BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 13, 2010

Rumusan: Cara terbaik membahagiakan ayah dan ibu

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara terbaik membahagiakan ayah dan ibu dan sikap negatif anak terhadap ibu bapa. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


“Kasih ibu membawa ke syurga”. Ungkapan itulah yang sering kita dengar berkaitan dengan kasihnya ibu. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk kebendaan dan hubungan kasih sayang. Hal ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian. Oleh itu, kita hendaklah memberi nafkah kepada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Selain itu, kita perlu menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.


Seterusnya memberi kasih sayang yang sesuai dengan mereka. Kasih sayang yang ditunjkkan sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Pada waktu yang sama kita perlu memberi perhatian terhadap kesihatan mereka.Mereka terasa disisih dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa. Kita juga hendaklah menemui permintaan mereka. Ibu bapa sering kali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permntaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga, dan masa.


Kita juga hendaklah melakukan sesuatu yang disukai oleh ibu bapa. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuau yang baik pada pandangan mereka. perbuatan melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Kita juga perlu bercakap dengan lemah lembut. Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa.


Jika kita berkemampuan, kita digalakkan mengahadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar ibu bapa dapat berkongsi kegembiraan bersama-sama. Ibu juga akan berasa bangga dengan kejayaan yang diraih oleh anak. Malah, ibu bapa mengharapkan ahli keluarga yang lain mencontohi kejayaan tersebut. Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Jika ada terluang, kita perlu meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya. Kita jangan lupa mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa kita. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
(Dipetik daripada rencana “Membahagiakan Ayah dan Ibu Sepanjang Hayat”, oleh Rajiah Hasan, Utusan Malaysia, 13 Mei 2998)


1. Berikan maksud rangkai kata melaksanakan sesuatu keperluan. 2m
2. Mengapakah kita perlu menyampaikan berita gembira kepada ibu bapa kita? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah ramai orang kita tergamak melupakan ibu bapa mereka? 4m





SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa kita .
Isi Tersurat: Cara terbaik
S1: Memberi nafkah kepada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan
S2: Perlu menyediakan tempat tinggal
S3: memberi kasih sayang yang sesuai dengan usia mereka
S4: Memberi perhatian terhadap kesihatan mereka
S5: Hendaklah memenuhi permintaan mereka.
S6: Melakukan sesuatu yang disukai
S7: Bercakap dengan lemah lembut
S8: Digalakkan menghadiahkan kejayaan
S9: Perlu meluangkan masa bersama-sama
S10: Mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa kita
Isi tersirat : Sikap negatif anak
T1: Membiarkan ibu bapa dalam kesusahan walaupun mempunyai kemampuan
T2: Jarang menjenguk mereka dengan alas an sibuk terhadap kerjaya
T3: Bersikap kasar terhadap ibu bapa sehinggakan hati mereka tersinggung
T4: Tidak mahu memberitahu cerita kejayaan, sebaliknya cerita kesusahan sahaja
Kesimpulan: Kita perlu berusaha membahagiakan ibu bapa kita agar hari-hari tua yang dilalui amat menggembirakan.
Soalan pemahaman:
1. …menjalankan sesuatu yang dirancang
2. …supaya ibu bapa dapat berkongsi kegembiraan bersama-sama…ibu juga akan berasa bangga dengan kejayaan yang diraih oleh anak…Ibu bapa mengharapkan ahli keluarga yang lain mencontohi kejayaan tersebut
3. …kerana sejak kecil mereka tidak menerima kasih sayang yang penuh daripada kedua-dua orang tua mereka…kemungkinan berasa kecil hati kerana ibu bapa mereka bersikap pilih kasih kalangan adik-beradik…mereka berasa malu untuk menerima kenyataan ibu bapa mereka daripada kalangan orang yang miskin…terpengaruh dengan pujukan isteri yang menganggap memberi perhatian terhadap mentua merupakan satu beban.

Rumusan: Punca2 anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan dan langkah-langkah membendungnya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


Peningkatan taraf hidup lazimnya menyebabkan manusia lalai dan mengabaikan beberapa tanggungjawab. Hal ini terbukti apabila anak-anak melupakan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa sendiri. Kini, kerap diperkatakan umum bahawa terdapat anak-anak yang menghantar orang tua mereka ke rumah kebajikan. Isu ini telah menjadi semakin serius di negara kita. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah sesuatu yang tidak kena berlaku dalam sistem kekeluargaan kita?


