BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 13, 2010

Rumusan: Faktor2 budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin menular dan kesan-kesannya . Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada hakikatnya sepasang suami isteri mampu dan sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga dan mendidik anak-anak, namun amat malang apabila anak yang banyak tidak sanggup membela dan memberi kesenangan apabila ibu bapa mereka telah tua dan tidak bermaya. Anak-anak yang diibaratkan Si Tanggang moden ini akan mengambil jalan mudah dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Sebahagian daripada anak yang dikategorikan sebagai anak derhaka ini, berpendapat adalah lebih wajar dan bijak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan atau rumah orang tua agar ada orang lain yang dapat menjaga dan memastikan keselesaan pakaian, makan minum dan tempat tidur ibu bapa mereka. Alasan mereka ialah mereka terlalu sibuk dan tiada masa untuk meluangkan masa bersama-sama ibu bapa. Si Tanggang moden yang tidak bertanggungjawab, kurang prihatin dan tidak berfikir secara waras ini akan mengambil jalan yang tidak berperikemanusiaan dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.Bahkan, ada anak yang bangga bercerita kepada rakan sepejabat bahawa mereka menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua ekoran tidak tahan dengan kerenah orang tua mereka sendiri.

Keadaan akan menjadi lebih parah bagi ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri. Jalan terakhir yang diambil oleh Si Tanggang adalah dengan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan, ke rumah waris terdekat atau ditinggal sebatang kara di kampung. Ada anak yang memberikan alasan bahawa gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tanggungjawab sebagai anak. Sikap anak-anak yang menjadikan ibu bapa seperti orang gaji dengan senang hati menyuruh dan mengarah ibu bapa menjaga anak, memasak, mencuci, berkebun dan sebagainya tanpa atau dengan bayaran. Hal ini menyebabkan ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak , meminta anak-anak menghantar mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.


Malahan, terdapat sebahagian anak-anak yang lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri. Kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna. Bagi yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau yang sedang bercita-cita menghantar ibu bapa mereka ke sana, maka sudah tentu mereka juga perlu bersedia bahawa pada suatu hari nanti , mereka juga bakal dihantar ke tempat yang sama.

Oleh itu, saranan beberapa orang ahli Parlimen yang prihatin agar tindakan tegas dikenakan ke atas anak derhaka perlu diberi perhatian. Saranan agar kerajaan memotong gaji anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa yang sama memberikan insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri perlu dipertimbangkan. Bagi anak-anak yang sedar, peluang berbakti kepada orang tua bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan yang perlu ditunaikan.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Berita Harian, Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata ditinggal sebatang kara. 2m
2. Mengapakah sesetengah ibu bapa tidak tahan apabila tinggal bersama-sama anak-anak mereka? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah didikan agama dapat mengatasi masalah ibu bapa yang dihantar ke pusat jagaan atau rumah orang tua-tua? 4m








SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan punca-punca budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Isi tersurat: Punca-punca
S1: agar ada orang lain menjaga dan memastikan keselesaan ibu bapa mereka.
S2: anak-anak terlalu sibuk dan tiada masa untuk melapangkan masa bersama-sama ibu bapa
S3: tidak tahan dengan kerenah orang tua
S4: anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri
S5: gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tangungjawab sebagai anak.
S6: ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak yang menjadikan mereka orang gaji meminta anak-anak mereka menghantar ke rumah orang tua
S7: anak-anak lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri
S8: kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang akan ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.
Isi tersirat: Kesan-kesannya
T1: wujud masyarakat yang hanya mementingkan diri
T2: nasib orang tua semakin terabai
T3: anak-anak semakin kurang hormat kepada ibu bapa
T4: runtuhnya sistem kekeluargaan dalam kalangan masyarakat
Kesimpulan: Anak-anak perlu kembali kepada ajaran agama agar nasib warga tua terbela.


soalan pemahaman
1. …hidup sendirian
2. …anak-anak menjadikan ibu bapa sebagai orang gaji…perkhidmatan mereka tidak dibayar…memberikan bebanan khusus kepada mereka yang bekerja
3. …penekanan kepada anak-anak tentang konsep kasih sayang dan hormat-menghormati ibu bapa dalam agama itu sendiri…ibu bapa menunjukkan contoh dan didikan agama yang dipelajari kepada anak-anak…menerangkan hukuman-hukuman yang termaktub dalam agama terhadap anak-anak yang derhaka dan mengabaikan ibu bapa.

0 comments: