warga asing

Isi tersurat ( Kesan-kesannya)

S1: bakal majikan ditipu dengan maklumat palsu yang diberikan oleh agensi pekerja asing.
S2: kedatangan mereka ke negara ini sebenarnya bertujuan untuk mencari suami mereka.
S3: majikan ditipu dengan memberikan imej baik
S4: Majikan terpaksa menanggung kos perubatan penyakit yang dihidapi pembantu rumah
S5: Mereka berpura-pura tidak pandai membuat kerja-keja rumah
S6: mereka cuba melawan arahan majikan.
S7: ada antara pembantu rumah lari meninggalkan rumah untuk bersama dengan teman lelaki
S8: Ada yang melarikan anak majikan


Isi tersirat: Cara-cara mengatasinya

T1 – Ketatkan peraturan imigresen
T2 – Majikan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa
T3 – Tindakan tegas kepada warga asing yang didapati menipu
T4 – menyenarai hitam warga asing yang menipu dan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia
T5 – Mengadakan system denda terhadap warga asing yang menipu
T6 – melantik agen yang benar-benar professional
T7 – mengadakan rundingan peringkat pegawai dengan negara jiran.

Kesimpulan: Majikan perlu berhati-hati semasa memilih pekerja warga asing


Pemahaman;

1. …menunjukkan gambaran yang elok
2. …Raut wajah tidak sama dengan biodata…Status perkahwinan yang tidak tepat…Penyakit yang dirahsiakan
3. …peluang pekerjaan lebih banyak…gaji yang ditawarkan lebih lumayan…Kestabilan politik agak baik…Malaysia tidak kerap dilanda bencana alam seperti negara-negara lain.

Friday, March 5, 2010

Latihan peribahasa

1. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Kesanggupan Sazali menjaga adiknya Salem yang ketagihan dadah tahap kronik itu membawa masalah kepadanya. Salem kerap mencuri wang Sazali. Kesabaran Sazali benar-benar teruji sehingga suatu hari Salem ditangkap polis ketika menagih dadah. Semenjak itu Sazali tidak lagi beramah-mesra dan bertegur sapa dengan Salem sehinggalah kematian ibu mereka, barulah mereka mesra kembali. Salem didapati positif HIV dan dia menyesal atas perbuatannya selama ini.
a.
b.
c.
2. Lengkapkan peribahasa yang sesuai.
Para remaja merupakan aset penting dan sangat berharga kepada negara dan seharusnya diberi didikan awal yang sempurna oleh ibu bapa sejak kecil, ibarat kata orang-orang tua ______________________________________________ .Di sekolah pula, para guru mesti memainkan peranan untuk membentuk sahsiah dan moral terpuji dalam kalangan pelajarnya. Justeru, mereka haruslah menunjukkan komitmen yang tinggi dan bekerjasama dengan ibu bapa agar dapat meningkatkan martabat pelajar dalam pelbagai bidang, sesuai dengan peribahasa ____________________________________________. Para pelajar sememangnya tidak lepas daripada melakukan pelbagai kesalahan, bak kata pepatah _____________________________ ____________________, namun ibu bapa dan guru perlu menggembleng tenaga bagi mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang timbul.

2. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai .
a. Sudah puas ibu bapa dan kawan-kawannya memberi nasihat tetapi tidak sedikitpun dipedulikan dan kini Ahmad masih dengan perlakuan buruknya

b. Abu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kini telah insaf serta bertaubat tidak akan mengulangi lagi dan kini telah kembali menjalani kehidupan bersama keluarga.


c. Walaupun Encik Rosli daripada keluarga ternama dan berjawatan tinggi ia tidak pernah berasa besar diri sebaliknya sentiasa bergaul mesra dengan semua penduduk kampung

Pilihan jawapan

Pilihan jawapan:

1. Mencurah air ke daun keladi
= tiada berkesan
2. Laut mana yang tidak bergelora
= segala usaha tetap ada kesukaran atau bahayanya
3. Jika ular menyusur akar, tiada hilang bisanya
= orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya
4. Sudah terhantuk baru terngadah
= sudah susah baru teringat
5. Seperti mendukung biawak hidup
= menanggung beban yang menyusahkan
6. Melentur buluh biar dari rebungnya
= melatih anak biar dari kecil
7. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga
= adik-beradik bergaduh akan berbaik balik
8. Sesat di hujung jalan , balik ke pangkal jalan
= apabila salah mulakan sekali lagi
9. Bagai aur dengan tebing
= saling membantu

