BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 13, 2010

Rumusan: Punca2 anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan dan langkah-langkah membendungnya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


Peningkatan taraf hidup lazimnya menyebabkan manusia lalai dan mengabaikan beberapa tanggungjawab. Hal ini terbukti apabila anak-anak melupakan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa sendiri. Kini, kerap diperkatakan umum bahawa terdapat anak-anak yang menghantar orang tua mereka ke rumah kebajikan. Isu ini telah menjadi semakin serius di negara kita. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah sesuatu yang tidak kena berlaku dalam sistem kekeluargaan kita?


Apabila kita membicarakan permasalahan yang menyentuh warga tua, maka kita seharusnya sedar bahawa kebahagiaan mereka terletak pada kerukunan sesebuah institusi keluarga maka sudah tentu hubungan antara ahli keluarga menjadi renggang dan membosankan warga tua. Untuk menjamin keselesaan warga tua pada lewat usianya maka mereka harus membuat persiapan di peringkat awal lagi. Sejak anak-anak masih kecil, ibu bapa harus membentuk peribadi mereka supaya menjadi insan yang baik. Dalam hal ini, sebuah institusi keluarga yang penyayang akan dapat melahirkan anak yang bertanggungjawab , hormat-menghormati , serta bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Ibu bapa tidak perlu bimbang akan masa depan mereka apabila mencapai usia tua jika suasana begini wujud dalam keluarga mereka. Sebaliknya, anak-anak yang tidak dididik dan diasuh dengan nilai-nilai murni akan membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat dan terumbang-ambing. Selain itu, mereka tidak akan melayan ibu bapa mereka dengan sempurna.


Sesebuah institusi keluarga itu hendaklah berfungsi dengan baik. konsep “Rumah Tangga Aman, Keluarga Bahagia” hendaklah diamalkan oleh setiap keluarga supaya dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram. Setiap anak harus disedarkan akan pentingnya tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Anak-anak yang mengahantar ibu bapa ke rumah kebajikan atau rumah orang tua-tua menunjukkan kejahilan mereka dalam bidang agama. Mereka seharusnya sedar bahawa selama ini ibu bapalah yang membesarkan dan memberi mereka segala keperluan sejak tangisan pertama sehingga mereka berjaya dan dapat menjalani kehidupan sendiri. Namun begitu, bagi sesetengah anak jasa-jasa yang dicurahkan oleh orang tua mereka sedikit pun tidak dihargai. Bagi anak-anak ini, mereka beranggapan ibu bapa hanya menjadi beban kepada mereka sahaja. Hal ini ditambah pula dengan kerenah orang tua yang pelbagai ragam dan kadangkala kebudak-budakan.


Walau bagaimanapun, kita tetap beranggapan bahawa institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan kehidupan yang selesa kepada orang tua. Ahli keluarga hendaklah menjadikan tugas menjaga kebajikan orang tua sebagai tanggungjawab yang tidak harus diabaikan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Keutuhan Institusi Keluarga Menjamin Masa Depan Warga Tua, oleh Izani Hj. Daud, Dewan Masyarakat, Mac 2002)



1. Apakah yang dimaksudkan dengan memberi mereka segala keperluan sejak tangisan pertama? 2m
2. Jelaskan punca-punca yang menyebabkan semakin banyak anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan. 3m
3. Pada pandangan anda, wajarkah hukuman berat dikenakan kepada anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. 4m










SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kelalaian anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang tua mereka.
Isi tersurat: Punca-punca
S1: Tidak wujud suasana bahagia dan harmoni dalam sesebuah keluarga
S2: Hubungan antara ahli keluarga tidak rapat dan sering berselisih faham dengan ibu bapa
S3: Semasa anak masih kecil ibu bapa tidak mendidik mereka menjadi insan yang baik
S4: Ibu bapa tidak melayan anak-anak dengan baik
S5: Anak-anak membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat
S6: Anak-anak ini jahil dalam selok belok agama
S7: Anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa hanya menjadi beban dan menyusahkan mereka sahaja
Isi tersirat : Langkah-langkah
T1: Anak-anak haruslah mengadakan permuafakatan untuk menjaga ibu bapa mereka yang telah uzur
T2: Media massa melancarkan kempen “Sayangi Warga Tua”.
T3: Sejak kecil ibu bapa berkewajipan mendidik anak-anak supaya menjadi seorang yang penyayang dan bertanggungjawab antara satu dengan yang lain
T4: Mewujudkan kurikulum yang berkait dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa dalam sistem pendidikan
T5: Menaikkan kadar yuran penjagaan orang tua di rumah kebajikan
T6: Anak-anak yang menyisihkan ibu bapa untuk kesenangan sendiri hendaklah dikenakan hukuman yang berat
Kesimpulan: Walau bagaimanapun, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan kehidupan yang selesa kepada warga tua



Soalan pemahaman:
.1. ...ibu bapa telah menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh anak sejak lahir lagi
2. ...ibu bapa tidak mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni...anak-anak ini jahil tentang ilmu agama...tidak wujud suasana yang harmoni dalam sesebuah keluarga...anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa yang uzur menyusahkan mereka
3. ...wajar. Hal ini kerana ibu dan bapa ialah insan yang mendidik dan menyayangi anak-anak dengan mengenepikan kepentingan dirinya, bak kata pepatah, “bagai menatang minyak yang penuh”

0 comments: