BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, April 7, 2010

Komsas cerpen Ibu dan. Ceper -Latihan 2

SOALAN 2

Ibu tidak lagi cergas pada waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang. Tetapi apabila saja tiba waktu subuh, ibu sudah bangun dan bersedia apa saja ujian atau cabaran pada siang hari.
Sekali itu Ceper tba-tiba mengamuk macam naik angin. Hujan turun di hulu tidak henti-henti dan airnya keruh macam air susu. Habis sampah sarap dipungah bersama, menumbangkan pokok-pokok yang tegak di tepe-tepi tebingnya, memuntahkan tanah hingga terkobak rata-rata.
Airnya yang keruh likat itu terhimbau naik ke sawah-sawah yang sedang membunting sarat padinya. Pokok-pokok padi habis tenggelam dan mati begitu saja. Sudahlah sampah sarap yang diangkut bersama, bangkai-bangkai binatang pun banyak yang terlekat di tiang-tiang rumah kami.
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga. Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpahnyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas. Ibu menjerit pada bapa yang sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak ketitir.
Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat-bulat pada ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
“ Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”.
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing

( Antologi Harga Remaja,halaman 102)

i)Mengapakah ibu ”aku” benar-benar marah kepada bapanya selepas air Ceper bah?
( 3 markah)

ii) Pada pendapat anda,wajarkah ibu ”aku” menjerit dan memarahi ayah ”aku”? Berikan tiga alasan anda. ( 3 markah )


















SKEMA JAWAPAN

i)
 Bapa aku masih lagi sibuk berdenak ketitir
 Padi di sawah sudah ditenggelami air
 Membiarkan ibu “aku” sendirian menyelamatkan padi yang ternggelam.

ii)
 Ya, bapa “aku” tidak mengendahkan masalah besar yang menimpa tanaman padi mereka.
 Bapa aku tidak menjalakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
 Bapa ”aku” lebih mengutamakan hobinya berdenak ketitir daripada menyelesaikan masalah tanaman padi yang ditenggelami air.

Komsas cerpen Ibu dan. ceper - latihan 1

SOALAN 1

Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga. Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas. Ibu menjerit pada bapa yang sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak ketitir.
Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat-bulat pada ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
“ Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”.
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya ke paku conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa juga. Himbauan air Ceper kuat sangat sehingga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
Ceper terus menggila dan mengamuk juga sehingga seluruh anak buah kampung kami menjadi papa kedana tahun itu. Bapa kemudian kembali kepada ketitir juga, tetapi setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa pulang membawa gadung seguni dua. Tahun itu kami makan gadung itulah kerana padi habis jahanam kerana Sungai Ceper betul-betul mengamuk.

( Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Ibu dan Ceper oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja,hal.102-103, Dewan Bahasa dan Pustaka.)

i) Berdasarkan petikan di atas, mengapakah ibu marah-marah? ( 3 markah)

ii) Pada pendapat anda, mengapakah berlakunya pencemaran sungai di Malaysia
( 3 markah)

iii) Nyatakan tema dan dua persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
( 3 markah)
















SKEMA JAWAPAN

i) Ibu marah-marah kerana
 banjir yang berlaku di Sungai Ceper telah memusnahkan tanaman padinya.
 bapa berseronok menjerat burung ketitir di puncak bukit.
 bapa tidak membantunya membuat kerja-kerja rumah dan menguruskan hal keluarga.



ii) Pencemaran sungai berlaku di Malaysia kerana

 Penduduk tempatan membuang air kumbahan, najis dan sampah sarap ke dalam sungai.
 Kilang-kilang membuang sisa-sisa toksik dan bahan-bahan buangan industri ke dalam sungai.
 Pembalakan menyebabkan permukaan tanah gondol dan sungai berkeladak.

iii) Tema cerpen ialah kepentingan sungai kepada manusia. Sugai boleh mendatangkan kebaikan dan musibah kepada penduduk di sekitarnya. Contohnya, Sungai Ceper membekalkan air untuk minuman,mencuci pakaian, pertanian dan membekalkan ikan. Sungguhpun begitu apabila kerja-kerja memulihara sungai tidak dijalankan, maka berlakulah banjir. Dalam musim kemarau, sungai akan kering. Apabila sungai kering,ikan-ikan akan mati.

Persoalan yang terdapat dalam cerpen ialah:
 Pengorbanan isteri dalam keluarga dan suami tidak bertanggungjawab. Ibu bertungkus lumus menanam padi untuk menyara keluarga. Contohnya ibu membuang sampah sarap dan bangkai-bangkai binatang yang tersangkut pada batang padi apabila berlaku banjir tetapi bapa berseronok memikat burung di dalam hutan. Akibat terlalu banyak bekerja, ibu menghidap penyakit lumpuh.
 Penderitaan hidup golongan petani. Sungguhpun ibu berpenat-lelah menanam padi di bendang tetapi kerana ibu bekerja dengan menggunakan tulang empat kerat bukan menggunakan peralatan moden.

Saturday, April 3, 2010

Rumusan penyakit kronik - pendermaan organ

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang sebab-sebab masyarakat kurang menderma organ dan peranan media massa mengatasi masalah ini. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masyarakat kita tidak terdedah kepada perlunya menderma organ untuk orang lain yang memerlukan. Sebab itulah keinginan menderma organ tidak berputik dalam diri kita kerana kita tidak pernah dididik untukmenyumbangkan sebahagian daripada anggota tubuh kita apabila kita sudah meninggal dunia. Pendermaan organ dianggap mencederakan tubuh badan walaupun nyawa kita sudah tiada. Ketabahan hati remaja baharu baru berusia 14 tahun mengharungi liku-liku hidup sebagai pesakit jantung, telah menyentuh hati orang ramai. Hanya empat hari paparan kisahnya menjadi wadah media, Tee Hui Yee menerima perkhabaran gembira apabila keluarga seorang remaja Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan, Perak membenarkan jantung anaknya didermakan kepada Tee Hui Yee untuk meneruskan hidup.

Namun takdir Tuhan mengatasi segala-galanya, Tee Hui Yee sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam apabila badannya menolak jantung sebelum itu. Mujur, dalam tempoh itu ada seorang lagi rakyat Malaysia budiman sanggup mendermakan jantung anaknya berusia 20 tahun yang meninggal akibat kemalangan dari Johor Bahru, kepada Tee Hui Yee. Kisah Tee Hui Yee ialah cebisan kisah gembira di sebalik lautan duka bagi pesakit yang menunggu ihsan orang ramai untuk menderma organ. Menteri Kesihatan turut melahirkan perasaan kesal kerana walaupun banyak kemalangan maut setiap tahun, jumlah organ yang diselamatkan untuk didermakan terlalu sedikit berikutan bantahan keluarga yang enggan mendermakan organ mangsa.

Namun, kebanyakannya tidak dapat didermakan berikutan sikap keluarga merasakan menderma organ bertentangan dengan agama. Sememangnya memperkatakan tentang pendermaan organ bukanlah satu perkara yang mudah di negara ini. Hal ini demikian kerana kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan pendermaan organ masih lagi rendah walaupun sebenarnya ialah satu isu global. Polemik bahawa mayat itu akan terseksa dan tidak lengkap untuk kembali menghadap Tuhan jika organ mereka diambil seharusnya tidak berlaku. Salah faham tentang penderman organ ini juga wujud berikutan kebimbangan orang ramai bahawa doktor akan sambil lewa untuk menyelamatkan nyawa mereka kerana lebih berminat untuk mengambil organ mereka.

Hakikatnya, proses pendermaan organ tidak berlaku dengan mudah. Sebenarnya menderma organ masih lagi asing dalam masyarakat kita. Ramai yang tidak mahu menderma kerana merasakan takut mati cepat akibat terkena sumpahan. Semua ini kepercayaan yang karut. Kita akui, masyarakat tidak boleh dipaksa untuk menderma organ, namun kesedaran mungkin dapat mengubah mentaliti masyarakat yang seakan-akan terlalu takut menerima konsep ini. Kita berharap kes Tee Hui Yee menjadi titik permulaan untuk pendermaan organ terus subur di negara ini. Kerajaan terutama Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan kempen promosi dan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ. Bagi pihak yang menjaga hal ehwal agama Islam sama ada agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil dengan lebih agresif memberikan pendidikan kepada umat Islam bahawa pendermaan organ tidak melanggar syariat Islam sebaliknya harus dilakukan seperti yang digalakkan sendiri dalam agama supaya kita melakukan kebajikan demi kesejahteraan manusia.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Ubah Mentaliti Takut Derma Organ” oleh Sazarina Shahrin, dalam Berita Harian, 8 Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata menjadi titik permulaan. 2m
2. Apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan lebih ramai masyarakat kita menderma organ? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah kempen yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan tentang kepentingan menderma organ selama ini tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan? 4m













SKEMA JAWAPAN
Petikan membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat kita kurang menderma organ
Isi tersurat : Faktor-faktor
S1: Masyarakat kita tidak terdedah kepada perlunya menderma organ untuk orang lain yang memerlukan.
S2: Tidak pernah dididik untuk menyumbangkan sebahagian daripada anggota tubuh kita apabila kita sudah meninggal dunia
S3: Mencederakan tubuh badan walaupun nyawa kita sudah tiada
S4: Bantahan keluarga yang enggan mendermakan organ mangsa
S5: Sikap keluarga merasakan menderma organ bertentangan dengan agama
S6: Kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan pendermaan organ masih lagi rendah
S7: Mayat akan terseksa dan tidak lengkap untuk kembali menghadap Tuhan jika organ mereka diambil
S8: Kebimbangan orang ramai bahawa doktor akan sambil lewa untuk menyelamatkan nyawa
S9: Menderma organ masih lagi asing dalam masyarakat kita
S10: Tidak mahu menderma kerana merasakan takut mati cepat
Isi tersirat: Peranan media massa
T1: Media massa sering memaparkan orang yang memerlukan derma organ
T2: Paparan rencana akan kepentingan menderma organ selepas meninggal dunia
T3: Menangkis tanggapan negatif masyarakat yang tidak mahu menderma organ
T4: Bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan mengadakan kempen untuk menggalakkan masyarakat menderma organ
Kesimpulan: Kita hendaklah rela hati membuat perisytiharan untuk menderma organ tubuh kita apabila kita meninggal dunia agar dapat membantu orang lain meneruskan kehidupan
Soalan pemahaman
1. …Langkah pertama sebelum langkah yang berikutnya
2. …kesedaran mungkin dapat mengubah mentaliti masyarakat yang seakan-akan terlalu takut menerima konsep ini…Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan kempen promosi dan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ… Bagi pihak yang menjaga hal ehwal agama Islam sama ada agensi kerajaan mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil dengan lebih agresif memberi pendidikan kepada umat Islam bahawa pendermaan organ tidak melanggar syariat Islam.
3. …masyarakat kita kurang memberikan perhatian terhadap kempen-kempen yang dianjurkan oleh kerajaan…Kempen terlalu umum sehinggakan tidak berjaya mewujudkan kesedaran dalam jiwa orang ramai…Kempen hanya mengikut musim menyebabkan kewujudan kempen kurang disedari oleh masyarakat…Kempen hanya pemaparan menerusi media tanpa melibatkan sekolah dan agensi-agensi yang dekat dengan orang ramai.

Friday, April 2, 2010

Rumusan penyakit kronik - penggunaan ubat dalam kalangan warga tua

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang kesan penggunaan ubat terhadap warga tua dan langkah-langkah mengatasinya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Golongan warga tua sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, lemah jantung, dan sebagainya. Untuk mengubati penyakit ini, sesetengah daripada mereka mengambil antara tiga hingga lapan jenis ubat. Ubat berkenaan terpaksa dimakan sepanjang hayat. Keadaan ini mendedahkan warga tua pada kemudaratan jangka panjang ubat-ubatan yang digunakan.

Sesetengah daripada golongan ini mengambil produk farmaseutikal tambahan seperti vitamin dan mineral atau produk nutraseutikal dan tradisional untuk mencegah penyakit dan mengekalkan kesihatan. Penyalahgunaan produk tersebut akan membawa implikasi kepada negara dari segi kos penjagaan kesihatan yang tinggi kepada golongan ini. Namun begitu, hal ini merupakan fenomena global terutamanya di negara maju dan negara membangun. Tumpuan sektor farmaseutikal adalah untuk mencari dan mengusahakan penawar bagi mengubati penyakit-penyakit kronik. Oleh itu, banyak ubat baru dan inovatif yang telah dibangunkan. Hasilnya, kematian akibat daripada penyakit kronik dapat dikurangkan. Hal ini bukan bermaksud bahawa kita boleh menentang takdir kerana jika sudah tiba ajal maka mereka akan meninggal dunia juga. Pihak berkenaan hanya berikhtiar untuk membantu warga tua menjalani kehidupan dalam keadaan yang lebih selesa. Perkara yang menimbulkan simpati kita kepada golongan ini apabila warga tua sakit dan berlaku pengambilan ubat yang salah hingga menyebabkan mereka terlantar dan pergerakan mereka untuk melakukan aktiviti harian menjadi terhad.

Walaupun kita tidak dapat menolak hakikat bahawa warga tua berdepan dengan proses penuaan yang menyebabkan seseorang itu menjadi tua dari segi umur malah melibatkan proses perubahan fisiologi, fizikal, emosi, mental, dan sosial, namun semua faktor ini akan mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan golongan tua. Proses penuaan menjadikan fungsi sistem-sistem organ dalam badan berkurang apabila umur kian meningkat. kesemua faktor ini menjelaskan punca warga tua terpaksa bergantung pada pengambilan pelbagai jenis ubat. Sekalipun ubat yang diambil oleh warga tua sama seperti yang diambil oleh orang muda, tetapi kesannya berbeza kerana fungsi sistem organ semakin berkurang apabila seseorang itu semakin tua. Jika sisa ubat yang diambil itu tidak boleh dibuang dengan berkesan dan dibiarkan tinggal lama di dalam badan, maka ubat-ubatan itu akan memberikan kesan dos yang berlebihan. Umpamanya, warga tua yang mengambil ubat untuk mengawal fungsi jantung atau peredaran darah akan terdedah pada penyakit angin ahmar (strok) atau serangan jantung.

Warga tua ialah subpopulasi masyarakat yang perlu diberi perhatian khusus oleh setiap lapisan masyarakat, pakar kesihatan, keluarga, kerajaan, dan masyarakat umum. Mereka mengalami penyakit kronik dan mengambil pelbagai jenis ubat dan terdedah pada bermacam-macam bahaya.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana “Warga Tua Perlu Waspada Terhadap Ubat” oleh Dr. Mohammad Izham Mohamed Ibrahim, Dewan Kosmik, Mac. 2002)

1. Berikan maksud rangkai kata merupakan fenomena global. 2m
2. Mengapakah warga tua mengalami kesan ubat yang diambil berbanding dengan orang muda? 3m
3. Pada pandangan anda, apakah punca-punca penyakit kronik yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? 4m















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan implikasi ubat-ubatan yang digunakan
Isi tersurat: Kesan
S1: Warga tua terdedah pada mudarat jangka panjang ubat-ubatan yang digunakan
S2: Penyalahgunaan ubat membawa implikasi kepada negara dari segi kos penjagaan kesihatan yang tinggi bagi warga tua
S3: Kematian warga tua yang berpunca daripada penyakit kronik dapat dikurangkan
S4: Pengambilan ubat yang salah menyebabkan mereka terlantar dan terhad untuk melakukan aktiviti harian.
S5: Sisa ubat yang diambil dan dibiarkan lama-lama di dalam badan akan memberikan kesan dos yang berlebihan
S6: Mereka terdedah pada pelbagai ancaman
Isi Tersirat: Langkah
T1; Warga tua mengambil ubat yang betul-betul diperlukan sahaja
T2: Warga tua mengamalkan diet yang seimbang untuk mengelakkan pengambilan ubat yang terlalu banyak
T3: Warga tua mengamalkan senaman yang sesuai dengan peringkat umur mereka
T4: Warga tua beralih menggunakan ubat tradisional sebagai alternatif kepada ubat moden.
Kesimpulan: Pakar perubatan wajar prihatin terhadap warga tua agar mereka tidak terus bergantung hidup pada ubat sahaja
Soalan pemahaman:
1. …menjadi hal atau perkara yang berlaku di seluruh dunia
2. …fungsi sistem organ semakin berkurang/ menjadi lemah apabila tua…sisa ubat tertinggal dalam jangka masa yang lama di dalam badan…ubat-ubat itu meninggalkan kesan dos yang berlebihan
3. …Gaya hidup moden yang lebih mengutamakan makanan segera… kurang melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh…sejarah keluarga… pengambilan makanan yang tidak seimbang

Rumusan penyakit kronik - kencing manis

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penyakit kencing manis dan cara-cara untuk mengelakkannya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Insulin ialah sejenis hormon yang dikeluarkan oleh organ pankreas yang terletak di belakang perut. Di dalam perut makanan yang dimakan akan ditukarkan menjadi glukosa, kemudian diserap ke dalam saluran darah untuk digunakan dalam badan bagi menghasilkan tenaga. Bagi orang yang normal, insulin membantu glukosa darah memasuki sel badan dan menukarnya menjadi tenaga. Penyakit kencing manis berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya menyebabkan glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel badan. Keadaan ini akan menyebabkan segalanya terkumpul dalam darah menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing. Hal ini sering kali terjadi kepada mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan lantaran lemak yang menghalang proses tersebut daripada berlaku.

Perlu disedari bahawa manusia amat perlu melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Peluh yang keluar daripada badan akan membantu peredaran darah yang sempurna. Bersenam atau apa-apa sahaja aktiviti fizikal turut menyingkirkan toksin daripada badan. Jika aktiviti ini tidak dilakukan, risiko untuk mendapat penyakit kencing manis sememangnya tinggi.

Terdapat dua jenis penyakit kencing manis, iaitu yang bergantung kepada insulin dan yang tidak bergantung kepada insulin. kedua-dua jenis ini amat memudaratkan kesihatan kita. Ramai daripada kita mempunyai tabiat makan yang buruk, iaitu mengambil makanan yang tidak seimbang untuk keperluan tubuh malah ada pula yang makan dalam kuantiti yang banak dan berulang-ulang. Keadaan ini sedikit demi sedikit akan mengundang bala yang tidak dijangkakan.

Selain itu, makanan yang tinggi lemak dan karbohidrat serta kurang serat turut meningkatkan risiko terhadap penyakit kencing manis. Nasi lemak, kari, roti canai sepatutnya tidak menjadi amalan harian kerana kandungan lemak dan karbohidrat yang tinggi. Malangnya, berapa ramaikah antara kita yang akan berfikir tentang piramid makanan sebelum mereka makan? Ramai juga daripada kita yang tidak menyedari bahawa kita sepatutnya tahu akan sejarah penyakit dalam keluarga supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan. Sebagai contoh, jika ada keluarga sama ada ibu atau bapa, datuk atau nenek dan sebagainya yang menghidap kencing manis,tidak mustahil anak-anak mereka akan mewarisi penyakit ini. Tegasnya, sejarah keluarga yang menghidap kencing manis turut menjadi punca kita mendapat penyakit yang sama. Adalah penting bagi kita mempunyai pengetahuan tentang penyakit ini supaya kita dapat bertindak pantas jika ada gejala-gejala tertentu yang memungkinkan kita menghidap penyakit berbahaya ini seperti sentiasa berasa dahaga, kerap membuang air kecil atau berasa letih dan lesu. Kita juga haruslah peka sekiranya ada antara ahli keluarga yang mengalami luka atau kudis yang lambat sembuh. Hal ini amat penting kerana gejala-gejala ini memberi isyarat bahawa penyakit kencing manis sudah mula menyerang sistem badan kita.

Penyakit kencing manis tidak mengira umur kerana ada pesakit yang menghidap penyakit ini sejak mereka kecil lagi. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa semakin meningkat umur seseorang semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit apatah lagi jika aspek kesihatan khususnya pemakanan tidak dijaga. Amatlah beruntung bagi mereka yang sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan cara hidup yang sihat kerana hidup seakan tidak bermakna jika penyakit membelenggu hidup kita.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana ‘Diabetes’ BTDM Bil.124/Jan 2004)

1. Berikan maksud rangkai kata mengundang bala yang tidak dijangkakan. 2m
2. Apakah tanda-tanda awal penyakit kencing manis? 4m
3. Penghidap kencing manis sering kali berasa hidup sudah tidak bermakna lagi. Berikan nasihat anda kepada mereka. 3m














SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan penyakit kencing manis
Isi tersurat: Punca-punca
S1: Mereka mempunyai berat badan berlebihan
S2: Tidak melakukan senaman
S3: Mempunyai tabiat makan yang buruk, iaitu makanan tidak seimbang
S4: Mengambil makanan yang tinggi kadar lemak dan karbohidrat serta kurang serat
S5: Sejarah keluarga yang menghidap kencing manis
S6: Umur yang semakin meningkat, risiko kencing manis juga tinggi
Isi tersirat: langkah mengatasi
T1; Pemeriksaan berkala
T2: Mendapatkan khidmat nasihat pakar pemakanan atau sumber rujuk yang lain
T3: Kurangkan pengambilan gula dalam makanan atau minuman
Kesimpulan; Kita perlu menjaga kesihatan diri supaya dapat menikmati hidup yang sihat dan bahagia.

Soalan pemahaman
1. …mendapat kesusahan/penyakit yang tidak diduga
2. …sentiasa merasa dahaga…kerap membuang air kecil…berasa letih atau lesu…luka yang lambat sembuh
3. …bersabar menempuh dugaan hidup…terus mengikut nasihat doktor…berpandangan positif terhadap masa depan

Rumusan penyakit kronik - kanser

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penyakit kanser dan cara-cara untuk mengelakkannya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Penyakit kanser merupakan antara penyakit berbahaya yang mengancam nyawa manusia di dunia pada masa ini. Secara umumnya, peningkatan bilangan penghidap kanser seiring dengan proses urbanisasi, amalan gaya hidup, serta peningkatan bilangan warga tua. Oleh sebab itu, pastinya angka ini akan terus bertambah saban tahun jika tiada langkah pencegahan diambil untuk menanganinya. Sebenarnya penyakit kanser dikatakan berpunca daripada berlakunya perubahan genetik pada sel tubuh. Sel yang mengalami perubahan genetik ini membiak secara tidak terkawal dan bilangannya akan meningkat dengan cepat. Apabila sampai ke suatu peringkat, sel kanser ini akan merebak ke pelbagai anggota tubuh melalui aliran darah ataupun cecair badan yang lain.

Namun demikian, sehingga hari ini pakar perubatan masih belum dapat membuktikan penyebab kepada kejadian kanser dengan jelas. Namun, banyak penyelidik berpendapat bahawa terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi puncanya. Antara faktor tersebut ialah faktor keturunan, iaitu penyebab kepada risiko utama mendapat kanser. Hal ini dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan yang mendapati bahawa perubahan genetik yang berlaku pada sel kanser turut dikesan berlaku pada individu yang mempunyai pertalian keluarga terutamanya seperti ibu, bapa,anak, atau adik-beradik. Jadi, faktor keturunan ini merupakan perkara yang berlaku di luar kawalan manusia dan sukar dielak.

Selain itu, perubahan corak hidup pada masa ini diyakini turut menjadi pendorong kepada peningkatan kes penghidap kanser.Faktor lain seperti tabiat merokok dipercayai akan meningkatkan risiko untuk mendapat kanser paru-paru, perut, dan pundi kencing. Jika dahulu kanser paru-paru sering dikaitkan dengan kaum lelaki, tetapi sekarang bilangan wanita yang menghidap kanser paru-paru juga semakin meningkat. Hal ini terjadi ekoran peningkatan bilangan wanita yang merokok pada masa ini. Tambahan pula, ada wanita yang bersuamikan penghisap rokok tegar yang tidak dapat mengelakkan asap rokok suaminya itu setiap hari.

Faktor tabiat pengambilan makanan yang tidak seimbang turut menjadi punca penyakit ini. Penyelidik mendapati bahawa pengambilan makanan yang berlemak dan mempunyai kandungan bahan pengawet dan pewarna yang tinggi secara berlebihan juga menjadi punca terhadap penyakit ini. Di samping itu, orang yang kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan serta kurang senaman tutrut meningkatkan risiko untuk mendapat kanser. Sementara itu, kanser pangkal rahim pula sering berlaku kepada mereka yang memulakan hubungan seksual pada usia muda dan sering bertukar-tukar pasangan, serta mengamalkan seks bebas.
(Kanser Pembunuh Senyap-Dewan Masyarakat Jan 2006)



SKEMA JAWAPAN:

P: Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan penyakit kanser berlaku dalam kalangan masyarakat

Isi tersurat: Punca-punca

S1: Berlaku perubahan genetik pada sel tubuh.

S2: Faktor keturunan menyumbang risiko utama mendapat kanser

S3: Perubahan genetik yang berlaku pada sel kanser dikesan berlaku pada individu yang mempunyai pertalian keluarga

S4: Perubahan corak hidup diyakini turut mendorong peningkatan penyakit kanser.

S5: Merokok antara aktiviti yang berisiko tinggi untuk mendapat kanser

S6: Pengambilan makanan yang berlemak dan mempunyai kandungan bahan pengawet dan pewarna yang tinggi secara berlebihan turut menjadi punca kanser.

Isi tersirat:Langkah pencegahan

T1: Pengambilan makanan yang seimbang dalam diet seharian

T2: Mengelakkan amalan merokok

T3: Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu

Kesimpulan: Penyakit kanser perlu dicegah agar dapat mengurangkan jumlah kematian akibat penyakit ini.

Rumusan penyakit kronik - Diabetes

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang punca diabetes dalam kalangan kanak-kanak dan cara mengatasinya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apabila anak semakin membesar dan mencapai usia baligh, mereka akan berdepan dengan krisis pemakanan. Banyak kanak-kanak yang terdedah kepada risiko penyakit diabetes terutama kanak-kanak yang tidak mampu mengawal pemakanan mereka. Diabetes atau kencing manis sudah terlalu kerap diuar-uarkan di media massa. Namun, tidak banyak ibu bapa yang mengambil berat terhadap bahaya penyakit ini terhadap anak-anak mereka. Ramai yang bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”. Mereka tidak mengamalkan sikap mencegah penyakit sebaliknya memilih mengubatinya apabila sudah terkena penyakit.

