BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, December 31, 2010

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 9

SOALAN 9

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI: Jatuh dalam longkang! Pengsan! Perompak yang pegang pistol keluar dari kedai, dia nak tengok apa jadi pada kawannya di luar! Tuk ayuh bangku bulat tepat kena mukanya! Dia menjerit terlolong masuk semula dalam kedai. Mukanya berdarah!

JAMIL: Dia tak tembak tuk?

TUK WALI: Pistol dia jatuh entah ke mana…dua orang lagi meluru dari dalam kedai. Dua orang tu menyerang tuk dengan kapak! Serentak! Tuk elak kiri kanan! Tuk rasa letih, mata tuk kelabu, kepala rasa pening. Tuk mengelak, tapi terlambat. Serangan yang datang bertubi-tubi! Tuk terlanggar kerusi, tuk jatuh terlentang!

JAMIL: Eee! Takutnya! Tuk tak lari ke?

HALIM: Tuk dah jatuh, macam mana nak lari? Engkau ni teruklah! Sendiri mahu fikirlah!

TUK WALI: Dua orang tu ayun kapak, tinggi atas kepala. Dia orang memang nak bunuh tuk…tuk dah tak berdaya nak melawan. Tuk cuma menunggu kapak tu sampai hinggap atas kepala. Tuk cuma berdoa!

HALIM: Tak ada orang datang menolong tuk?

TUK WALI; Tiba-tiba tuk terpegang pistol! Tuk acu pistol kepada dua orang perompak tu! Dia buang kapak! Kamu tau apa dia orang buat? Melutut! Menangis merayu-rayu!

JAMIL: Bravo! Hebat! Tuk memang hebat! Tapi, kalau dia orang melawan tuk masa tu, macam mana? Tuk tembak ke?

TUK WALI: Tuk tak tau pun macam mana cara nak gunakan pistol tu! Kalau senapang patah, tuk taulah!

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


i. Nyatakan dua perkara yang berlaku kepada Tuk Wali apabila dua orang perompak menyerangnya dengan kapak. 2m

ii. Pada pendapat anda, mengapakah Tuk Wali melawan kumpulan perompak itu? Berikan tiga alasan anda. 3m

iii. Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan drama tersebut. 4m


SKEMA

I. …dia berasa letih, matanya kelabu, dan pening setelah mengelak ke kiri dan ke kanan…Tuk Wali terlanggar kerusi sehingga jatuh terlentang

ii. …kerana dia mempunyai sifat keberanian yang tinggi…Tuk wali mempunyai ilmu persilatan yang hebat…Tuk wali yakin bahawa dia mampu menewaskan mereka.

iii. dalam petikan; Kita hendaklah berani menentang penjenayah
keseluruhan drama; generasi muda hendaklah menghormati orang tua-tua yang banyak berjasa.

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 8

SOALAN 8

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

RIPIN: Apakah dosa Tuk Wali sampai dia dibunuh? Orang tua yang daif ini tidak sampai hati untuk membunuh, walaupun cuma seekor anjing liar. Dia sanggup hidup susah dan merempat di kampungnya sendiri cuma kerana sayangkan kampung ini dan penduduknya . Dialah yang mendidik akhlak beratus-ratus orang pemuda kampung ini. Dia juga yang telah mempertahankan kampung ini! tapi, kenapa ada orang yang sampai hati membunuh Tuk Wali? kenapa? Ya, Allah(Menekup muka sambil berlutut) Tuk Wali! Aku bersumpah dengan nama Allah, aku akan menuntut bela atas kematian tuk! Darah mesti dibalas dengan darah… Tuk Siak jahanam!(Menekup muka dan menangis)

Masuk SIAK bersama-sama IMAM. Mereka terkejut melihat RIPIN memegang keris, dan TUK WALI terbujur kaku. Mereka menyangka RIPIN yang membunuh TUK WALI.

IMAM: Ripin! Apa yang engkau buat ni! Ya Allah! Engkau bunuh TUK WALI? Kenapa? (RIPIN masih berlutut sambil menekup mukanya. Dia tidak mempedulikan langsung kata-kata IMAM)

SIAK: Engkau murid terbaik Tuk Wali! Engkau memang layak menerima keris pusaka itu. Tapi, kenapa engkau dapatkan keris itu dengan cara salah? Kenapa mesti membunuh guru engkau sendiri?

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Apakah jasa Tuk Wali kepada penduduk kampung? 2m

ii. Tuk Wali seorang tokoh yang memperjuangkan seni silat tradisional. Pada pendapat anda,mengapakah sejak akhir-akhir ini seni silat tradisional kurang digemari oleh masyarakat? 4m

iii. Nyatakan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan dua lagi berdasarkan keseluruhan drama. 3m


SKEMA

i. …Tuk Wali sanggup hidup susah dan merempat di kampungnya sendiri cuma kerana sayangkan kampung ini dan penduduknya…Tuk Wali telah berjaya mendidik akhlak beratus-ratus orang pemuda kampung ini…Tuk Wali telah mempertahankan kampung ini daripada komunis

ii. …kerana mendapat persaingan daripada seni silat dari luar seperti tekwando dan karate… orang yang mahir mengajar seni silat tradisional makin kurang…seni silat tradisional tidak memberikan gred terhadap pencapaian aklinya, tidak seperti tekwando yang memberikan ahlinya tali pinggang biru, hijau, hinggalah tali pinggang hitam

iii. dalam petikan:golongan muda yang menghormati golongan tua. Cth: Ripin amat menghormati Tuk Wali menyebabkan dia tidak dapat menerima kematian Tuk Wali dengan cara dibunuh….
keseluruhan drama;masyarakat yang menghargai seni silat. Cth: penduduk kampung berlatih seni silat tradisional menerusi Tuk Wali… masyarakat yang terjebak dalam gejala tidak sihat. Cth: cucu Tuk Wali, Syafiee terjebak dalam penagihan najis dadah.

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 7

SOALAN 7

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

MAK UMI: (Lembut) Ripin kan ada, murid awak yang lain tu semuanya boleh bersilat! Biarlah mereka saja yang turun ke gelanggang.

TUK WALI: Aku yang dijemput, Umi! Silap ke Haji Kodri menjemput aku, atau aku yang silap dengar! Tuan rumah majlis tu mahu aku turun ke gelanggang.

MAK UMI: Awak tolaklah dengan baik, mereka tentu akan faham!

TUK WALI: Engkau mahu aku duduk saja tepi gelanggang? Tak mampu aku jadi penonton,Umi! Lebih setengah abad aku yang ditonton! Kaki dan tangan aku ni akan bergerak sendiri,Umi! Sakit dada aku kalau terus menahan kaki dan tangan ini bersilat. Tak terdaya aku mengawalnya, Umi.

MAK UMI: Bukan ke awak sendiri yang berkata! Raja dalam diri ialah hati, raja itu mesti putih warnanya. Raja itu kalau berpakaian iman, hasil perintahnya akan aman. Tapi, kalau sang raja memakai amarah nafsunya maknanya iblis yang memerintah.

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,hal. 201)

i. Walaupun sudah tua, mengapakah Tuk Wali masih menerima jemputan untuk bersilat dalam sesuatu majlis? 3m

ii. Pada pendapat anda, mengapakah silat tradisional semakin kurang digemari oleh anak remaja sekarang? 3m

iii. Berikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan drama. 3m





SKEMA

i. Tuk Wali masih menerima jemputan kerana tidak sanggup duduk di tepi gelanggang, sekadar menjadi penonton disebabkan lebih 50 tahun dirinya yang menjadi tontonan…apabila gong dan gendang silat dipikul, kaki dan tangannya akan bergerak sendiri…sakit dadanya kalau terus menahan kaki dan tangannya daripada bersilat.

ii …kerana anak muda sekarang gemar aktiviti yang lebih lasak seperti ragbi dan futsal…bagi mereka yang meminati seni mempertahankan diri, mereka lebih cenderung memasuki kelab tekwando atau karate…kurangnya tempat yang menawarkan latihan silat tradisional disebabkan kekurangan jurulatih mahir.

iii. dalam petikan: Kita perlu mempertahankan seni mempertahan diri .Cth: Tuk Wali berterusan mengajar silat tradisional di gelanggang di rumahnya
keseluruhan drama: Kita hendaklah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang yang lebih tua..Cth: Pemuda 1.pemuda 2.pemuda 3 dan pemuda 4 bersikap biadab terhadap Tuk Wali tidak boleh diikuti…Kita sepatutnya membalas jasa orang yang banyak berkorban untuk kita. Cth: Piee, yang bukan sahaja menagih dadah,tetapi mencuri dan akhir sekali membunuh Tuk Wali janganlah diteladani.

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 6

SOALAN 6

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI keluar dengan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok miring . Penampilannya cukup hebat.

MAK UMI: Awak ni bersilat ke nak pergi menikah?

TUK WALI: (Berdiri gagah sambil memejamkan mata membaca doa pelangkah) Hari ini Khamis, langkah kanan, langkah pendekar.(Menekan lubang hidung kanan! Menarik nafas dari lubang hidung kiri.) Nafas lancar kiri kanan. Gerak hari ini, gerak menyerang! Tak perlu bertahan atau berundur, boleh mengumpan tapi berpada…yang eloknya biar menyerang terus sampai musuh tumbang.

MAK UMI: Tak mengapa undur selangkah ke belakang untuk maju dua langkah ke hadapan!

TUK WALI: Itu silat kamu, silat aku lain.

MAK UMI: Mesti menepis, mengelis, tepat, mengelak untuk masuk menyerang.

TUK WALI: Tak payah menepis, mengelak, buang masa! Kalau menyerang dengan petua yang betul, insya-Allah mengena.

RIPIN menunggang motosikal ke halaman rumah.

RIPIN: Wah, hebat betul,wak! Gugur iman janda-janda kampung hulu tu nanti!

MAK UMI: Entah! Pengantin pun tak bersolek macam tu!

TUK WALI: Aku dah tua, Ripin! Orang tua macam aku ni ibarat orang baru baik sakit! Semangat nak makan tu ada, tapi nak menyuap tak larat.
TUK WALI dan RIPIN ketawa besar.

RIPIN: Tak larat siat daging, kunyah sikit-sikit, wak!

MAK UMI: Gigi pun dah goyang, Ripin, apa bendanya yang nak dikunyah? Tuk Wali kau ni macam rimau tak ada gigi! Pendekar tua,Ripin!

TUK WALI: Rimau tak bergigi tu, Ripin, gigitnya memang tak luka, tapi,geli!

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Mengapakah Ripin memuji Tuk Wali dalam petikan di atas? 2m

ii. Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri? 4m

iii. Berdasarkan petikan di atas, ke manakah Tuk Wali hendak pergi dan apakah kesudahannya? 3m

SKEMA:
i. …kerana Tuk Wali memakai baju Melayu, bersamping dan bersongkok miring macam pengantin …penampilan dan gaya Tuk Wali macam pendekar

ii. …badan cergas kerana dapat merenggangkan otot, sendi dan mengurangkan lemak…dapat mempertahankan diri jika diserang oleh musuh…mewakili sekolah dalam pertandingan sukan dan dapat meningkatkan imej sekolah..mengekalkan budaya bangsa untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.

iii. …Tuk Wali hendak ke rumah Hj.Kodri kerana beliau dijemput untuk membuat persembahan silat pada malam itu…Tuk Wali sangat kecewa kerana telah dimalukan oleh orang-orang kampung. Orang-orang kampung menghalau Piee, cucu tirinya daripada turut serta dalam majlis itu kerana Piee baru keluar dari pusat pemulihan.

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 5

SOALAN 5

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SIAK menikam ke arah Ripin yang berada di tengah. Ripin yang memang bersedia untuk menangkis tikaman SIAK. Sundang dilucutkan dari tangan SIAK dengan mudah! Dengan mudah! Dengan mudah juga RIPIN membuat kuncian sehingga SIAK tidak dapat bergerak. Beberapa ketika kemudian RIPIN melepaskan SIAK. Orang tua itu terjelepok di atas gelanggang.

SIAK: Begini rupanya kamu,Wali! Berlindung dengan kekuatan murid? Kamu sendiri pengecut rupa-rupanya!

TUK WALI: Engkau jangan campur,Ripin! Beri balik sundang tu kepada dia!

MAK UMI: Udahlah tu, bang! Kenapa bergaduh macam budak-budak ni! Astaghfirullahalazim!...Ya, Allah! Kenapalah sampai jadi macam ni!

RIPIN: Tuk Siak, baliklah, tuk! Tak elok macam ni! Bawalah mengucap! Kalau ada masalah, kita selesaikan cara baik! Cara berunding!

TUK WALI: Dia memang dah lama berdendam dengan aku, Ripin! Aku tau, sejak aku kahwin dengan Mak Umi kau, semua yang aku buat tak ada yang betul di mata dia! Tak cukup umpat fitnah, dihasutnya orang masjid supaya pulaukan aku! Dah lama benar aku menunggu, baru petang ini sampai hajat aku!

MAK UMI: Sudahlah tu, bang! Malu kita macam ni! Udahlah tu! Biarlah aku pergi dari sini! Tak mau aku jadi saksi orang-orang dungu bergaduh! Mari Ripin, hantarkan Mak Umi ke rumah Berahim!

RIPIN serba salah. Dia berfikir sejenak! Kemudian dia mengikut MAK UMI keluar.Sambil berjalan keluar,RIPIN mengambil sebilah sundang yang digunakan oleh SIAK.

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)




i. Berdasarkan petikan di atas, mengapakah Ripin serba salah? 2m

ii. Nyatakan langkah-langkah untuk membentuk kecemerlangan akhlak remaja. 4m

iii. Nyatakan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan dua latar masyarakat yang terdapat dalam keseluruhan drama. 3m

SKEMA

i. …dia diminta menghantar Mak Umi ke rumah Berahim…dia terpaksa meninggalkan Tuk Wali dan Siak yang sedang bergaduh dengan menggunakan senjata

ii. …ibu bapa memberi pendidikan agama dan mengasuh anak-anak di rumah…masyarakat mengadakan pelbagai aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan seperti bergotong-royong…jiran-jiran menegur kelakuan remaja yang sumbang dan memberitahu ibu bapanya…kerajaan melancarkan kempen budi bahasa dan nilai murni

iii. dalam petikan: masyarakat melayu yang saling bermusuhan. Cth:Siak menghasut orang-orang masjid memulaukan Tuk Wali kerana Tuk Wali berkahwin dengan bekas tunangnya, Mak Umi.
keseluruhan drama: masyarakat melayu yang berpegang teguh pada agama.Cth: Tuk Wali menunaikan sembahyang berjemaah di masjid…masyarakat yang rosak akhlak akibat budaya kuning. Cth: Cucu Siak dan tiga orang lagi rakannya menyanyi dan menari di hadapan rumah Tuk Wali. Piee pula mencuri wang kepunyaan Tuk Wali kerana mahu membeli dadah.

Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 4

SOALAN 4

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

RIPIN: Wak masuk hutan minggu lepas? (Melihat longgokan akar kayu di hujung beranda)
TUK WALI: Nak dapat banyak tu, sehari suntuk aku di hutan. Bawa bekal nasi lagi!

RIPIN: Dah berpuluh tahun diredah,wak! Tak ada siapa pulak yang menanam semula.

TUK WALI: Kalau ikut petua,ikut pantang larang, sampai anak cucu pun insya-Allah ada lagi.Bila aku cakap fasal pantang-larang, semua orang ketawa. Bila aku bukakan rahsia petua ke hutan, ada orang kata aku ni nak jadi Tarzan. Orang sekarang ni tak berasa malu lagi bila merosakkan…dah hilang rasa hormat mereka pada alam!

RIPIN: Petua yang mana,wak?

TUK WALI: Pokok yang tengah berbunga atau berbuah, jangan ditebang. Pokok yang lebih kecil daripada jari hantu, jangan disentuh. Kalau hati belum pasti, jangan cantas. Kalau belum mengenal, berkenal dulu.

RIPIN: Mereka mencantas, menebang tu pun kerana nak mengenallah, wak!

TUK WALI: Belajarlah mengenal pada ibu, bukan cabut anak.(Kesal) Yang langgar pantang, anak cucu aku jugak. Cakap aku ni tak dihargai langsung.(marah) Si Berahim anak tiri aku tu! Dia murid Si Guan, Guan kedai singse tu! Tunjuk mana pasak bumi, tongkat ali, dikenalkannya rancang besi,rancang tembaga, yang mana raja berangkat, apa khasiat lukai jantan, apa gunanya tengkuk biawak!

RIPIN: Masya-Allah! Semuanya diajar,wak?

TUK WALI: Semuanya, Ripin! Kau tahu apa dah jadi? Berahim masuk hutan bekal tali sigai dengan kayu umpil, tpi si Guan masuk hutan dengan traktor, bawa buruh lagi dua tiga orang. Pokok besar betis ni, besar tiang rumah tu, habis dicabut. Bila cabut. Bila cabut, mana nak datang benih?

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Nyatakan tiga petua yang disampaikan oleh Tuk Wali kepada Ripin? 3m

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk memelihara hutan di negara kita? Kemukakan tiga pendapat anda. 3m

iii. Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan dua persoalan lain dalam keseluruhan drama. 3m


SKEMA

i. …Pokok yang tengah berbunga atau berbuah jangan ditebang…pokok yang lebih kecil daripada jari hantu,jangan disentuh…pokok yang belum dikenali tidak boleh dicantas…kalau pokok yang belum pasti,jangan dicantas

ii. …mewujudkan hutan simpan yang tidak boleh diteroka…memperkasakan pasukan penguat kuasa dalam usaha menjejaki penceroboh hutan…meningkatkan jumlah denda dan hukuman kepada pembalak haram…melaksanakan usaha penanaman pokok hutan selepas balak ditebang

iii. dalam petikan: hutan membekalkan sumber ubat-ubatan alternatif
keseluruhan drama: Hutan dihargai beserta khazanahnya…kepupusan sumber hutan

Drama:Gelanggang Tuk Wali-soalan 3

SOALAN 3

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SIAK: Assalammualaikum! Tuk Wali!...Oooo…! Tuk Wali! TUK WALI keluar dengan berseluar tanpa baju.

TUK WALI: Kamu, siak! Apa hal? Nampak cemas saja! Naiklah!

SIAK: Tak payah naik! Terima kasih! Di sini pun kita boleh bercakap! Memang sesuai pun di gelanggang silat ni kita berusul!

TUK WALI: Berusul apa pulak ni,siak! Lain macam saja gaya cakap kamu ni?

SIAK: Kamu memang pendekar, Wali! Belum pernah orang mengalahkan kamu dalam gelanggang! Sebab itu agaknya kamu jadi riak! Takbur! Kamu dah melampau! Hari ini aku nak tengok gagah kamu tu! Mari turun, kita berkira dalam gelanggang ini sekarang!

TUK WALI: Kamu mencabar aku,siak? Kamu mengajak aku bercekak?

SIAK: Jangan cuma berani dengan budak berhingus saja,Wali! Ayuh, mari turun, kita berkira sekarang!

TUK WALI: Belum pernah lagi aku menolak apabila dicabar, siak! Tapi aku nak tanya kenapa? Apa sebabnya kamu hendak benar menguji aku ni?

SIAK: Berani kamu cuma dengan budak-budak saja nampaknya! Hebat benar kamu ya, menampar anak cucu orang ikut suka hati kamu!

TUK WALI: Ooooo! Budak yang biadab semalam tu, cucu kamu rupa-rupanya? Patutlah pun!

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Berikan maksud berkira berdasarkan konteks ayat dalam petikan. 2m

ii. Sekiranya anda ialah siak, adakah anda akan mengajak Tuk Wali beradu tenaga di gelanggang? Berikan empat alasan anda. 4m

iii. Nyatakan satu pengajaran yang terkandung dalam petikan dan dua pengajaran dalam keseluruhan petikan? 3m


SKEMA

i. …bersilat bagi menguji kekuatan

ii. ya kerana: Tuk Wali telah menampar cucu saya…bertindak bersendirian…tidak mempunyai belas kasihan kepada remaja…sudah takbur dan bongkak dengan kehebatannya
…tidak kerana: tindakan Tuk Wali adalah betul…itu boleh diselesaikan menerusi muafakat...perbuatan cucu adalah salah dan perlu diberikan pengajaran…dia tidak melakukan perbuatan yang melulu.

iii. dalam petikan: Janganlah terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan…
dalam drama: Kita hendaklah bersatu hati supaya tidak wujud persengketaan…Kita hendaklah mempertahankan seni budaya bangsa.