BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Jenayah penculikan kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dan implikasinya kepada masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Peningkatan kadar jenayah di negara ini yang semakin bertambah memerlukan komitmen semua pihak bagi menanganinya. Ketenteraman kehidupan masyarakat tergugat akibat kejadian jenayah yang semakin mengancam ini. Jenayah penculikan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang kian meningkat. Hilangnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan menyebabkan perkara ini berlaku. Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan sikap orang awam yang tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan jenayah ini semakin bertambah. Pelbagai pihak perlu mencari jalan penyelesaian agar jenayah yang meragut kebahagiaan dan keharmonian rakyat ini dibanteras dengan secepatnya.
Antara pihak yang seharusnya memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah ini ialah ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapalah insan yang terdekat dengan anak-anak. Institusi kekeluargaan perlu diteguhkan dengan ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka. Selain mendidik anak-anak dengan sahsiah yang terpuji, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang musibah yang akan berlaku akibat kecuaian diri sendiri. Anak-anak perlu didedahkan dengan keselamatan diri, bukan sahaja di jalan raya, bahkan sentiasa berwaspada dengan gejala penculikan. Ibu bapa juga bertanaggungjawab untuk sentiasa memerhatikan anak-anak dan bersama-sama mereka apabila berada di luar kawasan rumah. Kanak-kanak memang mudah terpengaruh oleh persekitaran di sekeliling mereka.
Saranan kerajaan kepada pihak sekolah agar memasang televisyen litar tertutup dapat memantau pergerakan kanak-kanak di sekolah dan di kawasan sekitar sekolah. Pihak sekolah,terutamanya guru-guru perlu sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah, terutamanya sewaktu mereka pulang dari sekolah agar masalah penculikan tidak berlaku. Pesanan dan nasihat daripada guru-guru perlu sering diperingatkan kepada murid-murid agar mereka tidak alpa akan keselamatan diri sendiri. Murid-murid hendaklah menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat seperti di dalam kawasan sekolah dan di kawasan yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selain itu, murid-murid dinasihatkan agar bergerak di dalam kumpulan dan tidak mendekati orang yang tidak dikenali.
Di samping itu, pertubuhan rukun tetangga juga dapat menolong dalam usaha mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dengan membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Rukun tetangga yang tidak aktif perlu dihidupkan semula. Kini ahli rukun tetangga mencecah kepada 80 000 orang di seluruh negara. Pelbagai inisiatif seperti cuti dan elaun rondaan diberikan kepada ahli rukun tetangga yang bertugas. Masyarakat harus berperanan menjaga keselamatan bukan sahaja kanak-kanak, malahan keselamatan keseluruhan ahli masyarakat dalam sesuatu kawasan yang dikawal oleh ahli rukun tetangga tersebut. Meskipun kebanyakan aktiviti rukun tetangga tidak memberikan apa-apa ganjaran dalam bentuk kewangan, namun kesannya amat besar dalam menjaga keselamatan penduduk setempat. Kerjasama semua anggota masyarakat dapat menjamin suasana kehidupan yang lebih harmonis.

Kejadian jenayah dalam apa-apa bentuk sekalipun perlu ditangani dengan segera. Bantuan orang ramai dengan memberikan maklumat kepada polis akan memudahkan penjenayah dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya. Undang-undang negara yang telah diperuntukkan sudah mencukupi untuk mengatasi masalah ini. Namun, undang-undang sahaja tidak dapat dilaksanakan sekiranya penjenayah tidak dapat ditangkap untuk diadili. Seharusnya, penjenayah yang melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa ini dihukum dengan sewajarnya.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Semua Pihak Mesti Berperanan Tangani Jenayah’,Utusan Malaysia, 16 Februari 2008)

1. Berikan maksud rangkai kata memerlukan komitmen semua pihak. 2m
2. Mengapakah jenayah penculikan kanak-kanak berlaku? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah penubuhan rukun tetangga di sesuatu kawasan tempat tinggal penduduk? 4m













Skema Jawapan
P: Petikan membincangkan cara-cara mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak yang sering berlaku.
Isi tersurat(Langkah-langkah mengatasi)
S1: Ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka.
S2: Ibu bapa sentiasa mengingatkan anak-anak mereka tentang musibah yang akan dihadapi akibat kecuaian diri sendiri.
S3: Anak-anak didedahkan dengan keselamatan diri.
S4: Ibu bapa bertanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak dengan sentiasa memerhatikan mereka dan bersama-sama dengan mereka.
S5: Pihak sekolah memasang televisyen litar tertutup bagi memantau pergerakan murid-murid di sekolah.
S6: Guru-guru sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah.
S7: Guru-guru sering menasihati dan mengingatkan murid-murid supaya tidak alpa akan keselamatan diri.
S8: Murid-murid menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat.
S9: Pertubuhan rukun tetangga membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini.
Isi tersirat (Implikasinya kepada masyarakat)
T1: masyarakat bimbang akan kejadian penculikan.
T2: pergerakan anak-anak akan terbatas dan dikongkong keluarga
T3: masyarakat berkorban dengan bersama-sama menjaga keselamatan tempat kediaman
Kesimpulan: Semua pihak hendaklah berganding bahu mengatasi masalah penculikan kanak-kanak supaya jenayah ini tidak terus menghantui masyarakat.




Pemahaman:
1. ...berkehendakkan pemerhatian pelbagai lapisan masyarakat.
2. ...hilang perasaan belas kasihan dan kasih sayang...Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak...Masyarakat tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
3. ...Menjaga keselamatan nyawa dan harta benda penduduk...Mewujudkan perasaan muhibah sesama penduduk...Mengatasi masalah jenayah seperti penculikan dan pecah rumah...Mengeratkan hubungan kejiranan.

Rumusan: kepentingan pusat asuhan kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pusat asuhan anak di tempat kerja dan masalah dengan adanya pusat tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha mewujudkan pusat asuhan untuk anak-anak mempunyai kesan yang besar terhadap keluarga yang tidak mempunyai pembantu rumah. Manakan tidak, kini ramai wanita boleh terus ke tempat kerja bersama anak tanpa perlu berkejar ke tempat penjaga dan kemudian ke tempat kerja. Lagipun kalau tidak ada penjaga anak yang datang pada hari itu atau pembantu perlukan cuti, kini sudah ada tempat untuk meninggalkan anak mereka dalam keadaan yang selamat menyebabkan hati berasa lega. Oleh itu, adanya pusat asuhan di tempat kerja akan memberikan ketenangan jiwa kepada pekerja dan majikan. Selama ini, tanpa pusat asuhan anak, ramai pekerja mengambil cuti secara mengejut untuk menguruskan anak yang sakit. Jika anak di rumah, sesetengahnya berasa risau memikirkan anak-anak yang diuruskan oleh pembantu rumah.

Mungkin dengan adanya pusat asuhan, anak-anak boleh diletakkan di tempat kerja ibu dan di tempat kerja bapa. Secara tidak langsung tanggungjawab menjaga anak boleh dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita. Malah dasar mesra keluarga juga akan tercapai dengan sendirinya. Oleh itu, pusat asuhan secara tidak langsung dapat memupuk semangat saling menolong antara satu sama lain, tanpa wujudnya sikap salah menyalahkan. Hal ini demikian kerana api kemarahan isteri akan terpadam dengan bantuan yang dicurahkan oleh suami. Maka satu lagi hasrat “Rumahku Syurgaku” akan turut tercapai dengan adanya pusat jagaan anak-anak. Pusat penjagaan anak-anak juga dapat mengelakkan pelbagai gejala sosial yang berpotensi besar berlaku kepada anak-anak yang balik ke rumah yang “kosong” tanpa ibu bapa.

Pelbagai kes telah dilaporkan tentang bala yang menimpa anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga seperti terlibat dengan gejala lepak, ponteng sekolah, merokok, dadah, seks bebas, gengsterisme, lumba haram , dan lain-lain kes juvenil yang cukup menggerunkan. Daripada perspektif organisasi pula, pusat asuhan bukan sahaja mendapat potongan cukai sebanyak 10 peratus tetapi juga akan mengurangkan masalah berhenti kerja dalam kalangan pekerja wanita. Menurut kajian di Barat, mereka telah dapat mengesan masalah ini apabila tahap ponteng kerja wanita menurun ketika anak-anak mereka dalam peringkat umur remaja. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan wanita dalam peringkat umur 30-an akan berhenti kerja buat sementara untuk memberikan tumpuan kepada anak-anak.

Malah hampir separuh wanita juga menyatakan kesanggupan untuk berhenti kerja kerana perasaan bersalah membelakangkan keluarga dan tiada masa santai atau bermesra untuk anak-anak, suami ataupun diri sendiri. Oleh yang demikian, kesedaran terhadap pusat jagaan anak-anak di tempat kerja akan dapat meleraikan masalah kehilangan modal insan wanita yang berharga. Oleh hal demikian, keperluan bantuan pusat asuhan akan lebih dirasakan kerana peratusan wanita berkahwin yang bekerja pada tahun 2002 sudah mencecah 62.5 peratus. Ditambah 60 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi ialah wanita. Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa kehadiran wanita di tempat kerja akan meningkat. Walaupun penjagaan anak adalah tanggungjawab suami isteri, kadangkala naluri keibuan itu sendiri membuat wanita lebih rela menggalas tanggungjawab dalam membesarkan anak. Oleh itu, kewujudan pusat penjagaan anak satu langkah yang tepat. Pendek kata,memetik ucapan Perdana Menteri, anak-anak inilah yang akan menjadi pemimpin, pereka, usahawan, penyelidik atau ahli professional negara kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Realisasikan Pusat Asuhan Anak”, oleh Dr. Sabitha Marican, Utusan Malaysia,21 April 2009)

1. Berikan maksud rangkai kata rela menggalas tanggungjawab. 2m
2. Apakah masalah yang wujud bagi syarikat yang tidak menyediakan pusat asuhan anak? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat moden lebih selesa menggaji pembantu rumah daripada menghantar anak mereka di tempat asuhan? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kelebihan/faedah adanya pusat asuhan anak di tempat kerja bagi pekerja yang sudah berumah tangga.
Isi tersurat(Kepentingan Pusat Asuhan)
S1: Boleh terus ke tempat kerja bersama anak tanpa perlu berkejar ke tempat penjaga.
S2: Meninggalkan anak dalam keadaan yang selamat menyebabkan hati berasa lega.
S3: Memberikan ketenangan jiwa kepada pekerja dan majikan.
S4: Tanggungjawab menjaga anak boleh dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita.
S5: Dasar mesra keluarga akan tercapai dengan sendirinya.
S6: Memupuk semangat saling menolong antara satu sama lain, tanpa wujudnya sikap salah-menyalahkan.
S7: Hasrat “Rumahku Syurgaku” akan turut tercapai.
S8: Mengelakkan pelbagai gejala sosial besar berlaku kepada anak-anak yang balik ke rumah yang “kosong” tanpa ibu bapa.
S9: Mengurangkan masalah berhenti kerja dalam kalangan pekerja wanita.
S10: Meleraikan masalah kehilangan modal insane wanita yang berharga.
Isi tersirat(Kekangan yang menghalang kemajuan)
T1: Pekerja lebih banyak meluangkan masa menjenguk anak daripada menumpukan kerja.
T2: Pertelingkahan anak-anak hingga melibatkan orang tua iaitu rakan sejawat.
T3: Jika wujud masalah di tempat asuhan menyebabkan ramai pekerja mengambil cuti kecemasan.
T4: Majikan terpaksa menyediakan ruang lebih besar jika jumlah anak bertambah.
Kesimpulan: Masyarakat luar bandar perlu bersikap proaktif agar pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan dapat dinikmati bersama.



Pemahaman:
1. ...sanggup memikul amanah
2. ...ramai pekerja mengambil cuti secara mengejut untuk menguruskan anak yang sakit...Sesetengahnya berasa risau memikirkan anak-anak yang diuruskan oleh pembantu rumah...Bala yang menimpa anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga seperti terlibat dengan gejala lepak, ponteng sekolah, merokok, dan lain-lain kes juvenile
3. ...Lebih menjimatkan bagi mereka yang mempunyai anak ramai...Urusan rumah tangga boleh serahkan secara total kepada pembantu rumah...Boleh balik lewat atau menguruskan hal-hal peribadi tanpa risau memikirkan anak di rumah...Apabila tiba di rumah, ibu bapa boleh memberikan tumpuan kepada anak, manakala urusan makan minum diuruskan oleh pembantu rumah.

Rumusan:isu jenayah kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak dan kesan kejadian-kejadian tersebut terhadap kanak-kanak yang lain. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Nafsu amarah yang tidak dapat dikekang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar batasan. Terdapat penjenayah yang berada di bawah paras sedar dan menganggap tindakan kejam terhadap kanak-kanak sebagai peluang memenuhi tuntutan nafsu. Semasa melakukan serangan, tidak timbul rasa belas kasihan. Penjenayah mungkin berasa menyesal selepas melakukannya, tetapi keadaan sudah terlambat apabila mangsa meninggal dunia selepas dirogol atau dibunuh.
Penjenayah kejam seperti ini mempunyai kaitan dengan masalah jiwa. Ada masanya mereka melakukan perbuatan mereka tanpa niat. Berdasarkan teori psikoanalisis yang dikemukakan oleh neurologis Austria, Sigmund Freud, segala tindakan jahat seperti melakukan serangan seksual atau bunuh disebabkan oleh desakan hidup.
Namun begitu, merogol dan membunuh kanak-kanak merupakan tindakan yang zalim dan salah di sisi undang-undang. Apatah lagi kanak-kanak mengharapkan perlindungan dan keselamatan daripada orang dewasa. Orang dewasalah yang tidak memikul amanah dengan sempurna terhadap kanak-kanak sehingga berlakunya kes-kes tersebut.
Dalam sesetengah kes, penjenayah yang mempunyai sejarah hitam pada zaman kanak-kanaknya akan berasa tidak puas hati terhadap ibu bapa, serta cemburu kepada kanak-kanak yang lain. Kadang kala mereka juga dipengaruhi oleh kesan pengambilan dadah atau alkohol sehingga mereka hilang ingatan ketika melakukan perbuatan tersebut. Dalam sesetengah kes yang lain pula, terdapat penjenayah yang mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat rendah, termasuklah tidak mendapat bimbingan agama yang sempurna.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan orang awam untuk berganding bahu dalam soal penjagaan keselamatan kanak-kanak. Namun begitu, ada masanya ibu bapa tidak mengambil tahu ke mana-mana anak mereka pergi, dan yang menjadi kawan-kawan anak mereka. Mereka sepatutnya memberikan makluman kepada anak-anak agar tidak mendekati orang yang tidak dikenali serta mengelakkan mereka berjalan seorang diri di tempat yang sunyi.
Apabila ibu bapa membawa anak-anak keluar dari rumah, berikan perhatian penuh kepada anak. Pimpinlah tangan anak-anak agar tidak terlepas. Kejadian penculikan boleh berlaku dalam sekelip mata. Jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, pihak berkuasa mempunyai talian kecemasan yang boleh dihubungi pada bila-bila masa agar orang ramai mudah melaporkan sebarang berita jenayah terhadap kanak-kanak. Ingatlah bahawa masyarakat perlu mengamalkan kata-kata ‘anak kita anak orang, anak orang anak kita’, iaitu menjaga anak orang seperti menjaga anak kita sendiri.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada “Anak Kita Anak Orang, Anak Orang Anak Kita”, Dewan Masyarakat, Mac 2008)

1. Berikan maksud rangkai kata memenuhi tuntutan nafsu. 2m
2. Apakah peranan golongan dewasa dalam menangani kejadian jenayah terhadap kanak-kanak? 4m
3. Pada pendapat anda,bagaimanakah institusi kekeluargaan berperanan membantu seseorang yang mengalami masalah jiwa daripada menjadi penjenayah kanak-kanak? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan faktor/sebab berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak.
Isi tersurat(faktor berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak)
S1: Nafsu amarah yang tidak dapat dikekang
S2: Terdapat penjenayah yang berada di bawah paras sedar.
S3: Menganggap tindakan kejam terhadap kanak-kanak sebagai peluang memenuhi tuntutan nafsu.
S4: Penjenayah mempunyai kaitan dengan masalah jiwa.
S5: Disebabkan oleh desakan hidup.
S6: Penjenayah yang mempunyai sejarah hitam pada zaman kanak-kanaknya.
S7: Dipengaruhi oleh kesan pengambilan dadah/alkohol.
S8: Penjenayah mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat rendah.
S9: Tidak mendapat bimbingan agama yang sempurna.
S10. Ibu bapa tidak mengambil tahu ke mana anak mereka pergi dan yang menjadi kawan anak mereka.
Isi tersirat(Kesan kejadian terhadap kanak-kanak lain)
T1: Kanak-kanak tidak bebas menjalani kehidupan zaman kanak-kanak yang penuh gembira.
T2: Sentiasa bimbang/cemas akan keselamatan diri.
T3: Tidak dapat melakukan aktiviti dengan bebas dan riang.
Kesimpulan: Anggota masyarakat harus bekerjasama mengatasi masalah tersebut demi keselamatan kanak-kanak.


Pemahaman:
1. ...mengisi kehendak hati yang kuat/Melampias keinginan/kehendak hati yang kuat
2. ...memberikan perhatian sepenuhnya kepada kanak-kanak apabila ibu bapa membawa anak-anak keluar rumah
...bertanggungjawab menjaga keselamatan kanak-kanak dengan menganggap anak orang lain juga seperti anak kita.
3. ...memberikan perhatian dan kasih sayang...mendapatkan rawatan daripada pakar psikatris...mendapatkan khidmat kaunselor...memberikan didikan agama/ nilai-nilai murni/moral...tidak memberikan tekanan emosi dan fizikal

Rumusan:isu jenayah kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah membendung jenayah kanak-kanak dan sikap negatif ibu bapa terhadap anak masing-masing. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai tempat perlindungan daripada sebarang anasir dan ancaman negatif dari luar. Setiap ibu bapa mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka sama ada di rumah atau diluar rumah. Akan tetapi, amatlah mustahil dan sukar bagi ibu bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam. Ada ibu bapa yang sibuk dengan tugasan kerja dan ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja. Namun, ada juga anak-anak yang merajuk dan berasa diri mereka dikongkong akibat perhatian berlebihan ibu bapa mereka. Kongkongan ini menyebabkan terjadi satu lagi fenomena yang membimbangkan, iaitu lari dari rumah. Disebabkan kemustahilan untuk mengawasi anak-anak pada setiap masa, para ibu bapa dan penjaga perlu merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan walaupun tanpa ibu bapa di sisi.
Tindakan yang mudah ialah anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi. Penjenayah selalunya akan menyerang mangsa yang sedang berseorangan. Serigala tidak akan menangkap kambing yang meragut di dalam kumpulan, tetapi akan menyerang kambing yang meragut bersendirian. Kanak-kanak malang, Nurin Jazlin hilang ketika dia berjalan seorang diri. Selain itu, ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling dan membuat laporan kepada ibu bapa sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau ada orang yang memerhatikan mereka. Malahan, kanak-kanak perlu diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah. Mereka juga diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali ke tempat-tempat yang tidak diketahui. Had bagi seorang yang tidak dikenali hanya setakat menegur dan bertanya soalan sahaja.
Selain itu, gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada. Teknologi paling murah dan mudah didapati adalah dengan membekalkan anak anda telefon bimbit. Melalui telefon bimbit ibu bapa boleh mengetahui lokasi anak mereka berada. Jumlah penduduk di negara kita semakin bertambah dan hal ini boleh menyumbang peningkatan kadar jenayah. Selain itu, strategi dan kaedah yang digunakan oleh penjenayah pada masa sekarang adalah lebih licik dan bijak. Ibu bapa pasti tidak mampu untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin. Kaedah yang paling baik adalah dengan mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.
Oleh sebab banyak kejadian jenayah kanak-kanak di luar rumah, peranan masyarakat amatlah penting dalam membendung gejala ini daripada terus menular. Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya oleh orang dewasa. Dengan kemajuan teknologi moden, kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis. Sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan. Ingatlah, hari ini anak orang menjadi mangsa jenayah, hari-hari mendatang mungkin keluarga kita pula menjadi mangsa manusia yang bersikap zalim. Dalam era menuju kemajuan ini, kita tentu berasa sedih apabila kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus meningkat. Sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia memang sudah “sakit” sehingga menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Beri Kanak-kanak Kuasa” oleh Raffaro Affandy Salim, dalam Utusan Malaysia,22 September 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata kemustahilan untuk mengawasi. 2m
2. Apakah masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dalam membendung jenayah yang melibatkan anak mereka? 3m
3. Pada pendapat anda, selain faktor ibu bapa dan masyarakat, mengapakah kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus bertambah? 4m
















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan usaha-usaha/ tindakan/ cara-cara membendung jenayah kanak-kanak daripada terus menular.
Isi tersurat: (Langkah-langkah)
S1: Ibu bapa bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka di rumah atau di luar rumah.
S2: Ibu bapa merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan.
S3: Anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi.
S4: Ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling.
S5: kanak-kanak diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah.
S6: Diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali.
S7: Gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada.
S8: mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.
S9: Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya.
S10: Kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis.
Isi tersirat( Sikap negatif ibu bapa )
T1: Ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah tanpa berteman.
T2: Ibu bapa meninggalkan anak-anak di rumah pengasuh yang tidak diketahui latar belakangnya.
T3: Anak-anak dibiarkan tinggal bersendirian ketika ibu bapa keluar bekerja.
T4: Ibu bapa tidak prihatin terhadap aduan anak-anak terhadap orang dewasa.
Kesimpulan: Ibu bapa perlulah lebih prihatin terhadap anak-anak agar kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak dapat dibendung.

pemahaman:
1. ...sesuatu yang sukar untuk memastikan keadaan.
2. ...sukar bagi ibu bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam...Ibu bapa sibuk dengan tugasan kerja... ibu bapa ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja.
3. ...peluang untuk penjenayah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak terbuka luas...Tekanan hidup dalam kalangan masyarakt akibat kos hidup yang tinggi menyebabkan ramai yang sakit jiwa, lalu tidak teragak-agak untuk melakukan jenayah...Jumlah pendatang asing yang bertambah menyumbang peningkatan jenayah...Penguatkuasaan yang lemah menyebabkan masyarakat tidak takut untuk melakukan jenayah.

Sunday, April 11, 2010

Komsas cerpen Ibu dan Ceper - latihan 11

SOALAN 11

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Tetapi walau serancak dan sehebat mana pun anak-anak dan cucu-cucuku melompat turun ke baruh bertungkus-lumus dengan seut dan lintah, namun Sungai Ceper tidak lagi kembali rancak dan cergas, malah Ceper sekarang ini boleh dikatakan sudah mati sama seperti ibu dan sama seperti bapa meskipun Ceper masih wujud dan airnya masih ada.
Airnya sudah tidak bergerak lagi. Sedikit pun tidak. Yang ada hanya timbunan sampah sarap yang berbagai-bagai, tindih-menindih bagaikan Ceper sudah benar-benar lemas. Bangkai-bangkai jangan diambil kira lagi kerana terlalu banyak. Kayu-kayu buruk, ketul-ketul tanah yang sudah keras, papan-papan saying yang hijau dengan lumut, kertas-kertas yang sudah lama kerunyuk dan lalat-lalat jenis besar hijau bukan main banyak lagi. Pokok-pokok buluh pun di sepanjang tubuh Sungai Ceper itu menunduk bagaikan menyembah-neyembah minta ampun.

i. Gambarkan keadaan Sungai Ceper berdasarkan petikan. 3m

ii. Pada pendapat anda, mengapakah banyak sungai di negara ini tercemar?
3m

iii. Huraikan satu persoalan dalam petikan dan dua persoalan yang lain dalam
keseluruhan cerpen tersebut. 3m
























SKEMA JAWAPAN

i. – air Sungai ceper tidak mengalir lagi - timbunan sampah sarap dan bangkai terdapat di dalam sungai itu
- pokok-pokok buluh di tepi sungai itu tumbang

ii. – masyarakat membuang sampah sarap ke dalam sungai
- penerokaan hutan yang berleluasa untuk aktiviti pertanian dan
penempatan
- aktiviti pembalakan haram

iii. Persoalan dalam petikan:
- pencemaran sungai akibat perbuatan manusia
Persoalan keseluruhan:
- pergantungan kepada sektor pertanian
- Bencana alam mempengaruhi sumber ekonomi masyarakat kampung

Komsas cerpen Ibu dan Ceper - Latihan 10

SOALAN 10

Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman. Pasir-pasir yang berbiji halus, batu-batu kerikil yang berkilat mengalir di bawah bersama ikan yang cergas.
Saling tidak tumpah seperti ibu yang rancak ke sana ke sini seperti air terjun. Ibu tidak boleh tinggal diam sepanjang hari, sama seperti air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan, menampar tebing yang berselekoh, memasuki lubuk-lubuk yang dalam.
Ibu juga bergerak di mana saja dia berada.Kalau di baruh, ibulah yang menajak dan menyisir selut. Ibulah yang pikul gemal dan tanam benih-benih itu dengan tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu.Kelak ibulah yang mengejar burung apabila padi menguning. Dan ibu jugalah yang menuai apabila padi masak sampai habis gemal-gemal itu dijunjung naik masuk jelapang.
Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru sja lepas dari busurnya. Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang…

(Dipetik daripada cerpen ‘Ibu dan Ceper’ oleh Shahnon Ahmad dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,2009, hal .99)

i. Berdasarkan petikan, apakah maksud baris tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu? 2m
ii. Pada pendapat anda, apakah persamaan antara ibu dan Sungai Ceper? 3m
iii. Huraikan perwatakan ibu berdasarkan cerpen ini. 4m






















SKEMA JAWAPAN

I. Maksud frasa ialah ibu sentiasa mempunyai tenaga dan kekuatan untuk melakukan kerja

ii. - Kedua-duanya sama dicintai oleh penulis
- Ibu dan Sungai Ceper bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar.
- Ibu dan Sungai Ceper juga rancak ke sana ke sini.

iii - Seorang yang gigih. Hal ini terbukti apabila pengarang mengatakan
bahawa tulang empat kerat ibu tidak pernah tidak bermaya
- Seorang yang mahir melakukan pelbagai kerja. Hal ini dapat dibuktikan apabila pengarang menyatakan bahawa ibu melakukan semua kerja seperti menajak sawah, memikul gemal, menghalau burung, dan mengangkut padi ke dalam jelapang.

Komsas cerpen Ibu dan Ceper - latihan 9

LATIHAN 9
Baca petikan cerpen dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Saling tak tumpah seperti ibu yang rancak ke sana rancak ke sini seperti air terjun. Ibu tidak boleh tinggal diam sepanjang hari, sama seperti air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan, menampar tebing yang berselekoh, menusuki lubuk-lubuk dalam.
Ibu juga bergerak di mana saja dia berada. Kalau di baruh, ibulah yang menajak dan menyisir selut. Ibulah yang memikul gemal dan tanam benih benih itulah dengan tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu. Kelak ibulah yang mengejar burung apabila padi menguning. Dan ibu jugalah yang menuai apabila padi masak sampai habis gemal-gemal itu dijunjung naik masuk jelapang.
Ceper pun serupa. Ia memamncutkan iarnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas daripada busurnya. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya. Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.

(i) Siapakah “ibu” dalam cerpen ini? (2 markah)

(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang dapat dilakukan untuk mngelakkan sunagi ceper daripada banjir? (3 markah)























Skema jawapan:

Latihan
(i) “Ibu” dalam cerpen ceper ini ialah seorang perempuan tua yang rajin bekerja. Ibu bekerja membanting tulang di sawah padi. Ibu mempunyai seorang suami yang suka cengkaih (melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh) burung ketitir.
(ii) Pada pendapat saya, penduduk kampong perlu membersihkan samapah sarap. Sesudah itu, pihak kerajaan wajar menggali bagi memperdalamkan sungai ceper supaya air mengalir dengan lancar menuju ke laut dan banjir kilat tidak berlaku apabila hujan lebat. Kiri dan kanan sungai juga perlu ditebas supaya tidak ada sampah sarap yang memenuhi kembali sungai.