BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, January 30, 2011

Drama Gelanggang Tuk Wali-Soalan 12

SOALAN 12

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SIAK: Begini rupanya kamu, Wali! Berlindung dengan kekuatan murid? Kamu sendiri pengecut rupa-rupanya!

TUK WALI: Engkau jangan campur,Ripin! Beri balik sundang tu kepada dia!

MAK UMI:Udahlah tu, bang! Kenapa bergaduh macam budak-budak ni! Astaghfirullahalazim!...Ya, Allah! Kenapalah sampai jadi macam ni!

RIPIN: Tuk Siak, baliklah, tuk! Tak elok macam ni! Bawalah mengucap! Kalau ada masalah, kita selesaikan cara baik! Cara berunding!

TUK WALI: Dia memang dah lama berdendam dengan aku, Ripin! Aku tau, sejak aku kahwin dengan Mak Umi kau, semua yang aku buat tak ada yang betul di mata dia! Tak cukup umpat fitnah, dihasutnya orang masjid supaya pulaukan aku! Dah lama benar aku menunggu, baru petang ini sampai hajat aku!

MAK UMI: Sudahlah tu, bang! Malu kita macam ni! Udahlah tu! Biarlah aku pergi dari sini! Tak mau aku jadi saksi orang-orang dungu bergaduh! Mari Ripin, hantarkan Mak Umi ke rumah Berahim!

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm. 221)

i. Apakah yang menyebabkan Tuk Wali berasa tidak puas hati terhadap Siak? 2m

ii. Pada pandangan anda, wajarkah Mak Umi menjauhkan diri daripada dua orang yang bergaduh itu? Berikan alasan anda. 4m

iii. Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama tersebut dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan drama. 3m




SKEMA
i. …Siak dikatakan sering menyebarkan fitnah serta mengumpatnya dan menghasut orang masjid agar memulaukannya.

ii. wajar. … kerana mereka sudah lama memusuhi antara satu dengan yang lain, iaitu sejak Tuk Wali berkahwin dengan Mak Umi….sekiranya Mak Umi ada di situ, hal ini akan menambahkan kemarahan dalam diri Tuk Wali dan Siak kerana kedua-duanya terlalu menurut perasaan yang mencetuskan pergaduhan…kerana Tuk Wali dan Siak tidak mahu mengalah sebaliknya tetap mahu menegak pendirian masing-masing.

iii. dalam petikan: kita hendaklah saling menasihati seperti yang dilakukan Ripin yang menasihati Siak supaya pulang.
keseluruhan drama: setiap orang hendaklah mengajarkan ilmu yang dimilikinya seperti Tuk Wali yang mengajarkan seni pertahanan diri kepada anak-anak muda….Kita haruslah saling menghormati seperti Ripin yang sangat menghormati Tuk Wali yang merupakan guru persilatannya.

Saturday, January 29, 2011

Drama Gelanggang Tuk Wali-Soalan 11

SOALAN 11

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI: Belajarlah mengenal pada ibu, bukan cabut anak. (Kesal) Yang langgar pantang, anak cucu aku jugak. Cakap aku ni tak dihargai langsung. (Marah) Si Berahim anak tiri aku tu! Dia murid Si Guan, Guan kedai singse tu! Tunjuk mana pasak bumi, tongkat ali, dikenalkannya rancang besi, rancang tembaga, yang mana raja berangkat, apa khasiat lukai jantan, apa gunanya tengkuk biawak!

RIPIN: Masya-Allah! Semuanya diajar , wak?

TUK WALI: Semuanya, Ripin! Kau tahu apa dah jadi? Berahim masuk hutan bekal tali sigai dengan kayu umpil, tapi Si Guan masuk hutan dengan traktor, bawa buruh lagi dua tiga orang. Pokok besar betis ni,besar tiang rumah tu, habis dicabut. Bila cabut induk, mana nak datang benih?

RIPIN: Bertimbang pikullah gamaknya,wak!

TUK WALI: Dulu, rancang besi siap racik, bersih, lapan belas ringgit sekilo. Tongkat ali cuma sembilan ringgit, rancang besi cuma enam ringgit saja sekilo.

(Dipetik daripada drama “Gelanggang Tuk Wali”, oleh Ismail Kassan,
dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,hal.191)

i. Nyatakan tindakan pengusaha rakus yang menyebabkan sumber perubatan tradisional boleh habis? (3m)
ii. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat masih lagi menggunakan perubatan tradisional walaupun pelbagai penyakit perubatan moden mampu mengubatinya? (3m)
iii. Berikan satu latar masa yang terdapat dalam petikan dan dua lagi berdasarkan keseluruhan drama. (3m)



SKEMA
i. …masuk ke dalam hutan dengan membawa traktor…kedatangan mereka akan bersama-sama tiga atau empat pekerja…tindakan mereka ialah pokok sebesar betis atau sebesar tiang rumah habis dicabut.

ii. …kerana diakui perubatan tradisional masih mampu mengubati penyakit…harga ubat-ubatan tradisional masih murah…diakui perubatan tradisional tidak meninggalkan kesan sampingan kepada pengguna.

iii. dalam petikan: waktu pagi. Cth: ketika Ripin berbual dengan Tuk Wali tentang pupusnya pokok-pokok perubatan tradisional, sebelum mereka berlatih silat.
dalam drama: waktu petang. Cth: Imam dan Siak datang ke rumah Tuk Wali untuk menasihati Tuk Wali (melalui isterinya) agar meninggalkan seni pertahanan diri disebabkan usianya telah tua….waktu malam. Cth; ketika Tuk Wali mahu menyerahkan keris pusaka kepada Ripin agar meneruskan usahanya melatih anak muda dalam seni mempertahankan diri.

Saturday, January 1, 2011

drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 10

SOALAN 10

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI; …Sudah lebih setengah abad aku menyimpan keris ini. Aku sudah bertilik pandang, aku rasa engkaulah yang layak menjadi pewais keris ini Ripin. Aku sudah tidak mampu lagi untuk menjaganya. Sudah seratus tahun keris ini jadi tunjang Teluk Penyabung. Janganlah keris ini dipersiakan. Walaupun ini cuma sebilah keris tua, tetapi ia lambang kegagahan para pendekar kita zaman silam yang telah rela mengorbankan diri mereka. Gugur satu demi satu di sepanjang tebing Sungai Johor ini. Janganlah disia-siakan pengorbanan mereka , Ripin.

Aku pertaruhkan batang tubuh aku dan maruah diri aku untuk mengekalkan lambang dan jiwa keris ini. Aku tidak keluar merantau untukmencari harta. Aku tidak kaya seperti kawan-kawan lain yang merantau. Tapi, aku menjadi tunjang Teluk Penyabung ini! Aku adalah jiwa sebenar keris ini. Aku…(sedih dan sebak) aku korbankan seluruh hidup aku ,Ripin! Seluruh hidup aku untuk mengekalkan semarak dan semangat keris ini dalam diri setiap anak muda kampung ini sejak 50 tahun dulu. Kalau mereka jadi manusia, sebahagian daripada kemanusiaan itu adalah aku. Daripada semangat yang aku semarakkan, sedikit demi sedikit tiap hari bertahun-tahun lamanya. Keris ini akan aku serahkan kepada engkau,Ripin. Aku akan adakan majlis di masjid lama! Dalam majlis itu nanti aku akan serahkan keris ini kepada engkau.

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,hal.205-206)


i. Siapakah Ripin dalam petikan di atas? 3m

ii. Pada pandangan anda, wajarkah “aku” menyerahkan keris tersebut kepada Ripin? Mengapa? 3m

iii. Huraikan tiga pengajaran berdasarkan keseluruhan drama ini. 3m




SKEMA
I. …anak murid Tuk Wali yang boleh diharap untuk meneruskan persilatan di gelanggang Tuk Wali…seorang pemuda berumur awal 30-an…Dia seorang yang matang dalam berfikir, serta bersemangat.

ii. wajar…Tuk Wali sudah tua dan berumur lingkungan70-an…apabila Tuk Wali menyerahkan keris itu kepada Ripin bermakna Ripin akan memimpin persilatan di gelanggang Tuk Wali,Hal ini dapat mengelakkan segelintir masyarakat yang terus mempersendakan dan menghina Tuk Wali sebagaimana yang berlaku di rumah Haji Kodri…ilmu persilatan akan terus berkembang kerana telah diketahui pewarisnya semasa Tuk Wali masih hidup kerana jikalau Tuk Wali meninggal dunia secara tiba-tiba, hal ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya tentang pemimpin baru yang layak menggantikan Tuk Wali.

iii. …Kita perlu berusaha gigih dalam mencapai cita-cita.Cth: Tuk Wali terbukti berusaha gigih selama 50 tahun menjadi guru silat mengajar murid-muridnya demi mahu ilmu persilatan terus diwarisi…Golongan muda perlu bertanggungjawab meneruskan perjuangan mempertahankan warisan budaya bangsa.Cth:Ripin, Mariam dan teman-temannya mewakili golongan muda yang terus mahu mempelajari ilmu silat daripada Tuk Wali untuk diwarisinya…Kita hendaklah ikhlas memberikan khidmat bakti untuk kebaikan masyarakat. Cth: Tuk Wali sememangnya ikhlas mengajar silat di gelanggangnya sendiri tanpa mengharapkan sebarang bayaran ataupun penghargaan daripada sesiapa.