BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, March 5, 2010

Jawapan

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat itu.
1. Hasil usaha Datuk Johari yang memakan masa bertahun-tahun hingga menjadi seorang usahawan yang berjaya telah musnah gara-gara sikap tamak halobanya apabila beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah.
Panas setahun hapus dek hujan sehari
2. Majikan Shamsul memintanya belajar menggunakan perisian komputer dengan Faiz, walhal dia telah memiliki sijil kemahiran komputer sejak di Tingkatan Lima lagi.
Seperti mengajar itik berenang
3. Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang sedap didengar dan masih digemari ramai hingga sekarang.
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Baca petikan dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini mengikut urutan.
Bagi pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara, tentulah bangga. Jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang memang banyak tetapi tempat dan peluang yang terhad menyebabkan sesiapa yang terpilih, tergolong sebagai pelajar yang bertuah. Barangkali pelajar yang terpilih itu pun tidak menyangka mereka mendapat peluang berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka yang terpilih ini tentulah pelajar yang telah berusaha dengan gigih kerana mereka menyedari bahawa kejayaan itu tidaklah datang dengan mudah. Kita mengharapkan apabila mereka berada di luar negara , mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran yang baharu supaya pergaulan dan tindak-tanduk mereka tidaklah kekok. Semoga mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu
Yang bulat tak datang bergolek,yang pipih tak datang melayang
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak

Latihan peribahasa

A. Lengkapkan dengan peribahasa yang sesuai
i. Saya baru melancong ke negara-negara _________________________________ seperti Switzerland dan Perancis.
ii. Pak Malim bertindak secara terburu-buru,bak kata orang tua-tua,_________________
_____________________________________________ kerana mengabaikan perniagaannya yang sedia ada lalu menyalurkan kesemua modalnya kepada projek perumahan rakan baiknya setelah mendapat khabar angin yang menggalakkan tentang projek itu.
iii. Oleh sebab terlalu galak bermain saham, semua wang yang disimpannya secara dikit-dikit habis dalam sekelip mata, bak kata orang _____________________________________________
B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
Raja Sulaiman berasa sedih kerana arahannya diingkari. Beliau merasakan bahawa beliau tidak dipentingkan lagi. Segala pendapatnya tidak dihargai dan diketepikan. Apabila sultan mendapat tahu bahawa keluarga diraja enggan bekerjasama dengan raja Sulaiman untuk membina kubu dan kota, baginda berasa kesal. Kaum kerabat diraja yang diharapkan memberi sokongan padu telah mengecewakan baginda. Pada pendapat baginda, mereka telah mengkhianati baginda. Oleh itu, sultan membuat keputusan untuk turut serta membina kubu dan kota bersama-sama masyarakat bawahan. Baginda ingin memberi contoh kepada keluarga baginda.
i.
ii.
iii.
C. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
i. “Usahlah kamu cuba melatih burung itu untuk bercakap kerana burung merpati tidak boleh bercakap. Usaha kamu itu sia-sia sahaja,” kata Joshua kepada Ashwin.

ii. Jangan sekali-kali beritahu rahsia kami kepada si Mamat. Dia itu tidak boleh simpan rahsia,” nasihat Ellia kepada kakaknya.

iii. Sementara menunggu tawaran biasiswa untuk belajar di luar negara, Shasha menyambung pelajarannya di tingkatan enam dahulu.

Pilihan jawapan

Pilihan jawapan:
1. Naik seperti semut turun seperti ribut
= untuk berjaya memang lambat, untuk gagal memang cepat
2. Harapkan pagar, pagar makan padi
= dikhianati orang yang dipercayai
3. Atas angin
= negara-negara sebelah barat
4. Tiada rotan akar pun berguna
= sementara menunggu yang lebih baik,yang kurang baik pun berguna
5. Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan
= kerana mengharap yang belum pasti, yang ada dibuang
6. Mulut tempayan
= tidak boleh menyimpan rahsia
7. Bagai melukut di tepi gantang
= tidak penting/ tidak dipedulikan
8. Turun padang
= lawat lokasi projek
9. Mencurah garam ke laut
= perbuatan yang tidak akan menghasilkan apa-apa

Jawapan

A. Lengkapkan dengan peribahasa yang sesuai
i. Saya baru melancong ke negara-negara atas angin seperti Switzerland dan Perancis.
ii. Pak Malim bertindak secara terburu-buru,bak kata orang tua-tua,mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan kerana mengabaikan perniagaannya yang sedia ada lalu menyalurkan kesemua modalnya kepada projek perumahan rakan baiknya setelah mendapat khabar angin yang menggalakkan tentang projek itu.
iii. Oleh sebab terlalu galak bermain saham, semua wang yang disimpannya secara dikit-dikit habis dalam sekelip mata, bak kata orang naik seperti semut, turun seperti ribut.
B. Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
Raja Sulaiman berasa sedih kerana arahannya diingkari. Beliau merasakan bahawa beliau tidak dipentingkan lagi. Segala pendapatnya tidak dihargai dan diketepikan. Apabila sultan mendapat tahu bahawa keluarga diraja enggan bekerjasama dengan raja Sulaiman untuk membina kubu dan kota, baginda berasa kesal. Kaum kerabat diraja yang diharapkan memberi sokongan padu telah mengecewakan baginda. Pada pendapat baginda, mereka telah mengkhianati baginda. Oleh itu, sultan membuat keputusan untuk turut serta membina kubu dan kota bersama-sama masyarakat bawahan. Baginda ingin memberi contoh kepada keluarga baginda
i. Harapkan pagar, pagar makan padi
ii. Bagai melukut di tepi gantang
iii. Turun padang
C. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.
i. “Usahlah kamu cuba melatih burung itu untuk bercakap kerana burung merpati tidak boleh bercakap. Usaha kamu itu sia-sia sahaja,” kata Joshua kepada Ashwin.
Mencurah garam ke laut
ii. Jangan sekali-kali beritahu rahsia kami kepada si Mamat. Dia itu tidak boleh simpan rahsia,” nasihat Ellia kepada kakaknya.
Mulut tempayan
iii. Sementara menunggu tawaran biasiswa untuk belajar di luar negara, Shasha menyambung pelajarannya di tingkatan enam dahulu.
Tiada rotan akar pun berguna

latihan peribahasa

A. Isi tempat kosong dengan peribahasa yang paling sesuai.
Pada mulanya Puteri Hang Li Po yang datang dari negara ______________________ tidak dapat menyesuaikan diri dengan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu Melaka. Namun demikian, setelah beberapa lama menetap di Melaka, Puteri Hang Li Po mula mempelajari bahasa Melayu dan akhirnya menerima kebudayaan masyarakat Melayu kerana baginya _______________________. Puteri Hang Li Po nekad untuk mencuba sedaya upaya menyesuaikan diri. Puteri Hang Li Po amat yakin bahawa baginda dapat mengatasi sebarang cabaran yang ditempuhi kerana ___________________________
B. Berikan dua peribahasa yang sesuai untuk setiap ayat di bawah
i. Pegawai-pegawai istana yang baru dilantik perlu menguasai bahasa yang dituturkan oleh golongan istana.

ii. Para artis sering kali dikaitkan dengan gejala negatif seperti pengambilan dadah dan pergaulan bebas semata-mata kerana segelintir daripada mereka terlibat dengan permasalahan tersebut.

C. Berikan satu peribahasa yang seerti maksudnya dengan setiap peribahasa di bawah.

i. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua


ii. Bagaimana acuan begitulah kuihnya


iii. Bagai pinang dibelah dua

pilihan jawapan

Pilihan jawapan:
1. Seperti cincin dengan permata
= sama-sama cantik
2. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan
= seseorang itu mempunyai cita-cita dia akan berusaha untuk mencapainya
3. Air dicencang tidak akan putus
= dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan
4. Bahasa istana
= ragam bahasa istana
5. Masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak
= menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling
6. Sebab nila setitik rosak susu sebelanga
= kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak
7. Bawah angin
= negeri-negeri di timur
8. Bapa borek anak rintik
= anak menurut baka bapa
9. Seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit
= seorang berbuat salah, semuanya terbabit
10. Bahasa dalam
= ragam bahasa istana

jawapan

A. Isi tempat kosong dengan peribahasa yang paling sesuai.
Pada mulanya Puteri Hang Li Po yang datang dari negara bawah angin tidak dapat menyesuaikan diri dengan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu Melaka. Namun demikian, setelah beberapa lama menetap di Melaka, Puteri Hang Li Po mula mempelajari bahasa Melayu dan akhirnya menerima kebudayaan masyarakat Melayu kerana baginya masuk kandang kambing mengembek,masuk kandang kerbau menguak . Puteri Hang Li Po nekad untuk mencuba sedaya upaya menyesuaikan diri. Puteri Hang Li Po amat yakin bahawa baginda dapat mengatasi sebarang cabaran yang ditempuhi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
B. Berikan dua peribahasa yang sesuai untuk setiap ayat di bawah
i. Pegawai-pegawai istana yang baru dilantik perlu menguasai bahasa yang dituturkan oleh golongan istana.
Bahasa istana / Bahasa dalam
ii. Para artis sering kali dikaitkan dengan gejala negatif seperti pengambilan dadah dan pergaulan bebas semata-mata kerana segelintir daripada mereka terlibat dengan permasalahan tersebut
Sebab nila setitik rosak susu sebelanga/seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

C. Berikan satu peribahasa yang seerti maksudnya dengan setiap peribahasa di bawah.

i. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua
Air dicencang tidak akan putus
ii. Bagaimana acuan begitulah kuihnya
Bapa borek anak rintik
iii. Bagai pinang dibelah dua
Seperti cincin dengan permata