Gaya pemakanan menjadi punca utama diabetes. Kegemaran banyak makan makanan manis seperti coklat dan minuman berkabonat boleh menyumbang kepada diabetes. Rakan sebaya sering dikatakan memberi kesan besar kepada cara pemakanan kanak-kanak. Kebiasaan minum di warung terutamanya pada waktu petang atau malam boleh menyumbang kepada diabetes. Ibu bapa juga turut menjadi penyumbang kepada masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak apabila sering membiarkan anak-anak mereka makan terlalu banyak makanan manis dan berlemak. Corak pemakanan keluarga dan menu makanan harian yang disediakan oleh ibu boleh mempengaruhi kebiasaan pengambilan makanan anak-anak. Apabila paras gula dalam tubuh semakin meningkat kanak-kanak akan terdedah kepada serangan penyakit jantung, strok, rosak penglihatan atau masalah buah pinggang.

Masyarakat di negara ini amat gemar akan makanan manis. Mereka memandang ringan tentang penyakit ini dan kesannya menyebabkan Malaysia menjadi negara keempat tertinggi di Asia yang mempunyai pengidap penyakit terbabit. Diabetes dalam kalangan orang dewasa sudah dianggap biasa dan tidak dianggap kronik. Namun, bagaimana pula jika kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada penyakit tersebut? Penyakit diabetes hanya dapat disedari apabila kanak-kanak terkena penyakit jantung, strok, dan sebagainya yang berpunca daripada lebihan gula dalam darah.

Faktor genetik juga boleh menjadi penyebab penyakit ini. Namun, peratusannya agak rendah berbanding dengan cara pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat disamping kegemukan. Gaya hidup kanak-kanak masa kini agak membimbangkan apabila semakin ramai yang tidak mengamalkan senaman pada masa lapang, sebaliknya mereka banyak menghabiskan masa di hadapan komputer atau di kafe siber. Apabila kanak-kanak malas bersukan dan tidak mengeluarkan peluh, mereka tidak dapat mengurangkan kandungan gula dan lemak dalam badan. Jika langkah berkesan tidak diambil untuk menanganinya, masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak akan semakin meningkat.
( Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Awasi Diabetes Kanak-kanak”, Berita Minggu , Januari 2006)



SOALAN:

1. Berikan maksud peribahasa sudah terhantuk baru tengadah. (2m)
2. Bagaimanakah cara pemakanan yang boleh mengakibatkan diabetes? (3m)
3. “Diabetes dalam kalangan orang dewasa tidak dianggap kronik”. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? (4m)


SKEMA JAWAPAN:

Petikan membincangkan masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak

Isi tersurat: Punca diabetes

S1: Gaya pemakanan menjadi punca utama diabetes

S2: Rakan sebaya sering dikatakan memberi kesan besar kepada cara pemakanan kanak-kanak

S3: Ibu bapa juga turut menjadi penyumbang kepada masalah diabetes

S4: Faktor genetik dan gaya hidup kanak-kanak masa kini juga boleh menjadi penyebab penyakit ini.

Isi tersirat: Cara mengatasi

T1: Ibu bapa perlu mengawasi diet anak mereka

T2: Kanak-kanak perlu diberi kesedaran lebih awal tentang penyakit tersebut

T3: Peranan media massa menyiarkan iklan-iklan tentang bahaya diabetes

T4: Peranan pihak sekolah menyediakan makanan berkhasiat di kantin dan mengadakan program kesihatan untuk pelajar.

Kesimpulan

Semua pihak perlu sedar akan bahaya penyakit diabetes agar kanak-kanak terhindar daripada menghidapnya.



Soalan pemahaman:

1. …menyedari tentang sesuatu perkara hanya apabila sudah mengalami sesuatu peristiwa atau perkara yang menyakitkan

2. …Kebiasaan minum di warung, banyak makan makanan manis, dan makanan berlemak

3. …Penyakit diabetes tidak menunjukkan kesan segera kepada badan…orang yang menhidap penyakit ini masih boleh melakukan aktiviti rutin …penyakit tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda awal sekiranya tidak menjalani pemeriksaan.