Apabila kita membicarakan permasalahan yang menyentuh warga tua, maka kita seharusnya sedar bahawa kebahagiaan mereka terletak pada kerukunan sesebuah institusi keluarga maka sudah tentu hubungan antara ahli keluarga menjadi renggang dan membosankan warga tua. Untuk menjamin keselesaan warga tua pada lewat usianya maka mereka harus membuat persiapan di peringkat awal lagi. Sejak anak-anak masih kecil, ibu bapa harus membentuk peribadi mereka supaya menjadi insan yang baik. Dalam hal ini, sebuah institusi keluarga yang penyayang akan dapat melahirkan anak yang bertanggungjawab , hormat-menghormati , serta bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Ibu bapa tidak perlu bimbang akan masa depan mereka apabila mencapai usia tua jika suasana begini wujud dalam keluarga mereka. Sebaliknya, anak-anak yang tidak dididik dan diasuh dengan nilai-nilai murni akan membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat dan terumbang-ambing. Selain itu, mereka tidak akan melayan ibu bapa mereka dengan sempurna.


Sesebuah institusi keluarga itu hendaklah berfungsi dengan baik. konsep “Rumah Tangga Aman, Keluarga Bahagia” hendaklah diamalkan oleh setiap keluarga supaya dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram. Setiap anak harus disedarkan akan pentingnya tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Anak-anak yang mengahantar ibu bapa ke rumah kebajikan atau rumah orang tua-tua menunjukkan kejahilan mereka dalam bidang agama. Mereka seharusnya sedar bahawa selama ini ibu bapalah yang membesarkan dan memberi mereka segala keperluan sejak tangisan pertama sehingga mereka berjaya dan dapat menjalani kehidupan sendiri. Namun begitu, bagi sesetengah anak jasa-jasa yang dicurahkan oleh orang tua mereka sedikit pun tidak dihargai. Bagi anak-anak ini, mereka beranggapan ibu bapa hanya menjadi beban kepada mereka sahaja. Hal ini ditambah pula dengan kerenah orang tua yang pelbagai ragam dan kadangkala kebudak-budakan.


Walau bagaimanapun, kita tetap beranggapan bahawa institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan kehidupan yang selesa kepada orang tua. Ahli keluarga hendaklah menjadikan tugas menjaga kebajikan orang tua sebagai tanggungjawab yang tidak harus diabaikan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Keutuhan Institusi Keluarga Menjamin Masa Depan Warga Tua, oleh Izani Hj. Daud, Dewan Masyarakat, Mac 2002)



1. Apakah yang dimaksudkan dengan memberi mereka segala keperluan sejak tangisan pertama? 2m
2. Jelaskan punca-punca yang menyebabkan semakin banyak anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan. 3m
3. Pada pandangan anda, wajarkah hukuman berat dikenakan kepada anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. 4m










SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kelalaian anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang tua mereka.
Isi tersurat: Punca-punca
S1: Tidak wujud suasana bahagia dan harmoni dalam sesebuah keluarga
S2: Hubungan antara ahli keluarga tidak rapat dan sering berselisih faham dengan ibu bapa
S3: Semasa anak masih kecil ibu bapa tidak mendidik mereka menjadi insan yang baik
S4: Ibu bapa tidak melayan anak-anak dengan baik
S5: Anak-anak membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat
S6: Anak-anak ini jahil dalam selok belok agama
S7: Anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa hanya menjadi beban dan menyusahkan mereka sahaja
Isi tersirat : Langkah-langkah
T1: Anak-anak haruslah mengadakan permuafakatan untuk menjaga ibu bapa mereka yang telah uzur
T2: Media massa melancarkan kempen “Sayangi Warga Tua”.
T3: Sejak kecil ibu bapa berkewajipan mendidik anak-anak supaya menjadi seorang yang penyayang dan bertanggungjawab antara satu dengan yang lain
T4: Mewujudkan kurikulum yang berkait dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa dalam sistem pendidikan
T5: Menaikkan kadar yuran penjagaan orang tua di rumah kebajikan
T6: Anak-anak yang menyisihkan ibu bapa untuk kesenangan sendiri hendaklah dikenakan hukuman yang berat
Kesimpulan: Walau bagaimanapun, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan kehidupan yang selesa kepada warga tua



Soalan pemahaman:
.1. ...ibu bapa telah menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh anak sejak lahir lagi
2. ...ibu bapa tidak mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni...anak-anak ini jahil tentang ilmu agama...tidak wujud suasana yang harmoni dalam sesebuah keluarga...anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa yang uzur menyusahkan mereka
3. ...wajar. Hal ini kerana ibu dan bapa ialah insan yang mendidik dan menyayangi anak-anak dengan mengenepikan kepentingan dirinya, bak kata pepatah, “bagai menatang minyak yang penuh”

Rumusan: Faktor2 budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin menular dan kesan-kesannya . Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada hakikatnya sepasang suami isteri mampu dan sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga dan mendidik anak-anak, namun amat malang apabila anak yang banyak tidak sanggup membela dan memberi kesenangan apabila ibu bapa mereka telah tua dan tidak bermaya. Anak-anak yang diibaratkan Si Tanggang moden ini akan mengambil jalan mudah dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Sebahagian daripada anak yang dikategorikan sebagai anak derhaka ini, berpendapat adalah lebih wajar dan bijak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan atau rumah orang tua agar ada orang lain yang dapat menjaga dan memastikan keselesaan pakaian, makan minum dan tempat tidur ibu bapa mereka. Alasan mereka ialah mereka terlalu sibuk dan tiada masa untuk meluangkan masa bersama-sama ibu bapa. Si Tanggang moden yang tidak bertanggungjawab, kurang prihatin dan tidak berfikir secara waras ini akan mengambil jalan yang tidak berperikemanusiaan dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.Bahkan, ada anak yang bangga bercerita kepada rakan sepejabat bahawa mereka menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua ekoran tidak tahan dengan kerenah orang tua mereka sendiri.

Keadaan akan menjadi lebih parah bagi ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri. Jalan terakhir yang diambil oleh Si Tanggang adalah dengan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan, ke rumah waris terdekat atau ditinggal sebatang kara di kampung. Ada anak yang memberikan alasan bahawa gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tanggungjawab sebagai anak. Sikap anak-anak yang menjadikan ibu bapa seperti orang gaji dengan senang hati menyuruh dan mengarah ibu bapa menjaga anak, memasak, mencuci, berkebun dan sebagainya tanpa atau dengan bayaran. Hal ini menyebabkan ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak , meminta anak-anak menghantar mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.


Malahan, terdapat sebahagian anak-anak yang lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri. Kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna. Bagi yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau yang sedang bercita-cita menghantar ibu bapa mereka ke sana, maka sudah tentu mereka juga perlu bersedia bahawa pada suatu hari nanti , mereka juga bakal dihantar ke tempat yang sama.

Oleh itu, saranan beberapa orang ahli Parlimen yang prihatin agar tindakan tegas dikenakan ke atas anak derhaka perlu diberi perhatian. Saranan agar kerajaan memotong gaji anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa yang sama memberikan insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri perlu dipertimbangkan. Bagi anak-anak yang sedar, peluang berbakti kepada orang tua bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan yang perlu ditunaikan.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Berita Harian, Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata ditinggal sebatang kara. 2m
2. Mengapakah sesetengah ibu bapa tidak tahan apabila tinggal bersama-sama anak-anak mereka? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah didikan agama dapat mengatasi masalah ibu bapa yang dihantar ke pusat jagaan atau rumah orang tua-tua? 4m








SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan punca-punca budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Isi tersurat: Punca-punca
S1: agar ada orang lain menjaga dan memastikan keselesaan ibu bapa mereka.
S2: anak-anak terlalu sibuk dan tiada masa untuk melapangkan masa bersama-sama ibu bapa
S3: tidak tahan dengan kerenah orang tua
S4: anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri
S5: gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tangungjawab sebagai anak.
S6: ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak yang menjadikan mereka orang gaji meminta anak-anak mereka menghantar ke rumah orang tua
S7: anak-anak lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri
S8: kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang akan ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.
Isi tersirat: Kesan-kesannya
T1: wujud masyarakat yang hanya mementingkan diri
T2: nasib orang tua semakin terabai
T3: anak-anak semakin kurang hormat kepada ibu bapa
T4: runtuhnya sistem kekeluargaan dalam kalangan masyarakat
Kesimpulan: Anak-anak perlu kembali kepada ajaran agama agar nasib warga tua terbela.


soalan pemahaman
1. …hidup sendirian
2. …anak-anak menjadikan ibu bapa sebagai orang gaji…perkhidmatan mereka tidak dibayar…memberikan bebanan khusus kepada mereka yang bekerja
3. …penekanan kepada anak-anak tentang konsep kasih sayang dan hormat-menghormati ibu bapa dalam agama itu sendiri…ibu bapa menunjukkan contoh dan didikan agama yang dipelajari kepada anak-anak…menerangkan hukuman-hukuman yang termaktub dalam agama terhadap anak-anak yang derhaka dan mengabaikan ibu bapa.

Rumusan: Kepentingan Pusat Jagaan Warga Emas

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pusat jagaan warga emas dan sebab mereka enggan tinggal di situ. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Warga emas ditakrifkan sebagai golongan yang berusia 60 tahun ke atas. Jumlah warga emas di negara ini semakin bertambah kerana jangka hayat yang kian meningkat. Golongan ini terus mendapat pembelaan daripada kerajaan dan penubuhan pusat penjagaan sama ada yang kekal atau pusat transit harian yang memberikan perlindungan dan penjagaan kepada golongan warga emas. Penubuhan pusat berkenaan dapat memberikan khidmat kepada golongan tersebut menjalani hidup dengan sejahtera.

Kewujudan pusat jagaan warga emas membuktikan bahawa masyarakat begitu prihatin terhadap nasib golongan ini. Namun begitu, kehadiran mereka ke pusat itu atas pelbagai sebab. Antaranya, termasuklah ibu bapa tinggal dengan anak yang tidak mempunyai pembantu rumah sedangkan ibu bapa sudah lanjut usia. Ada sesetengah ibu bapa pula uzur dan memerlukan penjagaan yang sempurna sepanjang ditinggalkan seharian ketika anak bekerja. Dalam keadaan inilah warga emas memerlukan rumah transit bagi memastikan kebajikan warga emas terjaga selain mengelakkan mereka berasa kesunyian. Golongan warga emas yang tinggal di pusat jagaan tidak akan berasa hidup sendirian dan tersisih. Dengan tinggal beramai-ramai mereka akan mempunyai kawan untuk berbual-bual atau ada tempat untuk meluahkan perasaan mereka dan dapat mengatasi masalah kemurungan yang menghantui kehidupan kebanyakan warga emas.

Purata jangka hayat bagi warga emas lelaki mencecah 72.3 tahun manakala bagi wanita pula 76.9 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjangkakan menjelang 2020, usia lelaki mencecah 75.4 tahun, manakala wanita 80.4 tahun. Pada kadar jangka hayat itu, mereka memerlukan penjagaan dan perlindungan yang selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kita masih berdepan dengan dilemma apabila warga emas ditempatkan di pusat jagaan kerana anak-anak dituduh mahu mengelak daripada menanggung beban menjaga ibu bapa mereka. Sebaliknya, tujuan sebenar warga emas ditempatkan di situ adalah untuk menjadikan mereka lebih produktif dan tidak pasif. Apabila berada di pusat jagaan tersebut, golongan tersebut dapat mengisi masa sepanjang hari dengan penuh berkualiti menerusi kegiatan yang disediakan selain berinteraksi dengan warga emas yang lain sebelum dijemput oleh anak selepas mereka pulang dari tempat kerja.


Oleh sebab itu, kewajaran menjaga hak dan pembelaan golongan warga emas bukanlah satu perkara yang remeh kerana hal ini dapat menyokong agenda negara dalam usaha mewujudkan masyarakat prihatin dan penyayang.Sehubungan dengan itu, pusat jagaan itu seharusnya mempunyai pekerja yang terlatih, penyabar, dan mempunyai daya tahan yang tinggi untuk melayan kerenah golongan yang sudah meningkat usia itu.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Penjagaan Warga Emas Perlu Diselaras” oleh Jamilah Shukri, Berita Harian,26 Disember 2006)


1. Berikan maksud rangkai kata melayan kerenah dalam petikan tersebut. 2m
2. Jelaskan sebab-sebab warga emas perlu ditempatkan di pusat jagaan. 3m
3. Pada pandangan anda, mengapakah kerajaantidak harus mendirikan rumah kebajikan yang banyak untuk mengurus warga emas? 4m














SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan tanggungjawab pusat jagaan warga emas
Isi tersurat: Kepentingan
S1: Pusat jagaan warga emas memberikan perlindungan dan penjagaan kepada warga emas
S2: Pusat jagaan memberikan khidmat kepada golongan tersebut menjalani kehidupan dengan sejahtera
S3: Kewujudannya membuktikan bahawa masyarakat prihatin terhadap nasib golongan ini.
S4: Kebajikan warga emas terjaga selain mengelakkan mereka berasa kesunyian
S5: Golongan ini tidak akan berasa tersisih dan hidup bersendirian
S7: Mereka mempunyai kawan dan dapat mengatasi masalah kemurungan
S8: Pusat jagaan menjadikan warga emas lebih produktif dan tidak pasif
S9: Mereka dapat mengisi masa sepanjang hari dengan penuh berkualiti
S10: Mereka dapat berinteraksi dengan warga emas yang lain
Isi tersirat: Sebab
T1: Mengharapkan anak akan menjaga mereka hingga akhir hayat
T2; Merasakan diri mereka sebagai orang yang terbuang dan tidak dipedulikan
T3: Mereka berasa risau akan dipandang rendah oleh warga emas lain yang dijaga oleh anak-anak.
T4: Mereka tidak selesa kerana tidak dapat bertindak mengikut kehendak sendiri
T5: Beranggapan bahawa hidup mereka bergantung pada belas ihsan pelbagai pihak.
Kesimpulan: Anak-anak hendaklah menjaga ibu bapa merekaa agar tidak dicap sebagai anak derhaka.



Soalan pemahaman:]
1. …memenuhi tuntutan
2. …tinggal dengan anak-anak yang tiada pembantu rumah…uzur…memerlukan penjagaan yang sempurna
3. …anak-anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa mereka …membebankan kerajaan…mengetepikan sikap tolak-menolak dalam kalangan anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka…mengurus warga emas yang tidak ada waris atau penjaga sahaja…menyedarkan anak-anak bahawa tanggungjawab mereka tidak boleh diserahkan kepada pihak lain.

Rumusan: Faktor2 pengabaian anak terhadap ibu bapa

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa dan usaha-usaha untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Jika kita kenangkan segala pengorbanan ibu bapa membesarkan dan menjadikan kita seperti hari ini, kita sekali-kali tidak akan sanggup berfikir untuk mengetepikan ibu bapa apatah lagi menghantar mereka ke rumah jagaan orang-orang tua pada saat-saat mereka memerlukan kita pada pengakhiran usia mereka. Mengapakah anak-anak zaman ini menjadi “derhaka” dan sanggup menghantar ibu bapa mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas ini? Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini menjadikan anak-anak zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa di kampung yang sentiasa menantikan panggilan telefon atau menjengah mereka pada hujung minggu.

Kesibukan mengejar kejayaan ini berterusan tanpa hadnya di pihak anak-anak zaman ini sehingga ada yang sanggup menetap di luar negara untuk sesuatu tempoh masa tertentu bagi memastikan kejayaan sentiasa berada dalam genggaman mereka. Apabila ibu bapa semakin tua, terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak dan anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Keadaan ini menyebabkan ada orang tua yang tidak menaruh sebarang kepercayaan bahawa anak mereka akan sanggup menjaga sakit pening mereka lantas sanggup tinggal di rumah orang-orang tua kerana lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung mereka sendiri. Perkara yang menyedihkan hati dan perasaan kita apabila anak-anak yang ditatang macam minyak yang penuh dari kecil sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberkan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup hidup serumah dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua yang telah tua dengan alasan ‘tidak tahan dengan karenah’ orang tua.

Ada kalanya anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa di kampung atau menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat kebajikan dan rumah warga tua. Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, ada anak-anak yang tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama kerana ibu bapa yang telah tua atau ‘nyanyuk’ ini akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat.

Rugilah ibu bapa kerana memiliki anak-anak yang tidak mengenang budi ini mereka menjadi “Si Tenggang” dan “Malim Kundang” zaman moden serta hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri. Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk kita dan jadilah anak yang memuliakan ibu bapa sehingga akhir hayat mereka.


1. Berikan maksud rangkai kata “hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri”. 2m
2. Apakah kesan urbanisasi dan modenisasi kepada warga tua? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka? 4m















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membicangkan punca-punca pengabaian anak terhadap ibu bapa
Isi Tersurat : Punca-punca
S1: kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya
S2: terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak
S3: Anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka denga kedua-dua ibu bapa mereka
S4: ada orang tua yang tidak menaruh kepercayaan bahawa anak mereka mampu menjaga mereka
S5: Orang tua lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung sendiri
S6: Anak-anak sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup
S7: tidak tahan dengan karenah orang tua
S8: ada anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa
S9: malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka
Isi tersirat: : Usaha-usaha mengatasi
T1: Mengadakan kempen kesedaran akan kepentingan membalas jasa ibu bapa dalam kalangan generasi muda
T2: Media massa perlu memainkan perana aktif dengan menyiarkan ibu bapa yang telah diabaikan oleh anak-anak
T3: Mengadakan pusat jagaan harian untuk warga tua bagi memudahkan anak-anak menghantar ibu bapa semasa mereka pergi bekerja
T4: Ibu bapa perlu menerapkan didikan keagamaan yang kukuh agar anak-anak tidak menderhaka kepada orang tua
Kesimpulan: Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka agar ibu bapa mereka tidak berasa diasingkan oleh anak-anak


Soalan pemahaman
1. …terus berada dalam dunia imaginasi yang akhirnya akan membawa padah
2. …Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman-taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium…Terdapat pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai bangsa…Keadaan menyebabkan anak-anak tidak sanggup membawa ibu bapa tinggal bersama kerana ibu bapa yang telah ‘nyanyuk’ dikhuatiri menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat
3. …ibu bapa telah membesarkan anak-anak menjadi insan yang berguna…ibu bapa telah bersusah payah bekerja keras demi sesuap nasi untuk anak-anak…ibu bapa telah melahirkan anak-anak ke dunia…ibu bapa ialah insan yang paling bernilai dalam diri anak-anak.

Rumusan: Peranan anak menjaga ibu bapa

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh warga tua. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Warga tua atau dikenali juga sebagai warga emas merujuk golongan yang umurnya sudah melewati 60 tahun. Mereka biasanya telah bersara daripada pekerjaan utama sama ada sektor perkhidmatan awam atau sektor swasta. Terdapat juga warga tua yang telah bersara daripada pekerjaan utama, tetapi masih bekerja dalam bidang lain, namun bilangannya tidaklah begitu banyak. Yang selebihnya menghabiskan masa di rumah untuk berehat dan beribadat.

Tidak semua warga tua dapat menikmati kehidupan yang baik. Terdapat juga warga tua yang hidup susah, terutamanya mereka yang bekerja sendiri di kampung-kamoung. Mereka tidak mempunyai simpanan untuk hari tua. Sebenarnya, banyak masalah yang dihadapi oeh golongan tua. Mereka biasanya uzur, iaitu mengalami kelemahan fizikal sehingga menyukarkan mereka bergerak bebas. Terdapat juga warga tua yang menghadapi masalah kurang pendengaran, kurang penglihatan, di samping mengalami penyakit nyanyuk. Selain itu, terdapat juga warga tua yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, dan sebagainya. Segelintir warga tua pula mengalami tekanan emosi kerana tiada pendapatan tetap, tidak dipedulikan oleh anak-anak, dan berasa kesunyian akibat kematian pasangan.

Dalam hubungan ini, anak-anak perlu memainkan peranan mereka untuk menjaga dan menggembirakan ibu bapa masing-masing. Anak-anak wajib menjaga ibu bapa mereka yang telah tua dengan cara tinggal bersama mereka. Kalau itu tidak dapat dilakukan kerana bekerja di tempat yang jauh, mereka mesti mengambil inisiatif untuk mengupah orang menjaga ibu bapa dan mereka perlu sering pulang untuk melihat keadaan ibu bapa yang telah tua.

Oleh sebab kebanyakan ibu bapa yang telah tua tidak bekerja lagi, maka sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menyediakan segala keperluan ibu bapa seperti makan, minum,dan pakaian. Jika dahulu ibu bapa membanting tulang untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak, kini tibalah giliran anak-anak menampung segala keperluan ibu bapa mereka. Anak-anak juga berperanan menjaga kesihatan ibu bapa dengan membawa mereka mendapatkan rawatan jika sakit dan menyediakan perbelanjaan untuk membeli ubat jika ibu bapa yang sakit memerlukan ubat secara berterusan.

Anak-anak juga perlu menghormati ibu bapa sebagai orang tua. Oleh itu, anak-anak mestilah senantiasa bercakap dengan lemah lembut kepada orang tua. Mereka perlu bersabar menghadapi kerenah orang tua yang kadang kala mudah merajuk umpama kanak-kanak. Mereka juga perlu sabar menghadapi kerenah orang tua yang nyanyuk. Selain itu, anak-anak perlu menghormati pandangan atau nasihat daripada orang tua. Sekiranya pandangan atau nasihat itu tidak sesuai dengan zaman ini,, anak-anak perlu bijaksana untuk menolaknya.

Anak-anak juga tidak seharusnya membiarkan ibu bapa mereka hidup dalam kesunyian. Oleh itu, anak-anak sewajarnyasering balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa. Terdapat sesetengah orang tua yang tidak mempedulikan sangat harta, wang atau makan minum, tetapi mereka mahu selalu dekat dengan anak, menantu, dan cucu-cucu. Jadi, anak-anak mestilah prihatin terhadap keperluan ibu bapa mereka.
Golongan muda sepatutnya sedar, jika tiada orang tua, maka tiadalah orang muda. Tiada ayah dan ibu tiadalah anak-anak. Jasa orang tua sungguh besar, sukar untuk dinilai dengan wang ringgit. Oleh itu, mereka mesti menyedari hal itu dan berusaha untuk membalas jasa mereka dengan menggembirakan mereka yang menjalani sisa-sisa hidup sementara dipanggil ke alam yang kekal nanti.


1. Berikan maksud rangkai kata sabar menghadapi kerenah orang tua. 2m
2. Nyatakan masalah –masalah yang biasa dihadapi oleh seorang warga emas? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah segelintir warga emas hidup dalam keadaan daif? 4m














SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan tanggungjawab anak-anak untuk menjaga ibu bapa
Isi tersurat: Peranan
S1: Anak-anak sewajarnya tinggal bersama ibu bapa yang sudah tua dan uzur
S2: Anak-anak boleh mengupah orang lain menjaga ibu bapa yang tua dan uzur sementara mereka pergi bekerja
S3: Anak-anak perlu menyediakan segala keperluan ibu bapa
S4: Anak-anak perlu menjaga kesihatan ibu bapa/ membawa mereka mendapatkan rawatan
S5: Anak-anak perlu sentiasa menghormati ibu bapa
S6: Anak-anak tidak sepatutnya membiarkan ibu bapa hidup dalam kesunyian
Isi tersirat: kesukaran yang dihadapi
T1: memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak
T2: Ibu bapa perlu sentiasa memberikan nasihat kepada anak-anak supaya menjadi orang yang tahu mengenang budi.
T3: Kerajaan mengadakan kempen untuk menggalakkan anak-anak menyayangi / menjaga ibu bapa yang tua dan uzur
T4: Anggota masyarakat perlu memberikan nasihat / bimbingan kepada anak-anak yang lupa diri/membiarkan ibu bapa hidup sendiri
Kesimpulan: Anak-anak mesti menjaga ibu bapa masing-masing dengan penuh kasih sayang supaya mereka menikmati hari tua dalam keadaan bahagia.






Soalan pemahaman
1. …tenang melayani kehendak/tingkah laku warga emas
2. …Tidak mempunyai simpanan hari tua…Uzur…menghidap penyakit kronik
3. …Tidak dipedulikan anak-anak…Berkrisis dengan anak-anak…Kos hidup tinggi dengan kenaikan harga barang dari semasa ke semasa…Sebatang kara