Jawapan

1. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Kesanggupan Sazali menjaga adiknya Salem yang ketagihan dadah tahap kronik itu membawa masalah kepadanya. Salem kerap mencuri wang Sazali. Kesabaran Sazali benar-benar teruji sehingga suatu hari Salem ditangkap polis ketika menagih dadah. Semenjak itu Sazali tidak lagi beramah-mesra dan bertegur sapa dengan Salem sehinggalah kematian ibu mereka, barulah mereka mesra kembali. Salem didapati positif HIV dan dia menyesal atas perbuatannya selama ini.
Seperti mendukung biawak hidup
Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga
Sudah terhantuk baru terngadah

2. Lengkapkan peribahasa yang sesuai.
Para remaja merupakan aset penting dan sangat berharga kepada negara dan seharusnya diberi didikan awal yang sempurna oleh ibu bapa sejak kecil, ibarat kata orang-orang tua melentur buluh biar dari rebungnya. Di sekolah pula, para guru mesti memainkan peranan untuk membentuk sahsiah dan moral terpuji dalam kalangan pelajarnya. Justeru, mereka haruslah menunjukkan komitmen yang tinggi dan bekerjasama dengan ibu bapa agar dapat meningkatkan martabat pelajar dalam pelbagai bidang, sesuai dengan peribahasa bagai aur dengan tebing. Para pelajar sememangnya tidak lepas daripada melakukan pelbagai kesalahan, bak kata pepatah laut mana yang tidak bergelora, namun ibu bapa dan guru perlu menggembleng tenaga bagi mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang timbul

3. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai .
a. Sudah puas ibu bapa dan kawan-kawannya memberi nasihat tetapi tidak sedikitpun dipedulikan dan kini Ahmad masih dengan perlakuan buruknya
Mencurah air ke daun keladi
b. Abu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kini telah insaf serta bertaubat tidak akan mengulangi lagi dan kini telah kembali menjalani kehidupan bersama keluarga.
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

c. Walaupun Encik Rosli daripada keluarga ternama dan berjawatan tinggi ia tidak pernah berasa besar diri sebaliknya sentiasa bergaul mesra dengan semua penduduk kampung.
Jika ular menyusur akar, tiada hilang bisanya

Latihan peribahasa

A. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat itu.
1. Mata Mak Usu Lijah nampak cengkung disebabkan tidak dapat tidur lena kerana menjaga suaminya yang sakit tenat di hospital itu.

2. Azman seorang yang baik dan berbudi bahasa, manakala perangai adiknya jauh berbeza dengannya kerana nakal dan tidak mendengar nasihat ibu bapa.


3. Setelah lama merantau ke luar negara, akhirnya Pak Su Osman pulang ke kampung halamannya dan menjalankan perniagaan kedai runcit.

B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Setelah hampir 10 tahun Salim belajar dan bekerja di Australia, akhirnya dia membuat keputusan kembali ke Malaysia untuk menabur bakti di tanah airnya sendiri. Walaupun telah puas mencari kerja yang sesuai dengan kelayakannya tetapi dia tetap hampa. Salim membuat keputusan untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan dahulu sementara menunggu peluang kerja yang lebih baik. Namun usaha itu dipandang rendah oleh saudara-maranya kerana mendakwa dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan. Salim sedar akan masalah tersebut tetapi dia yakin akan berjaya. Dia berusaha mendalami bidang yang baharu diceburi itu dengan bertanya kepada beberapa orang kenalannya dan mengikuti kursus yang berkaitan dengan perniagaan makanan.

i.
ii.
iii.

Pilihan jawapan

Pilihan jawapan

1. Berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak
= sementara menunggu sesuatu yang baik,lakukan juga perkara-perkara yang berfaedah
2. Seperti sirih pulang ke gagang
= kena pada tempatnya
3. Kalau tidak dipecahkan ruyung,masakan dapat sagunya
= kalau tidak berusaha masakan boleh berjaya
4. Tidur-tidur ayam
= tidur yang tidak nyenyak
5. Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau
= selalu kembali ke tempat asalnya
6. Bagai bumi dengan langit
= sangat berbeza

Jawapan

A. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat itu.

