BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 13, 2010

Rumusan: Faktor2 pengabaian anak terhadap ibu bapa

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa dan usaha-usaha untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Jika kita kenangkan segala pengorbanan ibu bapa membesarkan dan menjadikan kita seperti hari ini, kita sekali-kali tidak akan sanggup berfikir untuk mengetepikan ibu bapa apatah lagi menghantar mereka ke rumah jagaan orang-orang tua pada saat-saat mereka memerlukan kita pada pengakhiran usia mereka. Mengapakah anak-anak zaman ini menjadi “derhaka” dan sanggup menghantar ibu bapa mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas ini? Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini menjadikan anak-anak zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa di kampung yang sentiasa menantikan panggilan telefon atau menjengah mereka pada hujung minggu.

Kesibukan mengejar kejayaan ini berterusan tanpa hadnya di pihak anak-anak zaman ini sehingga ada yang sanggup menetap di luar negara untuk sesuatu tempoh masa tertentu bagi memastikan kejayaan sentiasa berada dalam genggaman mereka. Apabila ibu bapa semakin tua, terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak dan anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Keadaan ini menyebabkan ada orang tua yang tidak menaruh sebarang kepercayaan bahawa anak mereka akan sanggup menjaga sakit pening mereka lantas sanggup tinggal di rumah orang-orang tua kerana lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung mereka sendiri. Perkara yang menyedihkan hati dan perasaan kita apabila anak-anak yang ditatang macam minyak yang penuh dari kecil sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberkan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup hidup serumah dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua yang telah tua dengan alasan ‘tidak tahan dengan karenah’ orang tua.

Ada kalanya anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa di kampung atau menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat kebajikan dan rumah warga tua. Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, ada anak-anak yang tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama kerana ibu bapa yang telah tua atau ‘nyanyuk’ ini akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat.

Rugilah ibu bapa kerana memiliki anak-anak yang tidak mengenang budi ini mereka menjadi “Si Tenggang” dan “Malim Kundang” zaman moden serta hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri. Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk kita dan jadilah anak yang memuliakan ibu bapa sehingga akhir hayat mereka.


1. Berikan maksud rangkai kata “hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri”. 2m
2. Apakah kesan urbanisasi dan modenisasi kepada warga tua? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka? 4m















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membicangkan punca-punca pengabaian anak terhadap ibu bapa
Isi Tersurat : Punca-punca
S1: kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya
S2: terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak
S3: Anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka denga kedua-dua ibu bapa mereka
S4: ada orang tua yang tidak menaruh kepercayaan bahawa anak mereka mampu menjaga mereka
S5: Orang tua lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung sendiri
S6: Anak-anak sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup
S7: tidak tahan dengan karenah orang tua
S8: ada anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa
S9: malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka
Isi tersirat: : Usaha-usaha mengatasi
T1: Mengadakan kempen kesedaran akan kepentingan membalas jasa ibu bapa dalam kalangan generasi muda
T2: Media massa perlu memainkan perana aktif dengan menyiarkan ibu bapa yang telah diabaikan oleh anak-anak
T3: Mengadakan pusat jagaan harian untuk warga tua bagi memudahkan anak-anak menghantar ibu bapa semasa mereka pergi bekerja
T4: Ibu bapa perlu menerapkan didikan keagamaan yang kukuh agar anak-anak tidak menderhaka kepada orang tua
Kesimpulan: Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka agar ibu bapa mereka tidak berasa diasingkan oleh anak-anak


Soalan pemahaman
1. …terus berada dalam dunia imaginasi yang akhirnya akan membawa padah
2. …Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman-taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium…Terdapat pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai bangsa…Keadaan menyebabkan anak-anak tidak sanggup membawa ibu bapa tinggal bersama kerana ibu bapa yang telah ‘nyanyuk’ dikhuatiri menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat
3. …ibu bapa telah membesarkan anak-anak menjadi insan yang berguna…ibu bapa telah bersusah payah bekerja keras demi sesuap nasi untuk anak-anak…ibu bapa telah melahirkan anak-anak ke dunia…ibu bapa ialah insan yang paling bernilai dalam diri anak-anak.

0 comments: