SOALAN 8
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka kata Bayan itu, “Adalah seorang saudagar di negeri Istanbul, maka ia pun pergi belayar. Hatta berapa lamanya selepas peninggalan saudagar itu, maka isteri saudagar itu bermukah dengan seorang kalandar. Sebermula adapun saudagar itu ada menaruh seekor Bayan. Hatta berapa lamanya maka saudagar itu pun datanglah daripada belayar itu. Maka tiadalah baik hatinya saudagar itu akan isterinya itu. Sebaik-baik ia berbantah, maka isteri saudagar itu berfikir di dalam hatinya, “Tiada siapa lagi yang memberitahu kepada suamiku ini melainkan Bayan juga, maka ia tahu akan perbuatan aku ini.” Maka isteri saudagar itu pun marahlah kepada Bayan itu.
Maka ada pada suatu hari maka saudagar itu pun tiada di rumahnya pergi ke kedainya. Setelah dilihat oleh isteri saudagar suaminya pergi berjalan maka Bayan itu pun dipanggilnya lalu ditangkapnya,dicabutkannya bulunya Bayan itu seraya katanya,”Si celaka inilah memberitahu kepada suamiku maka ia tahu!” Setelah habislah bulu Bayan itu dicabut oleh isteri saudagar, baharu dilepaskannya. Maka Bayan itu pun larilah bersembunyi masuk ke dalam saluran tempat orang membuang air beras. Maka Bayan itu pun diamlah di sana. Pada sangkaan isteri saudagar Bayan itu sudah mati. Maka saudagar pun kembalilah ke rumahnya. Apabila isteri saudagar itu melihat suaminya pulang, ia pun pura-pura berteriak-teriak seraya katanya,”Sayangnya Bayan aku dimakan oleh kucing!”
(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, hal 76 - 77)
i. Apakah maksud frasa saudagar itu pun datanglah daripada belayar itu? 2m
ii. Berdasarkan petikan, mengapakah isteri saudagar mencabut bulu Bayan? 3m
iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah saudagar mengetahui kecurangan isterinya? 3m
SKEMA
i. …saudagar itu baru pulang daripada pelayaran.
ii. …kerana menyangka Bayanlah yang memberitahu suaminya tentang kecurangan yang dilakukan…Dia juga berbuat demikian dengan harapan Bayan akan mati…Perbuatan tersebut dilakukan untuk mendapat simpati daripada suaminya.
iii. …dengan cara gerak hati seorang suami. Suami sememangnya dianugerahkan keistimewaan untuk memahami sikap isterinya yang berubah…Saudagar juga mungkin mengetahui berita buruk itu melalui rakan-rakannya…Bayan yang dapat bercakap itu juga boleh menjadi sumber berita tentang kecurangan isterinya.
Sunday, December 26, 2010
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 8
Posted by eranis at 11:47 PM 0 comments
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 7
SOALAN 7
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergilah sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!” Setelah didengar oleh orang tua itu segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja Maimun itu. Setelah ia sampai, maka segala pesan anak raja itu pun habis sekaliannya dikatakannya oleh perempuan tua itu, serta dengan manis mulutnya berkata-kata, berapa peluk cumbu-cumbuan akan yang memberi berahi dikatakannya.
Setelah isteri Khoja Maimun mendengar kata orang tua itu, maka hatinya pun terikatlah akan anak raja itu dan api yang berahi itu pun nyalalah di dalam dadanya itu. Maka Bibi Zainab pun berkehendaklah akan anak raja itu seraya katanya,”Hai ibuku, baiklah katakan kepada anak raja itu hamba punya sembah maka ampun banyak-banyak pada anak raja itu! Sekarang malam hamba mendapatkan anak raja itu, tetapi jangan ibuku katakan seorang jua pun rahsia ini. Bukan sebarang ini, mati sahaya, anak raja tiada akan mati, sahaya juga yang mati!” Setelah orang tua itu mendengar kata isteri Khoja Maimun demikian itu…
(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i. Apakah maksud kata-kata anak raja katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini? 2m
ii. Nyatakan perwatakan Bibi Zainab berdasarkan petikan? 3m
iii. Pada pendapat anda, mengapakah Bibi Zainab bersikap demikian? 3m
SKEMA
i. …Dia mahu perempuan tua menyampaikan hasrat hatinya kepada Bibi Zainab bahawa dia suka akannya. Anak raja mahu perempuan itu menggunakan pelbagai muslihat supaya hasratnya tercapai.
ii. …seorang isteri yang menduakan suaminya…seorang wanita yang mudah tergoda dengan godaan…seorang wanita yang cantik
iii. …terlalu rindu akan belaian suaminya…telah jatuh cinta akan anak raja yang sangat kacak…tidak mempunyai pegangan agama yang kuat.
Posted by eranis at 11:44 PM 0 comments
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 6
SOALAN 6
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah didengar oleh saudagar itu, maka ia pun naik ke rumahnya. Maka dilihatnya bulu Bayan itu, berlambak di tanah. Maka kata saudagar, “Tiada Bayanku ini dimakan oleh kucing! Engkau juga membunuh dia, tidak juga dibunuh oleh orang, ini adalah hasil perbuatanmu yang jahat, maka Bayanku engkau bunuh! Hai bedebah, nyahlah engkau dari rumahku ini, tiada aku mahu memandang muka orang durjana ini!” Maka isteri saudagar itu pun turulah dari rumahnya, lalu ia pergi kepada kubur Tuan Syeikh. Maka di sanalah ia diamnya pada kubur itu. Sehari-hari minta doa hendak pulang kepada suaminya juga.
Adapun Bayan itu masuk ia diam di dalam saluran itu. Apabila orang membasuh beras itu dimakannya oleh Bayan itu hingga sampai panjanglah bulunya dan dapatlah ia terbang kepada kubur Tuan Syeikh itu. Maka isteri saudagar itu pun datanglah menyapu kubur itu. Maka perempuan itu pun minta doa kepada Allah Taala. “Ya Tuhanku, berkatilah oleh Allah engkau Syeikh, kembalikanlah aku kepada suamiku! Sudah letih benar tubuhku ini!” Maka kata Bayan,”Hai perempuan, sungguhkah engkau hendak balik kepada suamimu?” Setelah didengar oleh perempuan itu bunyi suara demikian itu, maka pada hatinya perempuan itu suara dari dalam kubur inilah. Maka kata perempuan itu, “Ya Tuhanku hambamu hendak kembali kepada suami hambamu kerana sangat hambamu dahaga, ya Tuhanku!” Maka kata bayan itu,”Bahawa pekerjaanmu berbuat khianat itu akan suamimu itu hendaklah segera engkau bertaubat, maka bertaubatlah engkau ke mari.” Maka kata perempuan itu,”Demi Allah bahawasanya sudahlah hambamu kerjakan seperti kata tuan hamba itu.” Maka kata Bayan itu, “Cukurlah rambutmu dahulu dan bulu keningmu sekali, maka aku mahu memulangkan engkau dengan suamimu,” Maka dikerjakan oeh perempuan itu seperti kata bayan itu.
(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i. Apakah maksud rangkai kata dikerjakan oeh perempuan itu? 2m
ii. Bagaimanakah reaksi saudagar apabila melihat bulu Bayan bertaburan di tanah? 3m
iii. Pada pendapat anda, mengapakah Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu keningnya? 3m
SKEMA
i. …perempuan itu mengikut arahan.
ii. …dia mengatakan bahawa Bayannya bukan dimakan kucing…dia mengatakan isterinya yang membunuh Bayan…dia menghalau isterinya keluar dari rumahnya
iii. …ingin membalas dendam terhadap isteri saudagar…supaya isteri saudagar kelihatan bodoh…supaya isteri saudagar berasa malu…supaya saudagar terus membenci isterinya.
Posted by eranis at 11:42 PM 0 comments
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 5
SOALAN 5
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Alkisah peri menyatakan cetera ketiga mengenai seorang suami yang sangat cemburu, maka kata Bayan,”Adalah kononnya suatu cetera mengenai seorang perempuan terlalu baik parasnya. Maka nikahlah ia dengan seorang laki-laki terlalu sangat cemburuannya. Selama ia duduk dengan isterinya itu, jangankan ia pergi berniaga, berjalan-jalan pun tidak ia, kerana tiada mahu meninggalkan isterinya itu.”
Hatta berapa lamanya maka harta yang dibawanya itu pun habis dimakannya. Maka kata si isteri kepada suaminya, “Hai tuan hamba,betapa hal kita ini?” Maka sahut lakinya,”Tiadalah aku mahu bercerai dengan tuan hamba kerana aku tiada percaya akan dikau, kalau-kalau peninggalan aku, engkau berbuat jahat!”
Setelah isterinya mendengar kata suaminya itu, maka perempuan itu pun tersenyum seraya katanya, “Patutlah maka tuan hamba tiada mahu belayar mencari makan. Tidakkah tuan mendengar suatu hikayat?” Maka kata suaminya,”Betapakah hikayat itu, ceterakan olehmu supaya aku dengar.” Maka kata isterinya,”Ada seorang laki-laki berbagai-bagai ia diperbuat oleh isterinya tiada juga ia marah, dan perempuan itu pun hairanlah melihatkan hal suaminya itu.”
Syahadan adalah pada suatu hari maka fikirlah perempuan itu,”Bahawa banyak benci juga rupanya suami aku ini akan aku, maka demikian ini lakunya, tetapi baik juga aku cuba juga dahului.” Setelah sudah ia berfikir itu maka dipanggilnya seorang perempuan, daripada kejahatannya, maka diberinya memakai cara laki-laki, lalu dibawanya naik ke rumahnya, lalu di hadapan suaminya, itu pun tiada juga ia berkata-kata akan isterinya.
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i. Apakah maksud rangkai kata diberinya memakai cara laki-laki? 2m
ii. Mengapakah lelaki itu tidak mahu berpisah dengan isterinya? 3m
iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mewujudkan keharmonian dalam hidup pasangan suami isteri? 3m
SKEMA
i. …iaitu berpakaian seperti lelaki.
ii. …kerana dia tidak percaya akan isterinya…dia bimbang sepanjang peninggalannya, isterinya akan berbuat jahat…dia terlalu sayang akan isterinya
iii. …pasangan suami isteri mesti saling mempercayai antara satu sama lain…pasangan suami isteri juga mesti saling menghormati antara satu sama lain…pasangan suami isteri seharusnya menghadapi susah senang bersama…pasangan suami isteri mesti bertolak ansur antara satu sama lain.
Posted by eranis at 11:39 PM 0 comments
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 4
Soalan 4
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Syahadan telah hari malam waktu pun sunyi orang tidur, maka isteri Khoja Maimun pun memakai pakaian yang indah-indah dan memakai bau-bauan yang amat harumnya. Maka ia pun datanglah kepada Bayan. Kata Bayan,”Tuan hamba ini tahu akan dirinya orang yang duduk bertafakur, wahai Bibi Zainab!” Maka ia pun datang kepada Bayan seraya katanya,”Hai unggas yang bijaksana lagi budiman, beri apalah aku ini jalan supaya aku pergi mendapat habibiku itu!” Maka sahut Bayan,”Belumkah tuan hamba bertemu laki-laki itu?” “Belum!” kata Bibi Zainab, “Pada malam inilah!” Maka kata Bayan, “Terlalu sangat bebalnya tuan ini maka tiada mahu bertemu dengan anak raja itu. Pada bicara hamba baik juga tuan segera pergi. Janganlah tuan takut, tiada akan tuan ini beroleh malu, insya-Allah hamba bicarakan dia. Janganlah syak hati. Tiadakah tuan mendengar hikayat seorang perempuan bijaksana, tetapi suaminya terlalu amat cemburuan, daripada sangat arifnya serta tahu ia memikirkan dirinya itu berapa-berapa harta orang diperdaya olehnya?” Maka kata Bibi Zainab, “Betapa hikayatnya itu ceterakanlah olehmu ini supaya aku dengar?” Maka sahut Bayan,”Tiadalah hamba mahu berhikayat akan dia, seolah-olah hamba menangguhkan tuan dengan hikayat ini menjadi durjanalah hamba kepada tuan”. Maka kata isteri Khoja Maimun,”Hai handaiku Bayan, tiadakah engkau kasihkan aku?” Setelah Bayan mendengar kata isteri Khoja Maimun ia pun berhikayatlah.
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i. Apakah tujuan Bibi Zainab memakai pakaian yang indah dan bau-bauan? 2m
ii. Nyatakan dua sebab Bayan enggan bercerita tentang hikayat perempuan bijaksana kepada Bibi Zainab. 2m
iii. Pada pendapat anda, mengapakah Bayan seolah-olah menggalakkan Bibi Zainab pergi menemui anak raja? 4m
SKEMA
i. …Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja.
ii. …tidak mahu seolah-olah menangguhkan Bibi Zainab untuk bertemu dengan anak raja…bimbang tindakannya itu akan menyusahkan Bibi Zainab.
iii. …Bayan tahu bahawa Bibi Zainab ingin sangat bersua dengan anak raja itu, jadi dia tidak akan berjaya menghalangnya…Bayan menggalakkan Bibi Zainab bertemu dengan anak raja itu sebagai helah sahaja…di samping menggalakkan Bibi Zainab pergi, Bayan mengemukakan tajuk cerita dan Bibi Zainab tidak jadi pergi kerana gemar mendengar cerita…supaya Bibi Zainab tidak mengesyaki tujuannya bercerita.
Posted by eranis at 11:37 PM 0 comments
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 3
Soalan 3
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta berapa lamanya Khoja Maimun belayar itu, maka datanglah cubaan Allah Taala atas hambanya, dengan demikian dicetera akan orang yang empunya cetera ini. Selama peninggalan Khoja Maimun belayar itu,sebermula ada pada suatu hari maka Bibi Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap mahligainya berangan-angan serta memandang pada jalan seraya itu maka pada ketika itu terpandanglah kepada anak raja di dalam negeri itu lalu berkuda hampir dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun memandang ke bawah, maka terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi Zainab terlalu elok rupanya anak raja itu. Sebermula anak raja pun memandang kepada isteri Khoja Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu dibawanya tersenyum oleh anak raja itu. Dengan takdir Allah Taala maka anak raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah hatinya akan anak raja itu.
Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu,”Hai ibuku, pergi sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!” Setelah didengar oleh orang tua itu maka segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja Maimun.
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, hal.72 – 74,Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i. Apakah maksud tersangkutlah hatinya? 2m
ii. Tuliskan peristiwa pertemuan pertama Bibi Zainab dengan anak raja. 3m
iii. Sekiranya anda Bibi Zainab, apakah yang anda lakukan untuk menghilangkan kesunyian? 3m
SKEMA
i. …jatuh cinta
ii. …Bini Zainab kesunyian lalu duduk di tepi tingkap, memerhatikan keadaan keliling sambil berangan-angan…Seorang anak raja sedang menunggang kuda lalu di hadapan mahligai Bibi Zainab…Bibi Zainab dan anak raja berpandangan lalu mereka tersenyum
iii. …mengaji al-Quran supaya dapat mententeramkan hati dan mendoakan suami selamat…Melakukan aktiviti riadah seperti berkelah, bersukan, dan lain-lain…Membuat kerja-kerja kebajikan seperti berkhidmat di rumah orang tua-tua supaya tidak berasa sunyi
Posted by eranis at 11:33 PM 0 comments
Hikayat Khoja Maimun - Soalan 2
Soalan 2
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah Bayah mendengar kata Khoja Maimun itu lalu ia pun fikir seketika di dalam hatinya. “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia berfikir itu maka ujarnya,”Hai Siti yang mulia yang amat elok paras, jikalau demikian baiklah tuan segera mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya! Tuan pun sangat bebal oleh bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian hamba ini haraplah tuan yang kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di atas hamba membaikkan dia. Jikalau datang pun tuan yang laki-laki tiada mengapa. Baiklah tuan segera pergi! Kalau-kalau sudah tiba anak raja itu menanti tuan daripada hamba pun sangat hendak berbual, murkalah ia dengan tuan kelaknya. Apakah yang dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan kejayaan? Tiada adalah yang lebih baik kepada martabat raja atau anak raja itu dengan tetapi dengan ikhtiar juga maka sempurna adanya. Baiklah tuan segera pergi mendapatkan anak raja itu tetapi dengan ikhtiar juga. Akan hamba ini adalah seperti hikayat cetera seekor Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Demikian adanya!”
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja)
i. Berikan maksud rangkai kata aku perlalaikan juga akan dikau. 2m
ii. Apakah helah yang dilakukan oleh burung Bayan agar dia tidak menerima nasib seperti burung tiung? 3m
iii. Sekiranya seorang rakan anda terjebak dalam kegiatan maksiat, apakah tindakan anda untuk menghalangnya daripada melakukan perbuatan tersebut? 3m
SKEMA
i. …saya akan melekakan kamu
ii. …menyuruh isteri Khoja Maimun segera menemui anak raja…berjanji akan menyimpan rahsia pertemuan isteri Khoja Maimun dengan anak raja daripada pengetahuan Khoja Maimun…mempengaruhi isteri Khoja Maimun dengan mengumpamakan dirinya seperti kisah seekor bayah yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar.
iii. menasihatinya supaya tidak melakukan kesalahan tersebut lagi…mengajaknya untuk melakukan perkara lain yang berfaedah…membawanya bertemu dengan guru atau kaunselor untuk memberikan nasihat kepadanya…memberitahu kesalahannya kepada keluarganya.
Posted by eranis at 11:30 PM 0 comments