1. Mata Mak Usu Lijah nampak cengkung disebabkan tidak dapat tidur lena kerana menjaga suaminya yang sakit tenat di hospital itu.
Tidur-tidur ayam
2. Azman seorang yang baik dan berbudi bahasa, manakala perangai adiknya jauh berbeza dengannya kerana nakal dan tidak mendengar nasihat ibu bapa.
Bagai bumi dengan langit
3. Setelah lama merantau ke luar negara, akhirnya Pak Su Osman pulang ke kampung halamannya dan menjalankan perniagaan kedai runcit.
Seperti sirih pulang ke gagang

B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Setelah hampir 10 tahun Salim belajar dan bekerja di Australia, akhirnya dia membuat keputusan kembali ke Malaysia untuk menabur bakti di tanah airnya sendiri. Walaupun telah puas mencari kerja yang sesuai dengan kelayakannya tetapi dia tetap hampa. Salim membuat keputusan untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan dahulu sementara menunggu peluang kerja yang lebih baik. Namun usaha itu dipandang rendah oleh saudara-maranya kerana mendakwa dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan. Salim sedar akan masalah tersebut tetapi dia yakin akan berjaya. Dia berusaha mendalami bidang yang baharu diceburi itu dengan bertanya kepada beberapa orang kenalannya dan mengikuti kursus yang berkaitan dengan perniagaan makanan.
Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga
Berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak
Kalau tidak dipecahkan ruyung,masakan dapat sagunya

Latihan peribahasa

1. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Kita perlu mempelajari dan mengikuti budaya sesuatu tempat agar kita mudah diterima masyarakat. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Tidak akan hina seseorang itu jika mengakui kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Jika sikap ini diamalkan nescaya kita akan mendapat ramai kawan.
a.
b.
c.
2. Baca dialog di bawah dengan teliti kemudian berikan peribahasa yang bersesuaian dengan dialog tersebut.
Kata Siva kepada peserta-peserta kursus, “Kerjasama juga merupakan salah satu daripada unsur terpenting untuk mencapai perpaduan. Oleh itu, setiap rakyat hendaklah mempraktikkannya demi menjamin kestabilan ekonomi bagi mengekalkan kemerdekaan, kemajuan, dan keamanan negara kita.”
“Walaupun di mana-mana juga kita berada di Malaysia, kita mestilah patuh akan undang-undang negara ini supaya kehidupan kita lebih harmoni.” Tegas Siva seterusnya.
“Janganlah kita menjadi orang yang tidak mengenang budi umpamanya melawan ibu bapa atau menentang kerajaan yang telah banyak berjasa, membuat huru-hara dansebagainya.” Nasihat Siva kepada peserta pada akhir ceramahnya.
a.
b.
c.
3. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti , kemudian lengkapkan tempat kosong dengan peribahasa
a. Hakimi disayangi dan disegani oleh rakan-rakan di sekolahnya kerana dia menjadi_____________________________________ pasukan bola tampar yang sentiasa cemerlang dalam setiap perlawanan.
b. Apabila membuat keputusan, kita perlulah berfikir semasak-masaknya supaya sesuatu yang sudah dimiliki tidak akan hilang, manakala yang dihajati pula tidak terlepas begitu sahaja ibarat____________________________________________________________
c. Pembabitan salah seorang anak Hj.Deraman dalam kegiatan jenayah telah merosakkan nama baik seluruh ahli keluarganya ibarat ____________________________________________________ sedangkan selama ini mereka dipandang tinggi oleh masyarakat di kampung ini.

Pilihan jawapan

Pilihan jawapan
1. Ayam tambatan
= orang harapan
2. Seperti kacang lupakan kulit
= melupakan budi baik orang
3. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
= Hendaklah menurut adat dan peraturan di tempat yang kita diami
4. Seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit
= seorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa
5. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
= orang mulia merendahkan diri tidak jatuh martabatnya
6. Ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni
= senang sama senang, susah sama susah
7. Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
= mementingkan diri sendiri
8. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran
= yang diusahakan tak dapat, yang ada hilang

