BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 24, 2010

Rumusan: Usaha-usaha mengatasi penyalahgunaan pil khayal

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja dan faktor-faktor yang mempengaruhi mereka.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Zaman remaja merupakan suatu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak menuju zaman dewasa. Zaman remaja secara umumnya dikenali sebagai zaman ‘pancaroba’. Apatah lagi keadaan remaja yang penuh bersemangat, serba ingin tahu, belum sepenuhnya memiliki pertimbangan yang matang, mudah terumbang-ambing, mudah terpengaruh, nekad dan berani, beremosi tinggi, sering ingin mencuba, dan tidak mahu ketinggalan berbanding dengan rakan sebayanya merupakan faktor remaja terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sihat. Pada ketika inilah mereka merupakan kelompok yang paling mudah terjebak dengan penyalahgunaan pil khayal.

Di Malaysia, penyalahgunaan pil khayal masih dalam keadaan terkawal. Namun, jika tidak ditangani dengan bijaksana, tidak mustahil masalah ini akan semakin membiak dan mampu meruntuhkan masa depan remaja di Malaysia. Dalam hal ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Sebelum masalah remaja yang terbabit dengan masalah ini benar-benar serius wajarlah semua pihak bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Andainya sudah terjerumus tentu sukar untuk dipulihkan, malah menuntut kos yang tinggi pula.

Ibu bapa seharusnya mengawasi pergaulan anak-anak mereka secara lebih terperinci agar anak-anak mereka tidak terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini. Sejak kecil lagi anak-anak harus diberi penekanan tentang kehidupan beragama agar mereka dapat melalui liku-liku hidup dengan mengikuti jalan yang betul. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat hendaklah mewujudkan komunikasi yang harmonis antara remaja agar mereka tidak berasa disisihkan. Remaja juga harus digalakkan menyertai aktiviti lasak dan bersukan agar tenaga muda mereka berfokus kepada sesuatu aktiviti. Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memberi dorongan terhadap mana-mana hobi yang diceburi anak mereka sama ada di sekolah, di rumah atau dalam aktiviti kemasyarakatan setempat.

Ibu bapa juga berperanan dalam mendidik remaja mengenal pasti gaya hidup sihat dan mampu menangkis pengaruh atau pujukan untuk menggunakan pil-pil khayal tersebut. Segala masalah yang dihadapi oleh remaja hendaklah diselesaikan secara positif dan konstruktif. Dengan pelbagai usaha tersebut semoga kalangan remaja terhindar daripada penyalahgunaan pil khayal yang terlarang. Semoga zaman remaja akan dapat dilalui dengan baik demi masa depan yang gemilang.
(Diubahsuaikan daripada Penyalahgunaan Pil Khayal dalam Kalangan Remaja, Dewan Siswa. Januari 2004)

1. Berikan maksud rangkai kata zaman ‘pancaroba’ seperti terdapat dalam petikan. 2m
2. Mengapakah sesetengah remaja suka mengambil pil khayal? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah kesan buruk terhadap pengambilan pil khayal ini? 4m
SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan langkah-langkah mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja
Isi tersurat ( Langkah-langkah)
S1: Semua pihak bertindak mengikut kemampuan masing-masing
S2: Ibu bapa mengawasi pergaulan anak-anak secara menyeluruh
S3: Anak-anak diberi penekanan dalam aspek agama
S4: mewujudkan komunikasi harmonis dengan remaja dalam aktiviti kemasyarakatan
S5: Remaja menyertai aktiviti lasak dan bersukan
S6: Mendidik remaja mengenal pasti gaya hidup sihat
S7: Masalah diselesaikan secara positif dan konstruktif
Isi tersirat (faktor-faktor)
T1: Tidak dapat membezakan antara yang haram dan yang halal
T2: pengaruh rakan sebaya
T3: Ingin melupakan segala masalah dan tekanan yang dihadapi.
Kesimpulan: Semua pihak harus memainkan peranan yang penting dalam usaha mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal ini supaya dapat melahirkan generasi yang bersih dan bertanggungjawab
Soalan pemahaman:
1. ...masa atau keadaan yang penuh masalah/dugaan/cabaran
2. ...untuk menghilangkan masalah/tekanan yang dihadapi...pengaruh rakan sebaya...ingin mencuba sesuatu yang baharu
3. ...terpaksa membelanjakan wang yang bayak kerana harga mahal...akan terdedah kepada pelbagai gejala negatif...berhadapan dengan masa depan yang gelap...merosakkan tubuh badan kerana banyak bahan kimia.

Rumusan: faktor-faktor dadah harus diperangi

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor dadah mesti diperangi dan rintangannya.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahaya yang berpunca daripada ancaman dadah diakui oleh beberapa banyak pihak tetapi langkah pencegahannya agak terkebelakang berbanding dengan penularannya. Oleh sebab itu, baru-baru ini kerajaan dan agensinya telah melancarkan perang besar-besaran menentang dadah di Malaysia. Kempen yang dikenal sebagai “Enam Jahanam” itu ditujukan kepada penghapusan heroin, morfin, syabu, pil ecstasy, ganja, dan candu kerana keenam-enam jenis dadah itulah yang paling banyak disalahgunakan oleh pebagih di negara ini. Perang besar menentang dadaj ini akan berterusan sehingga semua jenis dadah itu dapat dihapuskan penyalahgunaannya.

Kita telah memerangi dadah lebih daripada 20 tahun menerusi pelbagai kempen dan seminar tetapi kejayaannya belum ketara. Menurut laporan pihak berkuasa, sejumlah 274923 penagih dadah dapat dikesan sejak tahun 1998 sehingga Januari lalu di negara ini.Hal yang menyedihkan daripada angkara dadah ialah penagih-penagihnya membabitkan anak muda dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun, selain penagih berusia 13 hingga 18 tahun. Tenaga-tenaga muda ini kalau dimanfaatkan akan menjadi aset negara yang sangat berharga. Namun demikian, dadah telah melalaikan mereka daripada menyertai pertubuhan belia dan sukan yang membolehkan mereka menggunakan masa lapang sebaik-baiknya melalui kegiatan yang sihat dan bermakna ini. Kita begitu gembira kalau golongan muda ini dapat hidup dengan sihat dan selamat serta disayangi semua orang. Namun demikian, mereka terbabit dalam kes penagihan dadah , maka hal tersebut membuatkan keluarga mereka menderita dan hidup tidak keruan.

Penagih dadah hidup bagaikan bangkai bernyawa dan tidak dapat menyumbang tenaga untuk pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, sewajarnyalah kita mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam musibah yang sangat berbahaya ini. Tambahan pula, kepuasan yang dirasai daripada perbuatan menagih dadah itu sekejap sahaja, sedangkan penderitaannya berpanjangan. Sesiapa yang sudah terjebak dalam kancah penagihan dadah mestilah berazam untuk meninggalkannya dengan berusaha mengubati ketagihannya.

Perkara yang tidak dapat diabaikan ialah penagihan dadah akan membawa masalah lain termasuk jangkitan HIV dan AIDS dan penagih mudah terlibat dalam perlakuan jenayah. Dalam usaha membanteras dadah, kerajaan telah berikrar akan bekerja kuat memeranginya, yang tinggal hanyalah sokongan rakyat terhadap usaha serius kerajaan menjadikan Malaysia negara yang bebas daripada dadah menjelang tahun 2015.

Kita tetap menerima hakikat bahawa bukanlah suatu tugas mudah untuk memulihkan penagih dadah. Apabila sudah ketagih mangsanya akan terus menagih dadah dan menderita sepanjang masa melainkan ada kekuatan sebenarnya dalam jiwa orang itu untuk memeranginya. Melalui kerja keras pelbagai pihak yang disertai izin Tuhan, kita berharap agar negara kita dapat merungkaikan diri daripada terus menjadi mangsa dadah. Kita tetap berdoa mudah-mudahan masalah ini tidak akan menghantui kita dalam masa 10 tahun dari sekarang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kerajaan Mengajak Rakyat Memerangi Dadah, oleh Misiah Taib, Berita Harian, 1 Mac 2005)

1. Terangkan maksud langkah pencegahannya agak terkebelakang berdasarkan petikan tersebut. 2m
2. Apakah harapan kita terhadap golongan muda di negara ini? 3m
3. Jelaskan punca-punca yang memungkinkan golongan muda terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah? 4m



















SKEMA PEMARKAHAN:
P:Petikan membincangkan punca-punca dadah mesti diperangi.
Isi tersurat (Punca dadah harus diperangi)
S1: Terdapat 6 jenis dadah paling banyak disalahgunakan oleh penagih di negara ini.
S2: Penagih-penagih dadah membabitkan golongan remaja dan belia
S3: Dadah telah melalaikan mereka daripada menyertai pertubuhan belia dan sukan
S4: Penagihan dadah akan menjadikan keluarga menderita dan tidak keruan hidup mereka.
S5: Penagih dadah hidup bagai bangkai bernyawa dan tidak dapat menyumbang tenaga untuk membangunkan negara
S6: Kepuasan yang dirasai daripada menagih dadah itu seketika Cuma, tetapi penderitaannya berpanjangan.
S7: Penagihan dadah menimbulkan masalah jangkitan AIDS dan perlakuan jenayah
S8: Ketagihan dadah menjadikan mangsa dadah terus menagih dan menderita sepanjang masa.
Isi Tersirat (Rintangannya)
T1: Sindiket dadah bergerak secara terancang dan sistematik
T2: Anggota sindiket menggunakan alat perhubungan yang canggih untuk memantau intipan pihak penguat kuasa
T3: Perniagaan dadah sangat menguntungkan sehingga pihak yang terlibat tidak takut akan hukuman
T4: Kita masih kekurangan kakitangan penguat kuasa yang benar-benar terlatih dalam bidang pencegahan dadah
T5: Penagih yang sudah menjalani rawatan akan kembali menagih dadah
T6: Masyarakat enggan menerima penagih yang insaf lalu mereka kembali menagih dadah
T7: Masyarakat tidak mengambil iktibar akibat penagihan dadah
Kesimpulan: Setiap anggota masyarakat negara ini hendaklah membantu pihak berkuasa membasmi dadah agar negara kita bebas daripada ancamannya.

Soalan pemahaman:
1. ...usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak seiring dengan cara dadah merebak dalam kalangan masyarakat
2. ...dapat menggunakan masa lapang dengan baik...dapat menyertai kegiatan yang sihat dan bermakna...dapat hidup dengan sihat dan selamat...mereka disayangi oleh semua orang...menjadi aset negara yang berharga
3. ...sikap ingin mencuba...dipengaruhi oleh kawan-kawan...menganggap dadah dapat membantu mereka melepaskan diri daripada tekanan...dianiayai oleh pihak tertentu

Friday, April 23, 2010

Rumusan: Faktor-faktor penyalahgunaan pil khayal

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang mendorong penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja dan langkah-langkah menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja atau pelajar merupakan masalah yang klompleks. Hal ini demikian kerana masalah ini bukan hanya melibatkan remaja atau pelajar itu sendiri tetapi juga melibatkan banyak pihak yang lain seperti keluarga, masyarakat, pihak sekolah, teman sebaya, kementerian kesihatan, penggubal undang-undang, polis dan sebagainya. Semua pihak yang terlibat ini bertanggungjawab sama ada sebagai faktor penyebab, pencetus mahupun sebagai pihak yang menanggung masalah itu.

Walaupun penyalahgunaan pil khayal di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal, namun jika tidak ditangani dengan bijak, tidak mustahil masalah ini menjadi lebih besar dan mampu meruntuhkan masa depan golongan remaja yang terlibat. Perilaku yang negatif seperti gengsterisme, vandalisme, penagihan dadah dan sebagainya sangat merugikan diri mereka dan masyarakat.

Kurangnya didikan agama menjadi faktor utama golongan remaja ini terdorong untuk mengambil pil khayal sebagai jalan mudah untuk mengurangkan tekanan terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka. Keadaan ini ditambah lagi dengan kurangnya perhatian daripada ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling. Justeru, mereka akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang sudah biasa menggunakannya.

Zaman remaja sememangnya suatu zaman yang penuh pancaroba, apatah lagi dengan keadaan remaja yang penuh semangat, serba ingin tahu, belum sepenuhnya memiliki pertimbangan diri yang matang, mudah terpengaruh, perasaan sentiasa ingin mencuba dan tidak mahu ketinggalan berbanding dengan teman-teman sebayanya. Pada ketika inilah mereka menjadi kelompok yang paling mudah terjebak dalam penyalahgunaan pil khayal. Kebanyakan golongan remaja yang mengambil pil khayal ini hanya mahu berseronok-seronok sahaja pada peringkat awal dan lebih dipengaruhi oleh perasaan ingin tahu.

Pengetahuan tentang bahaya pil khayal hanyalah salah satu daripada aspek yang perlu disampaikan kepada remaja agar mereka sedar akan kesan buruk penggunaan pil khayal terhadap kesihatan dan kehidupan mereka. Penyalahgunaan pil khayal ini merupakan satu penyelewengan penggunaan pil yang bukan bertujuan untuk penyembuhan atau pengubatan. Antara pil yang sering menjadi sasaran golongan remaja bermasalah ini ialah Ecstasy atau nama saintifiknya ialah Methylene dioxy methamphetamine (MDMA).

Ecstasy terdapat dalam pelbagai warna seperti merah jambu, putih, ungu dan biru. Pengambilan pil ini secara tidak disedarinya sebenarnya boleh merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem saraf, selain menjadikan seseorang itu mengalami ketagihan. Ecstasy juga boleh membahayakan bayi dalam kandungan dan menyebabkan keguguran, malah perkara yang lebih teruk lagi pil ini boleh menyebabkan perubahan mental, tingkah laku dan akhirnya menyebabkan kematian.

(Diubahsuaikan daripada “Penyalahgunaan Pil Khayal dalam Kalangan Remaja”,oleh Mohamad Syukri bin Abdul Rahim,Dewan Siswa, Januari, 2004)

1. Beri maksud rangkai kata zaman yang penuh pancaroba. 2m
2. Apakah kesan-kesan negatif penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja. 3m
3. “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Kaitkan pernyataan ini dengan masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja. 4m



















SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan ini menyatakan punca-punca penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja.
Isi tersurat ( Faktor-faktor)
S1: Kurang didikan agama
S2: Kurang perhatian daripada ibu bapa, guru dan masyarakat
S3: Pengaruh rakan sebaya
S4: Hanya untuk berseronok
S5: Dipengaruhi perasaan ingin tahu
S6: Kurang pengetahuan terhadap akibatnya
Isi tersirat (Langkah mengatasi)
T1: Memberikan penekanan terhadap kehidupan beragama baik di sekolah, dalam keluarga mahupun dalam masyarakat
T2: Mewujudkan hubungan yang erat antara remaja dengan ibu bapa, guru dan masyarakat
T3: Menggalakkan remaja menyertai aktiviti-aktiviti lasak dan bersukan agar tenaga muda mereka terfokus kepada sesuatu aktiviti yang berfaedah
Kesimpulan: Pelbagai usaha dilakukan dengan harapan golongan remaja terhindar daripada penyalahgunaan pil khayal supaya zaman remaja seseorang dapat dilalui dengan menjadi manusia yang bertanggungjawab apabila dewasa kelak.
Soalan pemahaman:
1. ...jangka masa yang banyak mengandungi cabaran hidup
2. ...merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem saraf...menyebabkan ketagihan...membahayakan bayi dalam kandungan dan menyebabkan keguguran...menyebabkan perubahan mental dan tingkah laku ...boleh membawa kematian
3. sebelum masalah golongan remaja yang terbabit dengan penyalahgunaan pil khayal benar-benar serius, wajarlah semua pihak bertindak untuk mengatasinya. Sekiranya masalah ini sudah berada pada tahap yang serius tentu sukar untuk diubati, malah memerlukan kos yang tinggi pula.

Rumusan : Langkah menangani penyalahgunaan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah dan punca-puncanya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Hampir 200 juta orang di seluruh dunia menggunakan dadah yang diharamkan. Di negara ini pula, kerajaan merekodkan seramai 300,241 pengguna dadah bergiat aktif antara tahun 1988 hingga 2006 dan 18.49 peratus daripadanya merupakan penghidap virus HIV positif. Berdasarkan data yang dikumpul oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 97.97 peratus terdiri daripada penagih lelaki dan selebihnya wanita.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dunia, diwujudkan Hari Antidadah Kebangsaan (HADA) yang diadakan pada setiap tahun. kempen tiga tahun oleh United Nation Office on Drug and Crime (UNODC) yang bertemakan ‘Adakah Dadah Kuasai Hidup Anda?’ telah dilancarkan bagi memberi fokus dalam pelbagai aspek pengawalan dadah. Tujuan kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat tentang kesan utama dadah ke atas mereka. Kempen tersebut turut mengingatkan dunia bahawa pendidikan yang baik dan skil menjalani kehidupan positif adalah penting bagi mendidik golongan muda tentang kesan-kesan buruk pengambilan dadah di samping membantu mereka mengelakkan diri daripada terlibat dengan pengambilan ‘najis’ tersebut.

Pihak kerajaan, sekolah dan media perlu bekerja keras dan bersatu padu dalam membimbing generasi muda melalui pendidikan, hubungan sesama rakan sebaya serta menggunakan pelbagai platform yang dapat memberi inspirasi kepada mereka seperti sukan, muzik dan hiburan.

Pada peringkat ini, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penuh dalam memberikan impak positif kepada golongan remaja yang sedang membesar. Dalam memberi tindak balas terhadap virus HIV dan dadah, masyarakat harus membuka mata serta minda dalam menentang HIV dan AIDS. Anak-anak perlu dididik dengan pengajaran positif seperti melayani penagih-penagih dadah secara berperikemanusiaan serta menghormati mereka seperti insan normal yang lain.

Selain itu, penguatkuasaan dan memberi pilihan tanaman lain kepada para petani yang menanam tumbuhan mentah dadah turut memainkan peranan penting dalam proses pencegahan pada peringkat awal.

Secara kesimpulannya, perkara-perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan namun berbekalkan tawakal dan semangat juang yang tinggi, perkara ini akan mampu dilaksanakan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana HADA Pupuk Kesedaran Masyarakat Dunia, Utusan Malaysia)

1. Apakah maksud rangkai kata skil menjalani kehidupan positif? 2m
2. Nyatakan fokus kempen yang dijalankan oleh UNODC. 3m
3. Pada pendapat anda, apakah kesan layanan buruk terhadap penagih-penagih dadah? 4m
SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan kaedah-kaedah menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat..
Isi tersurat (cara-cara menangani)
S!: Mewujudkan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA)
S2: Mengadakan kempen 3 tahun
S3: Pihak kerajaan, sekolah, dan media membimbing generasi muda melalui pendidikan dan hubungan rakan sebaya.
S4: Menggunakan pelbagai platform yang dapat memberi inspirasi
S5: Ibu bapa dan guru memberi impak positif kepada remaja
S6: Masyarakat membuka mata serta minda dalam menentang HIV dan AIDS
S7: Mendidik anak-anak dengan pengajaran positif
S8: penguatkuasaan undang-undang
S9: Memberi pilihan penanaman tanaman lain kepada para petani yang menanam tanaman mentah dadah
Isi tersurat (Punca-punca)
T1: Pengaruh rakan sebaya
T2: Kurang didikan agama
T3: Keruntuhan institusi kekeluargaan
Kesimpulan: semua pihak haruslah meningkatkan usaha agar penyalahgunaan dadah dapat dibanteras habis-habisan





Soalan Pemahaman:
1. ...kebolehan mengharungi persekitaran dengan baik
2. ...menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat tentang kesan utama dadah ke atas mereka...mengingatkan dunia tentang kepentingan pendidikan dan skil menjalani kehidupan positif falam mendidik golongan muda tentang kesan-kesan buruk pengambilan dadah...membantu golongan muda mengelakkan diri daripada terlibat dengan “najis” dadah
3. ...penagih dadah berputus asa untuk berubah...mereka berasa rendah diri dan dipinggirkan...mereka melakukan perbuatan jenayah untuk membalas dendam...lebih terdorong untuk meneruskan pengambilan dadah.

Rumusan: cara menangani penyalahgunaan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menangani masalah penyalahgunaan dadah dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sama seperti bilangan mangsa Tsunami yang melanda dua negara baru-baru ini, angka sebenar penagih dadah di negara kita ini pun tidak ada orang sesiapa pun yang tahu. Memang statistik Agensi Dadah Kebangsaan menyebut sehingga akhir tahun 2004, jumlah penagih dadah yang dikesan di seluruh negara ialah sekitar 255,000 orang. Tetapi menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , pada setiap penagih yang dikesan, ada sekurang-kurangnya tiga orang lagi yang tidak dapat dikesan. Pada tahun 2003 sahaja, sebanyak 36,996 orang penagih telah dikesan di seluruh negara. Jumlah kaum Melayu paling tinggi (25,393), kaum Cina(5,469), kaum India (3,750) dan selebihnya bangsa-bangsa lain. Perangkaan tahun 2004 menunjukkan kecenderungan yang serupa. Daripada 38,675 orang penagih yang dikesan, kaum Melayu paling menonjol dengan jumlah 24,988 orang, kaum Cina 5,255 orang dan India 3,537. Maka tidak hairanlah sekiranya di 27 Pusat Serenti di seluruh negara dipenuhi oleh penagih-penagih Melayu.

Pelbagai cara telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Sudah ada bermacam-macam undang-undang termasuk mengenakan hukuman mati mandatory demi membasmi penyalahgunaan dadah ini. Setiap hari, bulan dan tahun ada sahaja pesalah yang ditangkap atas kesalahan dadah dan mereka dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan. Pada tahun 2003 sahaja, sebanyak 2,090 kes kesalahan dadah telah direkodkan dan harta benda bernilaiRM15,009,986 telah disita di bawah Akta Pelucutan Harta 1988. Beberapa orang pengedar dadah telah dijatuhkan hukuman mati di bawah Akta Dadah Berbahaya dan sehingga kini masih banyak lagi yang menanti giliran untuk dibicarakan.Kerajaan telah melakukan berbagai-bagai cara untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah ini. Berbilion-bilion ringgit sudah dibazirkan untuk kempen kesedaran ini. Kertas kerja juga sudah bertimbun-timbun dibentangkan dalam pelbagai seminar. Semua tokoh masyarakat yang pakar dalam bidang ini baik di dalam negeri mahu pun di luar negara juga turut menyumbangkan seribu satu macam teori dan kaedah untuk sama-sama memerangi gejala najis dadah ini. Kaedah moden mahupun tradisional semuanya telah diuji, namun hasilnya masih belum diperoleh.

Dahulu, istilah dadah sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang paling jelik. Dadah juga pernaah disebut sebagai’najis dadah’ dengan tujuan untuk menimbulkan rasa jijik dan benci umum terhadap dadah itu. Kemudian dadah dicap sebagai ‘musuh nombor satu negara’. Tidak cukup dengan gelaran itu, dadah disifatkan lagi “lebih berbahaya daripada komunis”. Namun, slogan Cuma tinggal slogan sahaja tanpa meninggalkan apa-apa kesan yang drastik. Perniagaan dadah yang menjanjikan keuntungan yang lumayan, terancang begitu rapi secara gelap di peringkat antarabangsa dan bangsa Melayu ialah sasaran utama pasaran mereka.

Jelaslah kini, angka-angka yang telah diberi dan diwartakan di pelosok rantau melalui semua media massa dapat dijadikan panduan utama untuk kita ‘membuka mata’. Andai kata kita membaca dengan penuh rasa insaf, maka usahakanlah apa-apa sahaja yang kita rasa patut demi menghentikan serangan mautyang cuba menular dan mengancam keselamatan nyawa anak-anak generasi kini.
(Diubahsuaikan daripada “Dadah Melayu Boleh Hilang Di dunia” oleh Abd. Jalil Ali, Dewan Agama dan Falsafah, Mac 2005)

1. Berikan makna rangkai kata paling jelik. 2m
2. Mengpakah pelbagai slogan anti dadah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan tidak berkesan? 3m
3. Mengapakah golongan lelaki menunjukkan peningkatan yang sangat tinggi dalam masalah ketagihan dadah? 4m
















SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan usaha-usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah
Isi tersurat (usaha-usaha)
S1: Tindakan undang-undang dan hukuman mati mandatory
S2: pesalah dihadapkan ke mahkamah
S3: Harta benda mereka disita di bawah Akta Perlucutan Harta 1988
S4: Pelaksanaan kempen anti-dadah
S5: Pembentangan kertas kerja dan seminar tentang masalah dadah
S6: Khidmat nasihat daripada tokoh masyarakat
Isi tersirat (Kesan-kesannya)
T1: menimbulkan masalah sosial yang lain
T2: Penagih hilang harga diri
T3: Kerajaan memperuntukkan kos yang besar untuk memulihkan mereka
T4: Negara dipandang rendah oleh negara luar/ imej negara tercalar.
T5: Kadar kematian bertambah
Kesimpulan: Masalah penyalahgunaan dadah perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana masalah ini akan menjejaskan imej negara.
Soalan Pemahaman:
1. ...tidak menarik
2. ...perniagaan dadah menjanjikan keuntungan yang lumayan...terdapat pasaran gelap di peringkat antarabangsa...ada pembeli
3. ...mudah terpengaruh/dicabar rakan-rakan...menunjukkan kehebatan dalam kalangan rakan sebaya...kurangnya ketahanan diri jika terlibat dengan masalah...pergaulan di luar rumah yang lebih luas...kurang mesra dengan keluarga...lebih berani.

Rumusan: isu penjualan ubat batuk

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang perkara yang bertentangan dengan undang-undang dari aspek penjualan ubat batuk dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kegiatan penyalahgunaan ubat batuk untuk melepaskan ketagihan dalam kalangan remaja amat membimbangkan kerana bahan tersebut mudah diperoleh di pasaran termasuk di klinik-klinik swasta. Beberapa klinik swasta di ibu kota, terutamanya di sekitar Sentul, Cheras, dan Jalan Tunku Abdul Rahman menjual ubat batuk secara bebas kepada sesiapa sahaja, terutamanya remaja.

Pelanggan yang ingin membeli ubat batuk mudah memperoleh bahan tersebut tanpa perlu memberi sebarang keterangan atau menunjukkan surat doktor. Lebih mengejutkan apabila pembantu perubatan bersedia menjual ubat batuk dalam jumlah yang banyak tanpa sebarang surat pengesahan. Golongan remaja yang kebanyakannya penagih dadah membeli ubat batuk pada waktu antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Ubat-ubat batuk tersebut dijual antara RM12 hingga RM 15 dan klinik-klinik memperoleh keuntungan yang besar melalui penjualan kerana harga asal ubat batuk jauh lebih murah. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah doktor di klinik swasta yang menjual ubat batuk secara bebas kepada remaja telah menggalakkan kegiatan penyalahgunaan ubat batuk.

Walaupun peraturan perubatan menetapkan bahawa ubat batuk hanya boleh dijual selepas mendapat pengesahan doktor, namun sesetengah pengurusan klinik swasta mengabaikan peraturan sedia ada. Ubat batuk hanya digunakan oleh pesakit yang mengalami selesema atau batuk mengikut dos yang ditetapkan dan bukannya meminum sebotol ubat batuk sekali gus. Pengambilan ubat batuk yang melebihi dos dapat menyebabkan seseorang itu khayal atau mengantuk dan dalam jangka panjang menyebabkan ketagihan. Ada juga remaja yang bertindak berani apabila mencampurkan ubat batuk tersebut dengan dadah morfin bagi memastikannya lebih kuat.

Terdapat juga sesetengah pembeli dan pengedar ubat batuk menggunakan taktik lain bagi mengabui mata kakitangan klinik swasta yang berwaspada menjual ubat batuk. Antara taktik yang digunakan adalah dengan mengupah orang lain membeli ubat tersebut dengan upah yang setimpal bagi memastikan kegiatan mereka tidak dikesan oleh pihak berkuasa.Penyeludup yang tinggal bersempadan dengan negara jiran juga berani bertindak membolosi sempadan negara bagi menyeludup ubat batuk disebabkan permintaannya yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Kita tidak boleh membiarkan masalah ini terus berlaku atau membiarkan pihak kerajaan menangani masalah ini secara sendirian. Masalah penyalahgunaan ubat batuk ini hanya dapat diatasi jika semua pihak berganding bahu dan meningkatkan usaha pemantauan terhadap penjualan ubat batuk sama ada di klinik-klinik swasta atau di pasaran gelap.

1. Apakah maksud rangkai kata mengabui mata dalam petikan? 2m
2. Siapakah golongan yang sering membeli ubat batuk? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan penjualan ubat batuk? 4m
























SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan sesuatu yang bertentang dengan undang-undang dari aspek penjualan ubat batuk oleh klinik swasta kepada remaja
Isi tersurat (penyalahgunaan )
S1:Klinik swasta menjual ubat batuk kepada sesiapa sahaja secara bebas
S2: Pengguna mudah memperoleh ubat batuk tanpa memerlukan pengesahan doktor
S3: Pembantu perubatan menjual ubat batuk dalam kuantiti yang banyak
S4: Menjual ubat batuk dengan harga yang mahal
S5: Sesetengah pengurusan klinik swasta mengabaikan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan
Isi tersirat ( kesan-kesannya)
T1: Perbuatan dokror klinik swasta banyak menyebabkan remaja ketagih minum ubat batuk
T2: Mencemarkan nama baik profesion doktor dan bidang perubatan
T3: Menggalakkan penyeludupan ubat batuk dari negara luar
T4: Harga ubat batuk meningkat dan hal ini menyusahkan pengguna lain
Kesimpulan: Masalah penyalahgunaan ubat batuk oleh klinik-klinik swasta perlu dipantau dan dibasmi segera oleh kerajaan.

Soalan pemahaman
1. ...memperdaya.mengelirukan/menyesatkan pandangan
2. ...remaja...pesakit yang mengalami selesema atau batuk...pengedar ubat batuk
3. ...Jabatan Kesihatan memantau kegiatan penjualan ubat batuk di klinik swasta...mengenakan hukuman yang berat kepada pengedar ubat batuk...Aduan masyarakat sekeliling...kerjasama ibu bapa yang terlibat untuk membuat aduan...

Rumusan: Tanda-tanda penagihan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang mengenal pasti tanda-tanda penagihan dadah dan sebab remaja terlibat dalam penagihan dadah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Selalu kita tertanya cara seorang penagih boleh hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak mencuri malah mengugut dan ada kala mencederakan ibu bapa sendiri semata-mata mahu mendapatkan wang bagi membeli dadah. Penagih dadah tidak kisah apa-apa pun berlaku kepada ibu bapa atau ahli keuarga yang terpaksa menanggung penderitaan dan malu. Disumpah seranah pun mereka sanggup asalkan dapat melepaskan gian. Situasi inilah yang dialami semua orang apabila ada ahli keluarga menagih dadah. Sebenarnya sekali terperangkap dengan dadah, penagih akan hilang wawasan dan hala tuju hidup. Mereka tidak kisah tentang apa-apa juga perkara, termasuk soal makan minum, masa depan atau maruah keluarga, kerana yang penting mereka memperoleh bekalan dadah.

Antara tanda yang biasa ditunjukkan jika anak menagih ialah mata dan gerak bahasa badan berubah contohnya penagih mempunyai mata merah, Nampak mengantuk, dan anak mata mengecil. Contoh yang lain jika anak buang air kecil dengan cepat bermakna dia bersih dan sekiranya lama di dalam tandas, mungkin menandakan dia mengambil dadah kerana dadah akan mengetatkan pundi kencing yang menyebabkan proses buang air kecil menjadi lama. Lihat kesan suntikan sebab jika anak mengambil dadah melalui suntikan, kesan boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki. Selain itu, hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain kerana boleh “memakan dan merosakkan” lapisan sel dalam hidung. Terdapat juga kesan lebam pada bibir atau jari. Situasi ini menandakan anak anda mengambil dadah menggunakan salur kaca panas atau paip logam. Kita juga boleh melihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi. Heroin boleh “memakan” dan mereputkan gigi penagih. Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya. Bau bahan kimia atau kerap selsema juga menjadi petanda anak anda ketagih pada bau gam, cat atau bahan kimia kegunaan rumah yang boleh mendatangkan kesan khayal.

Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti. Seterusnya, mereka yang terlibat dalam gejala ini lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap kerana bimbang rahsia terbongkar. Walau bagaimanapun penagih ganja suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau telivisyen sekuat hati. Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya beralih kepada perkara yang tiada kaitan dengan pelajaran dan aktiviti lain. Walaupun tidak ponteng sekolah tetapi penagih gagal memberikan tumpuan di bilik darjah atau menyiapkan kerja sekolah. Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dahulu.

Perunding Psikologi Klinikal dan Kaunselor Pusat Perubatan Sime Darby, Alexander Ng berkata, setiap penagih yang berjumpa doctor mengakui mahu “sembuh” dan hidup sebaik orang lain. Bagaimanapun proses sembuh atau bebas daripada pengaruh dadah amat sukar, apatah lagi jika keluarga turut membuang mereka. Hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang mempunyai semangat kuat untuk mengubah kehidupan mereka. Meskipun menjalani rawatan, peluang untuk menagih semula sentiasa ada. Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah mereka tidak mendapat sokongan keluarga walaupun ada keinginan untuk berubah. Mereka yang terjebak dalam gejala ini juga tidak patuh kepada pelan rawatan. Malah mereka tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan. program penjagaan ini bukan hanya setahun dua tetapi sepanjang hayat. Bertemu dengan doctor dan psikiatri secara berkala juga penting untuk membantu penagih bebas daripada dadah. Pada waktu yang sama kita perlu hargai perubatan tradisional dalam membendung gejala ini daripada terus merebak.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Jangan Putus Asa”, oleh Norlaila Hamima Jamaluddin, Harian Merto,1Mac 2009)

1. Berikan maksud rangkai kata hala tuju hidup. 2m
2. Apakah faktor yang menjadi penghalang usaha penagih dadah kembali ke pangkal jalan? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah jumlah penagih dadah semakin meningkat walaupun pelbagai usaha pencegahan telah dilakukan? 4m












SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan ciri-ciri penagihan dadah
Isi tersurat ( Tanda penagihan dadah)
S1: Mata dan gerak bahasa badan berubah
S2: Lihat kesan suntikan sebab jika anak mengambil dadah melalui suntikan, boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki
S3: Hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain
S4: Kesan lebam pada bibir atau jari
S5: Boleh melihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi
S6: Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya
S7: Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil
S8: Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap
S9: Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya tiada kaitan dengan pelajaran.
S10: Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dahulu
Isi tersirat (Sebab remaja terlibat)
T1: Keinginan mencuba sesuatu yang baharu seperti yang dilakukan oleh rakan yang akrab
T2;Pujukan berterusan daripada rakan sebaya
T3: Termasuk perangkap golongan yang suka mencari mangsa bagi tujuan meluaskan pengedaran dadah
T4: Mahu melepaskan tekanan setelah menghadapi masalah keluarga atau rakan
Kesimpulannya semua remaja perlu berusaha menjauhi diri daripada perangkap dadah agar usaha mewujudkan masyarakat bebas daripada dadah akan menjadi kenyataan




Soalan pemahaman:
1. ...matlamat hidup pada masa depan
2. ...kerana tidak mendapat sokongan keluarga walaupun ada keinginan untuk berubah...mereka yang terjebak dalam gejala ini juga tidak patuh kepada pelan rawatan...mereka tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan.
3. ...kerana pengedar berterusan berusaha menambah penagih dadah untuk melariskan jualan dadah...pihak berkuasa gagal menyekat kemasukan dadah daripada negara luar...pelbagai jenis dadah dicipta bagi memikat golongan muda mencuba...tiada kesepaduan ahli masyarakat untuk bersama-sama menyelesaikan gejala kronik ini.