Jawapan

1. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
Kita perlu mempelajari dan mengikuti budaya sesuatu tempat agar kita mudah diterima masyarakat. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Tidak akan hina seseorang itu jika mengakui kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Jika sikap ini diamalkan nescaya kita akan mendapat ramai kawan.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
2. Baca dialog di bawah dengan teliti kemudian berikan peribahasa yang bersesuaian dengan dialog tersebut.
Kata Siva kepada peserta-peserta kursus, “Kerjasama juga merupakan salah satu daripada unsur terpenting untuk mencapai perpaduan. Oleh itu, setiap rakyat hendaklah mempraktikkannya demi menjamin kestabilan ekonomi bagi mengekalkan kemerdekaan, kemajuan, dan keamanan negara kita.”
“Walaupun di mana-mana juga kita berada di Malaysia, kita mestilah patuh akan undang-undang negara ini supaya kehidupan kita lebih harmoni.” Tegas Siva seterusnya.
“Janganlah kita menjadi orang yang tidak mengenang budi umpamanya melawan ibu bapa atau menentang kerajaan yang telah banyak berjasa, membuat huru-hara dan sebagainya.” Nasihat Siva kepada peserta pada akhir ceramahnya.
Ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni.
Seperti kacang lupakan kulit
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
3. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti , kemudian lengkapkan tempat kosong dengan peribahasa
a. Hakimi disayangi dan disegani oleh rakan-rakan di sekolahnya kerana dia menjadi pasukan bola tampar ayam tambatan yang sentiasa cemerlang dalam setiap perlawanan.
b. Apabila membuat keputusan, kita perlulah berfikir semasak-masaknya supaya sesuatu yang sudah dimiliki tidak akan hilang, manakala yang dihajati pula tidak terlepas begitu sahaja ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran
c. Pembabitan salah seorang anak Hj.Deraman dalam kegiatan jenayah telah merosakkan nama baik seluruh ahli keluarganya ibarat seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit sedangkan selama ini mereka dipandang tinggi oleh masyarakat di kampung ini.

Latihan peribahasa

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat itu.
1. Hasil usaha Datuk Johari yang memakan masa bertahun-tahun hingga menjadi seorang usahawan yang berjaya telah musnah gara-gara sikap tamak halobanya apabila beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah.

2. Majikan Shamsul memintanya belajar menggunakan perisian komputer dengan Faiz, walhal dia telah memiliki sijil kemahiran komputer sejak di Tingkatan Lima lagi.

3. Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang sedap didengar dan masih digemari ramai hingga sekarang.

Baca petikan dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini mengikut urutan.
Bagi pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara, tentulah bangga. Jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang memang banyak tetapi tempat dan peluang yang terhad menyebabkan sesiapa yang terpilih, tergolong sebagai pelajar yang bertuah. Barangkali pelajar yang terpilih itu pun tidak menyangka mereka mendapat peluang berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka yang terpilih ini tentulah pelajar yang telah berusaha dengan gigih kerana mereka menyedari bahawa kejayaan itu tidaklah datang dengan mudah. Kita mengharapkan apabila mereka berada di luar negara , mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran yang baharu supaya pergaulan dan tindak-tanduk mereka tidaklah kekok. Semoga mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
a.
b.
c.

pilihan jawapan

Pilihan jawapan:
1. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
= menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
2. Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas
= sesuatu yang tetap utuh
3. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu
= tidak ada orang yang tahu nasib orang lain
4. Panas setahun hapus dek hujan sehari
= kerana salah sedikit, habis dilupakan segala kebaikan yang ada
5. Seperti mengajar itik berenang
= mengajar orang yang pakar
6. Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang
= kejayaan tidak akan datang kalau tidak berusaha

Jawapan

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat itu.
1. Hasil usaha Datuk Johari yang memakan masa bertahun-tahun hingga menjadi seorang usahawan yang berjaya telah musnah gara-gara sikap tamak halobanya apabila beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah.
Panas setahun hapus dek hujan sehari
2. Majikan Shamsul memintanya belajar menggunakan perisian komputer dengan Faiz, walhal dia telah memiliki sijil kemahiran komputer sejak di Tingkatan Lima lagi.
Seperti mengajar itik berenang
3. Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang sedap didengar dan masih digemari ramai hingga sekarang.
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Baca petikan dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini mengikut urutan.
Bagi pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara, tentulah bangga. Jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang memang banyak tetapi tempat dan peluang yang terhad menyebabkan sesiapa yang terpilih, tergolong sebagai pelajar yang bertuah. Barangkali pelajar yang terpilih itu pun tidak menyangka mereka mendapat peluang berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka yang terpilih ini tentulah pelajar yang telah berusaha dengan gigih kerana mereka menyedari bahawa kejayaan itu tidaklah datang dengan mudah. Kita mengharapkan apabila mereka berada di luar negara , mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran yang baharu supaya pergaulan dan tindak-tanduk mereka tidaklah kekok. Semoga mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu
Yang bulat tak datang bergolek,yang pipih tak datang melayang
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak

Latihan peribahasa

A. Lengkapkan dengan peribahasa yang sesuai
i. Saya baru melancong ke negara-negara _________________________________ seperti Switzerland dan Perancis.
ii. Pak Malim bertindak secara terburu-buru,bak kata orang tua-tua,_________________
_____________________________________________ kerana mengabaikan perniagaannya yang sedia ada lalu menyalurkan kesemua modalnya kepada projek perumahan rakan baiknya setelah mendapat khabar angin yang menggalakkan tentang projek itu.
iii. Oleh sebab terlalu galak bermain saham, semua wang yang disimpannya secara dikit-dikit habis dalam sekelip mata, bak kata orang _____________________________________________
B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
Raja Sulaiman berasa sedih kerana arahannya diingkari. Beliau merasakan bahawa beliau tidak dipentingkan lagi. Segala pendapatnya tidak dihargai dan diketepikan. Apabila sultan mendapat tahu bahawa keluarga diraja enggan bekerjasama dengan raja Sulaiman untuk membina kubu dan kota, baginda berasa kesal. Kaum kerabat diraja yang diharapkan memberi sokongan padu telah mengecewakan baginda. Pada pendapat baginda, mereka telah mengkhianati baginda. Oleh itu, sultan membuat keputusan untuk turut serta membina kubu dan kota bersama-sama masyarakat bawahan. Baginda ingin memberi contoh kepada keluarga baginda.
i.
ii.
iii.
C. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
i. “Usahlah kamu cuba melatih burung itu untuk bercakap kerana burung merpati tidak boleh bercakap. Usaha kamu itu sia-sia sahaja,” kata Joshua kepada Ashwin.

ii. Jangan sekali-kali beritahu rahsia kami kepada si Mamat. Dia itu tidak boleh simpan rahsia,” nasihat Ellia kepada kakaknya.

iii. Sementara menunggu tawaran biasiswa untuk belajar di luar negara, Shasha menyambung pelajarannya di tingkatan enam dahulu.

Pilihan jawapan

Pilihan jawapan:
1. Naik seperti semut turun seperti ribut
= untuk berjaya memang lambat, untuk gagal memang cepat
2. Harapkan pagar, pagar makan padi
= dikhianati orang yang dipercayai
3. Atas angin
= negara-negara sebelah barat
4. Tiada rotan akar pun berguna
= sementara menunggu yang lebih baik,yang kurang baik pun berguna
5. Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan
= kerana mengharap yang belum pasti, yang ada dibuang
6. Mulut tempayan
= tidak boleh menyimpan rahsia
7. Bagai melukut di tepi gantang
= tidak penting/ tidak dipedulikan
8. Turun padang
= lawat lokasi projek
9. Mencurah garam ke laut
= perbuatan yang tidak akan menghasilkan apa-apa

Jawapan

A. Lengkapkan dengan peribahasa yang sesuai
i. Saya baru melancong ke negara-negara atas angin seperti Switzerland dan Perancis.
ii. Pak Malim bertindak secara terburu-buru,bak kata orang tua-tua,mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan kerana mengabaikan perniagaannya yang sedia ada lalu menyalurkan kesemua modalnya kepada projek perumahan rakan baiknya setelah mendapat khabar angin yang menggalakkan tentang projek itu.
iii. Oleh sebab terlalu galak bermain saham, semua wang yang disimpannya secara dikit-dikit habis dalam sekelip mata, bak kata orang naik seperti semut, turun seperti ribut.
B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
Raja Sulaiman berasa sedih kerana arahannya diingkari. Beliau merasakan bahawa beliau tidak dipentingkan lagi. Segala pendapatnya tidak dihargai dan diketepikan. Apabila sultan mendapat tahu bahawa keluarga diraja enggan bekerjasama dengan raja Sulaiman untuk membina kubu dan kota, baginda berasa kesal. Kaum kerabat diraja yang diharapkan memberi sokongan padu telah mengecewakan baginda. Pada pendapat baginda, mereka telah mengkhianati baginda. Oleh itu, sultan membuat keputusan untuk turut serta membina kubu dan kota bersama-sama masyarakat bawahan. Baginda ingin memberi contoh kepada keluarga baginda
i. Harapkan pagar, pagar makan padi
ii. Bagai melukut di tepi gantang
iii. Turun padang
C. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
i. “Usahlah kamu cuba melatih burung itu untuk bercakap kerana burung merpati tidak boleh bercakap. Usaha kamu itu sia-sia sahaja,” kata Joshua kepada Ashwin.
Mencurah garam ke laut
ii. Jangan sekali-kali beritahu rahsia kami kepada si Mamat. Dia itu tidak boleh simpan rahsia,” nasihat Ellia kepada kakaknya.
Mulut tempayan
iii. Sementara menunggu tawaran biasiswa untuk belajar di luar negara, Shasha menyambung pelajarannya di tingkatan enam dahulu.
Tiada rotan akar pun berguna

latihan peribahasa

A. Isi tempat kosong dengan peribahasa yang paling sesuai.
Pada mulanya Puteri Hang Li Po yang datang dari negara ______________________ tidak dapat menyesuaikan diri dengan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu Melaka. Namun demikian, setelah beberapa lama menetap di Melaka, Puteri Hang Li Po mula mempelajari bahasa Melayu dan akhirnya menerima kebudayaan masyarakat Melayu kerana baginya _______________________. Puteri Hang Li Po nekad untuk mencuba sedaya upaya menyesuaikan diri. Puteri Hang Li Po amat yakin bahawa baginda dapat mengatasi sebarang cabaran yang ditempuhi kerana ___________________________
B. Berikan dua peribahasa yang sesuai untuk setiap ayat di bawah
i. Pegawai-pegawai istana yang baru dilantik perlu menguasai bahasa yang dituturkan oleh golongan istana.

ii. Para artis sering kali dikaitkan dengan gejala negatif seperti pengambilan dadah dan pergaulan bebas semata-mata kerana segelintir daripada mereka terlibat dengan permasalahan tersebut.

C. Berikan satu peribahasa yang seerti maksudnya dengan setiap peribahasa di bawah.

i. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua


ii. Bagaimana acuan begitulah kuihnya


iii. Bagai pinang dibelah dua

pilihan jawapan

Pilihan jawapan:
1. Seperti cincin dengan permata
= sama-sama cantik
2. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan
= seseorang itu mempunyai cita-cita dia akan berusaha untuk mencapainya
3. Air dicencang tidak akan putus
= dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan
4. Bahasa istana
= ragam bahasa istana
5. Masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak
= menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling
6. Sebab nila setitik rosak susu sebelanga
= kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak
7. Bawah angin
= negeri-negeri di timur
8. Bapa borek anak rintik
= anak menurut baka bapa
9. Seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit
= seorang berbuat salah, semuanya terbabit
10. Bahasa dalam
= ragam bahasa istana

jawapan

A. Isi tempat kosong dengan peribahasa yang paling sesuai.
Pada mulanya Puteri Hang Li Po yang datang dari negara bawah angin tidak dapat menyesuaikan diri dengan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu Melaka. Namun demikian, setelah beberapa lama menetap di Melaka, Puteri Hang Li Po mula mempelajari bahasa Melayu dan akhirnya menerima kebudayaan masyarakat Melayu kerana baginya masuk kandang kambing mengembek,masuk kandang kerbau menguak . Puteri Hang Li Po nekad untuk mencuba sedaya upaya menyesuaikan diri. Puteri Hang Li Po amat yakin bahawa baginda dapat mengatasi sebarang cabaran yang ditempuhi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
B. Berikan dua peribahasa yang sesuai untuk setiap ayat di bawah
i. Pegawai-pegawai istana yang baru dilantik perlu menguasai bahasa yang dituturkan oleh golongan istana.
Bahasa istana / Bahasa dalam
ii. Para artis sering kali dikaitkan dengan gejala negatif seperti pengambilan dadah dan pergaulan bebas semata-mata kerana segelintir daripada mereka terlibat dengan permasalahan tersebut
Sebab nila setitik rosak susu sebelanga/seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

C. Berikan satu peribahasa yang seerti maksudnya dengan setiap peribahasa di bawah.

i. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua
Air dicencang tidak akan putus
ii. Bagaimana acuan begitulah kuihnya
Bapa borek anak rintik
iii. Bagai pinang dibelah dua
Seperti cincin dengan permata